SEPANJANG JALAN KENANGAN 4

Hari demi hari dan bulan demi bulan berlalu. Genap 3 tahun aku mengajar di sekolah itu. Aku juga sudah tahu membahagikan masa , tugas dan masa untuk diriku sendiri. Kesibukan yang kulalui setiap hari dirasakan bertambah apabila sebuah cawangan telah dibuka di pekan Jeram. Biasanya, aku dan beberapa orang guru lelaki diarahkan mengajar di Jeram, Pada petang Ahad dengan berbekalkan RM20.00 yang diberikan Pengetua sebagai wang tambang bas dan makan minum, kami menaiki bas dari stesen bas Klang Utara menuju ke Jeram.  

Dalam sebulan kami akan ke Jeram sekali atau dua kali dan bermalam di sebuah bilik di cawangan itu. Pada sebelah malam , kami makan di warung yang terdapat di sekitar pekan Jeram. Pekan Jeram sekitar tahun 1980-an masih jauh daripada pembangunan yang pesat.Jalan raya juga agak sunyi pada sebelah malam. Kami tidur berlantaikan tikar getah. Keesokan pagi, kami akan masuk ke kelas untuk mengajar murid-murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4. Murid-murid ini  belum terdedah kepada suasana seperti di bandar.

Tujuan sebenar kami dihantar mengajar ke Jeram adalah bertujuan untuk ‘marketing’. Kami dianggap sebagai ‘ guru terbaik dari Klang ’ yang sentiasa mencatatkan keputusan cemerlang sama ada SRP atau SPM. Pada masa itu, Institut Hafiz sebagai pelopor sekolah swasta yang berjaya di Malaysia masakan tidak kerana ramai murid telah berjaya melanjutkan pengajian ke universiti-universiti awam. Kalau sebelum itu mereka datang dengan perasaan kecewa tetapi akhirnya mereka mampu mengukir senyuman.  

Beberapa bulan kami ke cawangan Jeram setiap hari Ahad dan pulang pada hari Isnin sehinggalah kami tidak lagi diarahkan mengajar di Jeram kerana di sana sudah ada ‘team’ guru sendiri. Lagi pun semua masih ‘bujang trang tang tang’ jadi tiada masalah untuk mengajar di cawangan Jeram. Tiada apa-apa yang menarik di cawangan Jeram dan murid-murid masih  naif dengan perkembangan hiburan seperti di bandar. Aku tidak berasa terlalu mencabar seperti murid-muridku di Klang.

Aku dan rakan-rakan guru yang mengajar di Cawangan Jeram sudah mengajar seperti biasa di Klang. Ada juga kalangan murid yang bertanya tentang kehilangan kami setiap hari Isnin beberapa bulan yang lalu. Aku menjalankan tugas sebagai guru disiplin seperti biasa dan berhadapan dengan isu disiplin yang sama .

Bunga-bunga cinta semakin berkembang mekar. Dalam kesibukan bekerja dari pagi hingga malam hanya memberikan sedikit ruang kepadaku berjumpa dengannya pada waktu senggang. Kelas tuisyen akan berhenti rehat pada pukul 7.20 malam hingga 8.00 malam untuk slot solat Maghrib dan makan. Aku dan rakan-rakan sekerja yang bergaji kecil ini mempunyai buku 555. Buku ini untuk mencatat harga makanan dan minuman kami di kantin sekolah yang terletak di belakang bangunan. Waktu rehat kami akan makan minum di kantin dan selepas itu, “ macam biasa  masuk buku cukuo bulan ‘sattle’.”

Sambutan Hari Guru diadakan di Dewan Hamzah Klang tiada ‘venue’ lain. Murid-murid akan mengadakan latihan persembahan di dalam bilik darjah masing-masing. Murid-murid Tingkatan 6 hendak mengadakan jamuan Hari Guru di sebuah restoran masakan Arab di Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang. Hal ini diketahui oleh Pengetua dan menimbulkan konflik antara pihak sekolah dengan murid-murid Tingkatan 6. Aku seperti biasa akan menerima arahan daripada Pengetua. Aku diarahkan masuk ke kelas Tingkatan 6 untuk menyampaikan arahan bahawa murid-murid tidak dibenarkan mengadakan jamuan di luar kawasan sekolah kecuali di kantin sekolah atau di dalam bilik darjah. Guru-guru tidak dibenarkan menghadiri jamuan di luar kawasan sekolah. Arahan yang aku sampaikan itu kurang disenangi oleh murid-murid Tingkatan 6 dan mereka sangat beremosi.

Hal itu tidak berakhir di sekolah kerana murid-murid Tingkatan 6 sama ada lelaku mahupun perempuan telah pergi ke rumahku. Mereka mencari aku di rumah dan ibuku memberitahu aku masih belum balik. Perasaan sedih menghantui diriku. Aku tersepit antara ketaatan kepada majikan dengan menjaga hati murid-murid Tingkatan 6 yang sudah dewasa. Aku tempuhi konflik itu seorang diri kerana Pengetua tidak mahu campur tangan dan meminta aku menyelesaikan masalah itu. Malahan, Pengetua juga tidak mahu berbincang hal itu dengan murid-murid Tingkatan 6.

Akhirnya, jamuan Hari Guru itu dibatalkan. Murid-murid Tingkatan 6 mengadakan jamuan di dalam bilik darjah. Pengetua menetapkan makanan mestilah ditempah dari kantin sekolah dan murid-murid dibenarkan membawa makanan sendiri juga. Suasana jamuan sangat hambar dan tegang. Aku mewakili Pengetua menghadiri jamuan itu tetapi suasana senyap sunyi bagaikan ada kematian. Aku tebalkan muka menyampaikan sepatah dua kata tetapi masing-masing seperti tidak mempedulikan aku di hadapan bilik darjah. Murid-muridku yang berkonflik dengan aku tidak hadir ke sekolah sebagai tanda protes.

Selepas peristiwa itu, suasana dirasakan hambar apabila aku mengajar di dalam kelas mereka. Aku tidak berhadapan dengan masalah murid-murid Tingkatan 3 , Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 kerana mereka patuh akan arahan Pengetua. Sehari demi sehari perkara itu berlalu pergi  Murid-murid yang tidak berpuas hati dengan aku tetap bermasam muka denganku. Aku menerimanya dengan hati yang terbuka sebagai memikul amanah Pengetua dan bukti kesetiaan aku.  

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog