SEPANJANG
JALAN KENANGAN 11
Selama aku berkhidmat di sekolah ini tiada isu yang
timbul kerana masing-masing menjalankan tugas mengikut terma yang ditetapkan.
Aku dipilih untuk mengajar beberapa sesi tuisyen pada sebelah petang dan malam.
Aku dibayar elaun khas kerana mengajar kelas tuisyen. Pada sesi kelas malam, aku
mengajar murid-murid Tingkatan 6 dan ada antara muridku ini telah menjadi
Penolong Kanan di sekolah tempat dia bertugas sekarang. Tragedi murid-murid
meninggalkan bilik darjah tidak berlaku lagi kerana mungkin aku sudah mempunyai
pengetahuan yang lebih luas dan berpengalaman. Murid-murid dewasa tidak hormat
guru sudah menjadi suatu perkara lumrah bagiku. Aku pun tidak terlalu emosional
atau mengambil hati tentang itu kerana aku tidak berhutang apa-apa dengan
mereka !
Pada suatu hari,
Pengetua yang baharu dilantik oleh pihak atasan sejak beberapa bulan yang lalu
telah memperkenalkan kawannya yang juga seorang guru Bahasa Melayu yang baru
bertukar dari Sabah ke sebuah sekolah menengah di Klang semasa aku dipanggil ke pejabat
Pengetua. Aku difahamkan mereka berdua
kawan baik semasa di universiti. Pengetua memanggil aku datang ke pejabatnya
untuk meminta pertimbanganku..
“Apa yang saya
boleh tolong ,Cikgu ?,” tanyaku dengan nada mesra sambil melabuhkan punggungku di atas kerusi di hadapan Pengetua..Pengetua tidak menjawab soalan aku dan wajahnya
kelihatan serba salah. Pengetua sedang meyusun ayat-ayat untuk diluahkan kepadaku.
“Begini ,Cikgu.
Bolehkah kelas tuisyen malam Tingkatan 6 diberikan kepada kawan saya, Saya mohon
Cikgu dapat memberikan laluan, ” pinta Pengetua dengan nada suara
tersekat-sekat. Aku hanya menundukkan kepala dan memikirkan sumber pendapatan
aku akan terjejas sedikit kerana aku kini sudah mempunyai dua cahaya mata di
rumah. Tanggungganku semakin bertambah dan isteriku tidak lagi bekerja.
“Baiklah, Cikgu.
Cikgu pun sudah banyak membantu saya, “ kataku spontan.
“Bulan depan kita ‘start’
jadual baharu untuk sesi tuisyen malam,” jawab Pengetua dengan wajah ceria.
“Kawan saya dari
Sabah meminta slot kelas malam dan saya pun rasa serba salah sebab slot kelas
malam Cikgu yang punya, “ sambung Pengetua lagi .
“Tak mengapa
,Cikgu. Saya faham,” jawabku sambil tersenyum.
Kami bersalam-salaman lalu aku keluar dari bilik Pengetua dan melangkah ke kelas malam Tingkatan 6. Aku tidak berhasrat hendak memberitahu murid-muridku bahawa aku tidak lagi akan mengajar mereka mulai bulan hadapan. Biarlah pihak sekolah sendiri mengumumkan hal itu. Walaupun terselit rasa sedih kerana sekurang-kurangnya berilah masa kepadaku hingga hujung tahun untuk menghabiskan pembelajaran sebelum dibuat pertukaran guru. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi mereka akan menduduki peperiksaan STPM. Tapi apakan daya aku hanya ‘Yang menurut perintah’.
