SEPANJANG JALAN KENANGAN 9
Aku berasa sedikit
terkejut apabila ketiga-tiga mereka yang tidak kukenali menahan aku di hadapan
tangga Great Wall. Wajah-wajah mereka kupandang satu persatu tetapi tiada
seorang pun yang aku kenal. Siapakah mereka ? Pertanyaan itu bergema di ruang
hatiku yang kosong setelah meninggalkan bangunan sekolah lamaku.
“Kami ingin
menjemput Cikgu mengajar di sekolah kami, ” kata salah seorang daripada mereka.
Kata-katanya cukup jelas dan amat fasih berbahasa Melayu walaupun bukan
sebangsa denganku. Perasaan sangsi lenyap tiba-tiba. Mereka tersenyum memandang
aku yang seorang diri berhadapan dengan mereka. Tiada tanda-tanda niat buruk
yang tersembunyi. Begitulah telahan hatiku. Mungkinkah aku akan terus menjadi
guru ? Bibirku mengukir senyuman lantas bersalam-salaman dengan mereka.
“Harap Cikgu dapat
menerima tawaran kami,” kata seorang lagi yang berbadan gempal dan bermisai
lebat. Aku dibawa menaiki kereta ke sekolah mereka yang terletak tidak jauh
dari sekolah lamaku. Aku disambut oleh beberapa orang kerani berbilang bangsa
dan beberapa orang guru yang kebetulan lalu di hadapan pejabat. Aku
diperkenalkan kepada Pengetua yang berwajah tegas.
“Saya harap Cikgu
berasa selesa di dalam bilik ini, “ kata Pengetua lelaki yang berwajah seperti
Kamal Hasan pelakon filem Tamil yang terkenal. Masing-masing memperkenalkan
diri dan jawatan mereka di sekolah itu. Aku sedang duduk berhadapan dengan ‘Board
Of School Education’.
Pada hari yang
sama aku meletakkan jawatan aku telah mendapat tawaran mengajar di sebuah
sekolah swasta yang baharu dan lebih meyakinkan sekolah ini ialah anak syarikat
(subsidiary of SEGI College) sebuah institusi pendidikan yang terkenal serta
mempunyai cawangan di seluruh negara. Aku bagaikan orang mengantuk disorongkan
bantal. Aku juga ditawarkan gaji sebanyak RM1,200.00 sebulan serta beberapa
elaun khas. Aku juga dilantik sebagai guru disiplin dan Ketua Jabatan
Peperiksaan Dalaman ( Internal Exam Department) di sekolah itu. Aku dibantu
oleh dua orang kerani yang berpengalaman. Allah Maha Besar. Aku tersenyum
mendengar berita yang tidak disangka-sangka itu.
Selepas
bersalam-salaman, aku keluar dari bilik Pengetua dan disapa oleh beberapa orang
murid yang merupakan bekas muridku di sekolah lama. Aku terperasan seorang guru
yang berkaca mata mendekati aku lalu bersalaman denganku dengan wajah ceria.
“Hi, Cikgu. Masih
ingat saya?,” tanyanya dengan mesra. Aku hampir ketawa kerana guru lelaki yang
sedang berdiri di hadapanku ialah bekas guru di sekolah lamaku walaupun dia
tidak berkhidmat lama tetapi wajahnya masih kukenali. Kemudian, barulah aku
tahu bahawa mereka sedang menunggu ‘kedatanganku’ ke sekolah itu sejak mereka
mula beroperasi beberapa bulan yang lalu. Sekolah inilah yang dimaksudkan oleh
Pengetua sekolah lama bahawa mereka cuba menjatuhkan sekolah lamaku. Aku tidak
berasa mereka itu sebagai ‘musuh’ kerana mereka hanyalah pesaing dalam
perniagaan. Aku berasa lebih yakin kerana sekolah ini bernaung di bawah sebuah
Institusi Pendidikan Swasta yang terkenal dan berada di dalam senarai ‘first
board’ di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
Keesokan hari aku
mula mengajar subjek Bahasa Malaysia di sekolah baharu. Tahun 1992 membuka
lembaran baharu dalam kehidupanku. Aku amat bersyukur kerana aku hanya
menganggur kurang sejam selepas meletakkan jawatanku. Kemudian, aku
diperkenalkan kepada ‘orang atasan’ yang memegang tampuk perniagaan di syarikat
itu serta aku diperkenalkan beberapa orang ‘ Board Of Directors’(BOD). Aku agak
terkejut kerana salah seorang daripada ‘Director’ syarikat ini ialah pakcik
sepupuku yang telah bersara sebagai seorang pegawai kedutaan di luar negara.
