SEPANJANG
JALAN KENANGAN 20
‘Kota Rom tidak dibina dalam
sehari’ begitulah ungkapan yang sering kita dengar betapa
keunggulan kerajaan klasik Rom menjadi titik tolak bukti bahawa kejayaan tidak
dapat dicapai dalam sekelip mata. Pengorbanan masa dan tenaga tidak ternilai
bagi yang mengerti erti semua itu. Kemalangan pada tahun 2017 menjadi garisan sempadan
antara bahagia dan derita yang panjang. Selepas aku benar-benar pulih dan
mendapat ‘green light’ daripada doktor yang merawat, aku telah memulakan segala
yang telah kubina dari A kepada Z semula. Tiada ungkapan selesa atau mudah
untuk membina suatu keruntuhan berdiri tegak semula segagah dulu.
Ujian
demi ujian terus mendatang dan diri ini tetap yakin akan perancangan Allah
adalah terlebih baik daripada perancangan manusia. Lantaran itu, aku, mula
mengorak langkah dengan sokongan seorang rakan mengadakan ‘ tour de mission’.
Aku dan kawanku mengadakan program bual bicara bersama-sama murid-murid dengan mendapat keizinan pihak sekolah.
Akademik dan ilmu kerohanian berjalan seiringan. Aku kembali berdiri di atas pentas.
Perancangan
dibuat setiap masa agar matlamat yang hendak dikongsi dengan murid-murid akan
kesampaian. Brosur diedar dari tangan ke tangan sambil dibantu beberapa orang kakitangan.
Meskipun, belum ada respons daripada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka
belajar di pusat tuisyen aku namun itu tidak menghalang aku dan memperlahankan
usaha yang sudah disusun rapi. Harapan putus asa sebelum ini kembali ke
landasan yang lurus.
Pada 7
November 2019, usai solat Subuh aku berasa tanganku sangat lemah. Ketika aku
menyisir rambut sikat di tanganku terjatuh ke lantai. Di dalam fikiranku, pagi
ini aku akan menyampaikan ucapan di hadapan murid-murid Sekolah Rendah
Kebangsaan Methodist, Pelabuhan Klang. Aku tidak boleh membatalkan program yang sudah dirancang sebelum ini. Aku
memberitahu isteriku bahawa aku berasa tangan kiriku sukar untuk diangkat dan
isteriku memberikan cadangan supaya aku menangguhkan dahulu program di sekolah
itu. Cadangan itu kutolak ke tepi. Aku gagahkan diri memandu kereta bersendirian
ke SK Methodist. Aku berasa sukar hendak memegang stereng dengan tangan kiri kerana
berasa lenguh.
Sesampai
di perkarangan sekolah, aku disambut oleh guru pengiring dan dibawa naik ke pentas
dewan. Aku diperkenalkan oleh guru pengacara kepada murid-murid dan guru-guru
yang berhimpun di dewan. Alat pembesar suara bertukar tangan. Hampir terjatuh
alat pembesar suara ketika aku menyambutnya dengan tangan kiri tetapi segera tangan kananku memegang alat pembesar
suara itu. Sesekali ketika berucap aku terhenti seketika kerana mulutku sukar
mengeluarkan kata-kata. Lidah berasa kebas.
Usai
ucapan. aku ke kantin sekolah diiringi Guru Besar dan beberapa orang guru bagi
menikmati sarapan yang disediakan oleh pihak sekolah. Aku sebenarnya ingin
pulang terus ke rumah tetapi aku tidak mahu menghampakan harapan pihak sekolah.
Tanpa berlengah lagi, aku memandu kereta pulang ke rumah selepas
bersalam-salaman dan bergambar kenang-kenangan dengan Guru Besar dan guru-guru
pengiring usai bersarapan.
Aku
memberitahu isteriku bahawa aku berasa tangan dan mukaku kebas di bahagian kiri
dan lenguh. Aku sudah berasa sukar untuk bercakap. Isteriku segera menelefon
anakku dan sementara menunggu anakku datang aku berbaring di sofa. Tidak lama
kemudian, apabila anakku sampai aku dibawa masuk ke dalam kereta menuju ke Hospital
Manipal, Bukit Tinggi. Petugas perubatan yang memeriksa aku memaklumkan aku
mengalami strok tetapi di hospital itu tiada pakar yang berkaitan. Lantas , aku
‘dilarikan’ ke Hospital KPJ Shah Alam dan kereta memecut laju membelah Lebuh
Raya KESAS.
Aku
disambut petugas perubatan di pintu masuk bahagian kecemasan Hospital KPJ lalu
dibawa ke unit ICU. Aku sudah tidak dapat bercakap semasa di atas ‘stretcher’.
Seorang doktor pakar memeriksa aku dan mengesahkan aku mengalami ‘TIA’ atau
minal strok. Aku diberikan rawatan segera dan aku ‘bercuti’ selama satu minggu
di hospital. Semua program yang sepatutnya berjalan hingga Disember telah
tergendala. Doktor pakar mengatakan aku kurang rehat dan masalah stress.
Kerja
perlu diteruskan kerana semuanya terletak di bahuku. Tiada istilah penat atau
malas jika hendak berjaya. Aku terpaksa mengambil beberapa ubat tertentu
berkaitan dengan jantung dan darah. Masa tidurku tidak menentu kadang-kadang 3
jam dan kadan-kadang empat jam sehari. Sekali lagi sindrom TIA menyerang aku
dan aku dimasukkan ke ICU selang seminggu.
Sepanjang
rawatan kali kedua, telefon bimbitku ‘disorok’ oleh isteriku. Aku terbaring
berseorangan di dalam ICU bersama seorang lagi pesakit. Hanya kami berdua di situ
dan bunyi mesin sahaja yang kedengaran. Suasana tenang dan selesa. Sesekali aku
tertidur tetapi aku masih mengalami masalah kesukaran untuk tidur. Seorang
jururawat duduk di kerusi dan sebuah meja di hujung kakiku. Dua orang jururawat
bergilir-gilir menjaga aku selama 24 jam. Telinga aku masih terngiang-ngiang
kata-kata doktor semasa aku dimasukkan ke situ buat kali kedua, “Tiada yang selamat bagi kali kedua ”.
Comments
Post a Comment