SEPANJANG JALAN KENANGAN 8
Rasa diri ini diabaikan dan diasingkan sangat menyedihkan. Segala pengorbanan seperti tiada harganya. Hasrat hati untuk berhenti kerja semakin menebal dari hari ke hari. Apabila aku masuk ke dalam bilik darjah kurasakan sepi menyelubungi segenap sudut. Aku sudah kehilangan semangat. Sesetengah muridku menyedari hal itu dan mendatangi mejaku.
"Betul ke Cikgu nak berhenti," tanya 'L' dengan nada sedih. Wajahnya muram. Kudengar ada esakan tangisan di belakang bilik darjah. ' Z' tidak dapat menahan perasaan sedih. Walaupun aku seorang guru yang garang tetapi mereka tidak pernah menjauhkan diri daripadaku sebaliknya mereka amat rapat denganku. Kami boleh berkongsi rasa.
Hari itu hatiku tidak keruan. Hilang sudah momentum di dalam diriku. Segala-galaya seakan dipaksakan. Pengetua tidak lagi bertegur sapa denganku. Begitu juga rakan-rakan sekerja yang patuh akan arahan Pengetua seakan membentuk satu garisan pengasingan denganku dan beberapa orang guru yang lain. Aku sudah nekad hendak meletakkan jawatan biarpun aku tidak tahu apa yang akan berlaku. Bagaimana dengan isteri dan anakku nanti jika aku tidak bekerja ? Isteriku sedang berbadan dua mengandungkan cahaya mata kedua.Aku berserah sahaja kepada Allah !
Keesokan hari aku memberitahu kerani di pejabat bahawa aku ingin berjumpa Pengetua. Pada hari itu aku masuk ke kelas seperti biasa. Semua buku latihan murid-muridku telah siap kusemak dan kuserahkan kepada murid-muridku. Mereka juga seolah-olah sudah merasakan hari itu ialah hari terakhirku bertugas selepas hampir 5 tahun berlalu. Ketua Pengawas dan semua pengawas kupanggil masuk ke sebuah bilik darjah yang kosong untuk menyampaikan amanat akhir. Beberapa kali aku berpesan kepada mereka agar tidak mengabaikan pelajaran dan kutitipkan ucapan terima kasih atas kerjasama mereka kepadaku. Aku melawat semua kelas dan melalui lorong-lorong kelas yang penuh memori.
Beberapa orang muridku memeluk aku sambil menangis kerana kami akan berpisah jua. Ada yang memegang tanganku seakan tidak mahu melepaskan. Murid-murid perempuan berpelukan sesama mereka. Petang itu, aku berjumpa dengan Pengetua dan aku menyatakan hasratku untuk berhenti kerja. Berulang-ulang kali Pengetua bertanya sebab aku mengambil keputusan itu. Aku tidak menjawab pertanyaan itu. Pengetua cuba memujuk aku supaya menarik balik keputusanku apabila kuberitahu aku belum mempunyai rancangan atau pekerjaan lain selepas ini. Wajah Pengetua kelihatan sugul. Aku tetap dengan pendirianku.
Akhirnya, aku melangkah keluar dari pejabat Pengetua lalu menuruni tangga. Tamat sudah perkhidmatanku di sekolah itu. Beberapa orang muridku yang rapat denganku menunggu aku di tangga.
"Cikgu.Cikgu," kata-kata muridku amat menghiris hatiku menjadi sangat ngilu. Aku terus melangkah satu demi satu anak tangga. Sesekali aku menoleh melihat murid-muridku di tangga.
"Aku tidak akan berpatah balik," bisik hati kecilku. Apa yang sudah berlaku biarlah berlalu. Tiada ucapan selamat daripada rakan-rakanku. Tiada ucapan selamat daripada kakitangan pejabat. Tiada majlis perpisahan mahupun sebungkus hadiah! Aku melangkah sendirian tanpa arah tuju selepas ini.
Murid-muridku melambai-lambai di tingkap dan memanggil-manggil namaku 'Cikgu Azmi' tetapi aku tidak mahu menoleh lagi. Di hadapanku jalan berliku sedang menanti. Wajah isteri dan anakku silih berganti. Tiada yang lebih memilukan saat aku melangkah meninggalkan kawasan sekolah. Kurasakan dunia ini berputar ligat dan aku melangkah longlai dengan deraian air mata melintasi Jalan Pos Baru menuju ke stesen bas.
"Cikgu Azmi," aku disapa oleh tiga orang lelaki yang berpakaian kemas dan bertali leher. Mereka menghadang aku daripada berjalan terus ..
Comments
Post a Comment