Aku bersyukur kerana kekosongan masa kelas malam telah diisi dengan kelas tuisyen persendirian. Kebetulan seorang pengurus Ladang Bukit Raja ( ketika itu tahun 1998 masih belum wujud Bandar Bukit Raja) Mr. Francis Xavier sedang mencari seorang tutor untuk mengajar dua orang anak mereka , Anselem dan Jane. Bermula dari saat itu aku berulang alik mengajar anak-anak pengurus itu seminggu dua kali. Pendapatan tuisyen itu dapat menggantikan elaun tuisyen di sekolahku yang telah berpindah tangan. Kelas tuisyen aku di Ladang Bukit Raja bermula pada pukul 8.00 hingga 10.00 malam. Kegelapan jalan untuk memasuki estet itu tidak dapat kugambarkan. Bukan sahaja gelap pekat tetapi bahaya yang mungkin menantiku di tengah-tengah jalan. Lantaran itu, pengurus ladang telah mengarahkan dua orang anggota polis bantuan untuk menemani aku semasa naik dan turun dari ladang tersebut. Lampu motor SUZUKI RC-80 aku pun bukanlah terang sangat tetapi aku berasa lebih yakin selamat kerana kedua-dua anggota polis bantuan itu dilengkapi selaras senapang patah di bahu masing-masing. Mereka juga menunggang motosikal dan kadang-kadang menaiki sebuah kereta peronda polis.
Aku juga berpeluang mengajar anak seorang ahli Exco kerajaan negeri Selangor selain empat orang anak VVIP. Alhamdulillah rezeki kami sekeluarga bertambah. Aku yakin rezeki ini datang daripada rahmat Allah swt atas keikhlasan hendak mencurahkan ilmu dan mencari rezeki yang halal. Hari demi hari,sumber kewangan aku semakin stabil dan kukuh . Manakala, gaji sekolah pula hanyalah simpanan tetap setiap bulan di dalam bank dan tidak berusik. Pada suatu pagi, aku mendapat panggilan telefon daripada isteri seorang rakan aku di sekolah lama.
“Asalamualaikum,
Cikgu Azmi. Boleh datang rumah tak sekejap,” kedengaran suara sedih di hujung
gagang telefon. Ketika itu aku sedang bersiap-siap hendak ke sekolah.
“Kenapa, Kak?,”
tanyaku sedikit cemas.
“Ni ha, abang asyik
termenung. Makan minum tak nak. Dah dua hari macam ni,” sambung isteri rakanku
lagi.
“Baiklah, Kak.
Sekejap lagi saya sampai,” jawabku dan kebetulan rumahku dengan rumah rakanku
berdekatan. Aku menendang pedal motosikal lalu menuju ke rumah rakanku. Aku
memberikan salam dan melihat rakanku sedang terbaring di tengah-tengah ruang
tamu. Tiada kata-kata yang keluar dari mulutnya melainkan air mata yang berlinangan.
“Kenapa jadi macam
ni, Kak?,” tanyaku sambil memandang wajah rakanku. Matanya tidak
berkelip-kelip.
‘Entah, Cikgu.
Sebelum ini, abang ada cerita rasa tidak seronok mengajar di sekolah,” jawabnya.
Aku menghela nafas perlahan dan memegang tangan rakanku. Dia tidak demam tetapi
aku berpendapat rakanku sedang dilanda kemurungan.
“Beginilah, Kak.
Saya cuba berbincang dengan Pengetua sekolah saya. Insyallah, saya cuba bantu
yang termampu,” kataku mengakhiri perbualan pagi itu. Air mata rakanku berlinangan dan matanya hanya memandang siling rumah.
Hari itu, aku tiba lewat ke sekolah kerana menziarahi rakanku yang sedang dilanda masalah. Aku memasuki bilik darjah dan murid-muridku sudah menunggu kehadiranku. Pada waktu rehat, aku berjumpa dengan Pengetua.
“Ya, Cikgu. Apa
yang saya boleh tolong?,” tanya Pengetua sambil tersenyum. Pengetua sekolah seorang
yang peramah dan mengambil berat hal-ehwal kakitangannya.
“Begini, Cikgu.
Saya hendak meminta pertolongan Cikgu. Kalau boleh, saya hendak membawa kawan
saya mengajar di sini. Kawan saya ini sangat berpengalaman dan berdisiplin,” kataku.
“Saya harap saya
tidak menyusahkan ,Cikgu,” ujarku lagi.
“Cikgu mana ada
susahkan saya. Sejak Cikgu datang, sekolah ini sudah semakin ‘famous’ dan
ramai murid dari satu Malaysia belajar di sini. Cikgu sudah banyak menolong
saya,” kata Pengetua sambil ketawa kecil. Bibirku mengukir senyuman apabila
mendengar kata-kata Pengetua tadi.
Comments
Post a Comment