SEPANJANG
JALAN KENANGAN 17
Adat orang
berniaga ada masa naik ada masa turun. Begitulah juga perkara yang sama aku
alami. Kata orang, “setiap sepuluh tahun akan berlaku kemelesetan ekonomi” .
Tahun 2012 paling mencabar kerana pusat tuisyen tumbuh bagai cendawan selepas
hujan. Kalau dulu tahun 2002 hanya ada empat buah pusat tuisyen di kawasan
Taman Eng Ann Klang tetapi kini jumlah pusat tuisyen di situ sudah hampir 12
buah pusat. Dalam istilah ekonomi, ‘kek semakin kecil.’ Jadi, aku telah membuat
beberapa pelan untuk menarik murid-murid namun berbagai-bagai cabaran baharu
yang datang.
Aku
telah berjumpa dengan Guru Besar sekolah rendah dan Pengetua sekolah menengah
untuk mengadakan bengkel Bahasa Melayu di sekolah mereka. Rata-rata jawapan
yang aku terima ‘TIDAK BOLEH’ dengan berbagai-bagai alasan sama ada tidak
mendapat kebenaran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau pihak sekolah sudah
mempunyai rancangan sendiri. Begitulah yang terjadi dari satu sekolah ke satu
sekolah. Semua jawapan hampir sama.
Namun
yang peliknya, rakan-rakan pengusaha pusat tuisyen yang bukan sebangsa aku dapat
pula mengadakan bengkel UPSR,PMR dan SPM di sekolah-sekolah yang aku kunjungi
itu. Ada juga Guru Besar dan Pengetua yang menghantar murid-murid sekolah
mereka mengikuti bengkel yang diadakan di universiti awam sekitar Lembah Klang
dengan menaiki bas yang disewa khas oleh pengusaha pusat tuisyen. Lagi pelik,
aku jugalah yang menjadi penceramah bengkel Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh
rakan-rakanku. Pelik bin Ajaib !.
Pelan
B aku ialah mengadakan bengkel Bahasa Melayu di pusat tuisyenku sendiri dengan
mengedarkan brosur melalui murid-muridku atau ibu bapa murid. Bilangan peserta
bengkel memanglah tidak ramai hanya abang atau kakak murid-muridku yang pernah
belajar denganku akan menyuruh adik-adik mereka hadir bengkel yang aku
jalankan. Mengapa ? Aku menyediakan soalan-soalan ramalan untuk mereka
menghadapi peperiksaan akan datang.
Pada
tahun 1997, semasa aku bertugas di sebuah sekolah menengah di Klang sebagai
pengawas peperiksaan SPM , sepasukan pegawai dari Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) telah ‘menyerbu’ sekolah dan memeriksa beg-beg murid yang
diletakkan di luar dewan peperiksaan. Mereka sedang mencari bukti kononnya
soalan peperiksaan SPM bocor dari sekolah itu. Kononnya, mereka mendapat
maklumat ada guru-guru yang mengajar tuisyen membocorkan soalan peperiksaan .
Aku ditanya secara lisan tentang hal itu oleh salah seorang pegawai tetapi tiada
bukti yang ditemukan oleh mereka. Pada tahun tersebut beberapa kertas soalan
telah bocor tetapi aku tidak terlibat membocorkan soalan kerana aku sendiri
tidak tahu apakah soalan yang akan dikeluarkan dalam peperiksaan. Aku hanya
membuat analisis soalan dari tahun ke tahun dan kukongsikan kepada
murid-muridku yang mengikuti bengkel peperiksaan aku. Apa yang terjadi adalah
kebetulan apabila topik soalan yang aku bincangkan hampir sama dengan soalan
sebenar !.
Apabila
ekonomi meleset, kelas-kelas tuisyen personal juga turut terjejas. Namun begitu,
aku masih bertahan dan mempunyai Pelan C dan Pelan D. Sejak aku mengajar
tuisyen tahun 1992, murid-muridku terdiri daripada murid Cina dan India.
Murid-murid Melayu tidak sampai 5 peratus. Ibu bapa murid-murid Melayu lebih
suka menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat tuisyen yang dikendalikan oleh
rakan-rakanku. Rakan-rakanku yang mengusahakan pusat tuisyen pula tidak menghantar anak-anak mereka belajar dengan
guru-guru tuisyen Bahasa Melayu di pusat mereka sebaliknya mereka lebih yakin
menghantar anak-anak mereka belajar denganku sama ada di pusat tuisyen atau
kelas tuisyen personal. Itulah realiti yang berlaku hingga kini.
Cabaran
mengajar murid-murid Cina dan India berbeza dengan murid-murid Melayu.
Murid-murid Cina sudah dilatih sejak di sekolah rendah ‘bekerja keras’ kerana
seberapa banyak pun latihan yang diberikan akan disiapkan oleh mereka. Ibu bapa
mereka sentiasa memantau anak-anak mereka membuat latihan kerja rumah yang aku
berikan. Mereka akan menghantar teks melalui telefon bimbit untuk bertanyakan
keadaan anak-anak mereka. Begitu juga, murid-murid India . Murid-murid Melayu
kurang rajin dan sikap mereka itu seolah-olah tidak dipedulikan oleh ibu bapa
mereka asalkan anak-anak mereka hadir tuisyen tetapi latihan tidak siap atau
kertas latihan sudah hilang.
Setiap
tahun keputusan peperiksaan murid-murid bukan Melayu yang belajar di pusat
tuisyen aku lebih menyerlah dan ada antara mereka yang merangkul hadiah utama
akademik bagi subjek Bahasa Melayu sedangkan mereka bersekolah kebangsaan.
Semua ini bukan kerana aku pandai mengajar mereka tetapi kerajinan mereka
semasa belajar, fokus dan menyiapkan latihan kerja rumah yang aku berikan. Ada
juga yang sangat rajin membuat latihan kendiri dan menghantarnya kepadaku untuk
disemak. Aku tidak mengenakan sebarang ‘caj’ tambahan untuk menyemak latihan
kendiri mereka tetapi ada juga sesetengah guru mengenakan ’caj’ tertentu untuk
menyemak latihan murid-murid. Keikhlasan tidak boleh diajar sebaliknya datang
dari dalam diri kita sendiri. Kalau kita ikhlas dalam menyampaikan ilmu murid
akan menerima kesannya dengan mencapai keputusan cemerlang. Wang tdak dapat
membeli kejayaan tetapi kejayaan dapat dicapai dengan doa, usaha dan tawakal
kepada-Nya.
Semua
cabaran ini menjadi asam garam dalam perniagaan. Apa yang penting ialah kita
mesti cepat belajar daripada cabaran yang membelenggu kita. Penyelesaian
masalah lebih utama daripada memikirkan masalah. Peluang untuk pergi lebih jauh
dalam sesuatu perniagaan adalah dengan menjaga kualiti kerja kita. Kalau
kualiti tidak dijaga akhirnya kita tersungkur di tengah jalan. Populariti
jangan dicari kerana populariti akan datang dengan sendirinya kalau kita boleh
membuat keputusan luar biasa. Ada juga rakan-rakan pengusaha pusat tuisyen yang
telah ditutup angkara mengejar populariti dengan melakukan perkara-perkara
tidak munasabah di dalam bilik darjah. Ada cara untuk menggembirakan
murid-murid kita sebagai strategi perniagaan tetapi jangan melampau sehingga
mengajak murid-murid menari-nari dengan guru di atas meja. Bukan semua murid
suka akan perkara-perkara sebegitu dan hal-hal seumpama inilah yang merosakkan
imej pusat tuisyen.
Comments
Post a Comment