Namun begitu, aku tidak membritahu mereka tentang hal tersebut lagipun aku
hanya melihat gambar mereka di dalam majalah syarikat sahaja. Aku hanya
tersenyum sendiri dan menyimpan kemas-kemas hal itu agar menjadi rahsia.
Aku ditugaskan
mengajar murid-murid Tingkatan 4, 5 dan Tingkatan 6. Aku mengumpulkan semua
pengawas di sekolah ini untuk berkenal-kenalan dan memberikan taklimat ringkas.
Aku tidak berasa sukar untuk mengendalikan Badan Pengawas sekolah ini kerana
pengalaman yang lalu memudahkan urusanku. Kemudian , aku memanggil dua orang
kerani yang ditugaskan membantu aku dalam urusan peperiksaan SPM dan STPM dari
A ke Z. Kedua-dua kerani itu juga sangat berpengalaman kerana sebelum ini
mereka diketuai oleh salah seorang guru di sekolah ini yang sudah dinaikkan jawatan
sebagai Penolong Kanan.
Sistem pentadbiran
di sekolah ini sangat berbeza kerana semua pelan tindakan dan keputusan dibuat
oleh ketua jabatan. Aku difahamkan oleh pengurusan sekolah bahawa pihak
syarikat induk telah menetapkan keuntungan setiap syarikat bersekutu di seluruh
negara hendaklah mencapai sekurang-kurangnya RM1 juta setahun. Cawangan di
Sarawak sahaja mencatatkan keuntungan hampir RM6 juta setahun.
Setiap hari waktu
mengajar bermula jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang. Manakala, kelas tuisyen pada
sebelah petang dan malam akan diberikan kepada guru-guru setelah surat tawaran
diberikan dengan elaun tertentu. Kelas tuisyen seperti OT kepada semua guru
yang terlibat mengajar tuisyen selain menerima gaji bulanan. Semua guru dan
kakitangan mendapat perlindungan insurans dan elaun perubatan mengikut ‘ranking’
masing-masing. Aku berasa selesa kerana semua guru dan kakitangan umpama sebuah
keluarga besar. Seorang pekerja am akan menyediakan minuman mengikut permintaan
dan selera guru-guru dan akan disediakan di meja setiap pagi.
Warga sekolah ini
terdiri daripada berbilang bangsa dan murid-murid juga. Masing-masing saling
menghormati antara satu dengan yang lain tanpa sebarang sikap rasis atau
prejudis. Keputusan peperiksaan tahun pertama sekolah ini amat memberangsangkan
dan keputusan disiarkan di dalam akhbar utama. Teknik pemasaran yang sama juga digunakan
di sekolah ini. Di sekolah ini, ada Jabatan Pemasaran yang menjalankan tugas
khusus. Setiap bulan diadakan mesyuarat yang melibatkan ketua-ketua Jabatan
untuk menyampaikan laporan dan kebiasaannya seorang wakil dari syarikat induk
turut hadir sama untuk menyerahkan laporan kepada BOD syarikat yang beroperasi
di ibu pejabat di Subang Jaya.
Dalam diam-diam aku
dapat merasakan kerinduanku terhadap murid-murid yang kutinggalkan tidak akan
padam selama-lamanya. Keletah mereka mengusik aku semasa aku di dalam bilik
darjah. Suasana riuh-rendah ketika menjalani latihan untuk sambutan hari guru
masih berbekas. Tiada lagi suara ‘S’ yang menyakat aku. Tiada lagi muridku ‘D’
yang suka mengusik aku dan memuji aku apabila aku melangkah masuk ke bilik
darjah. Hati mana yang tidak keruan selepas lima tahun bersama-sama dan
tiba-tiba aku melangkah pergi. Namun jauh di sudut hatiku tiada perasaan kesal
kerana di sini keadaan lebih baik.
Setiap hujung
tahun, semua warga sekolah termasuk kakitangan sekolah akan menerima bonus sama
ada sebulan atau dua bulan gaji mengikut prestasi masing-masing. Pengetua akan
menyediakan laporan prestasi dan pihak atasan akan membuat keputusan. Malahan,
semua kakitangan guru dan kerani diberikan sejumlah saham syarikat juga mengikut
hirarki masing-masing. Semua ini adalah sesuatu yang baharu dan menjadi
pembakar semangat kepada aku untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang lagi.
Comments
Post a Comment