SEPANJANG JALAN KENANGAN 7
Tugasku sebagai guru berjalan seperti biasa cuma komunikasi antara pihak pentadbir agak hambar. Semasa di dalam bilik darjah, aku tetap memberikan tumpuan kepada murid-muridku. Ada yang gigih belajar dan ada juga yang malas. Kadang-kadang aku memberikan kata-kata motivasi kepada mereka dengan menjadikan pengalaman aku sendiri sebagai subjek bagi membuka minda mereka. Murid-murid yang tinggal di aspura (asrama lelaki) dan aspuri (asrama perempuan) lebih rajin berbanding murid-murid yang berulang-alik dari rumah ke sekolah. Kebarangkalian mereka lebih rajin berbanding dengan rakan-rakan lain kerana mereka dijaga oleh guru warden dan pada sebelah malam ada sesi ‘prep’.
Pada sesi pagi , aku mengajar murid-murid aliran Sastera dan aliran Sains dari Tingkatan 3 hingga Tingkatan 6. Bermacam-macam kerenah murid-murid yang kuhadapi setiap hari. Ada yang boleh dijadikan teman berbual-bual dan ada juga yang suka menyakat aku semasa di dalam kelas. Aku hanya bersikap tegas akan perkara berkaitan disiplin sekolah dan latihan yang diberikan tidak dilunaskan. Bukan mudah untuk mendidik mereka kerana mereka ini datang daripada pelbagai lapisan keluarga dan pengalaman hidup yang berbeza. Usia mereka juga tidak sama kerana ada dalam kalangan muridku yang sudah berumur lebih 40 tahun tetapi mereka yang berumur lebih matang dan dianggap sebagai abang dan kakak di dalam kelas.
Buku-buku latihan yang perlu disemak setiap hari menjadikan aku sangat sibuk umpama berperang dengan masa. Bilangan murid di sekolah ini hampir mencecah 2000 orang termasuk murid-murid tuisyen dan murid-murid kelas malam. Besarlah juga keuntungan yang dikaut oleh pihak sekolah. Hampir kesemua murid di sekolah ini ialah muridku kerana Bahasa Malaysia ialah subjek wajib dalam semua peperiksaan awam. Walaupun, fikiranku berserabut dengan krisis dalaman di sekolah namun tanggungajwabku kepada murid-murid tidak akan aku abaikan kerana mendidik mereka telah aku jadikan sebagai prinsip hidupku.
Selepas mesyuarat tergempar itu, rakan-rakanku mula mencari tempat baharu untuk bekerja. Hampir setiap bulan ada rakanku yang berhenti kerja. Ada yang memasuki pekerjaan di sektor awam dan ada yang masih kekal di sektor swasta. Sepanjang aku mengajar di sekolah itu, memang tiada peluang untuk mencari duit sampingan sebagai pekerjaan sambilan. Perasaan aku berperang dengan kos sara hidup yang aku hadapi. Isteriku bekerja dengan kakaknya di bandar Klang dan gaji isteriku dicampur dengan gajiku tidak sampai RM1000.00 sebulan. Rumah sewa perlu dibayar. Keperluan anak sulungku menjadi keutamaan kami. Segala-galanya termasuk perbelanjaan bulanan.
Peralihan tahun 1991, seakan memberi isyarat kepadaku bahawa aku perlu mencari jalan keluar demi kehidupan yang lebih baik. Tiba-tiba pada suatu hari, aku dan rakan-rakan sekerja yang lain diminta hadir ke rumah Pengetua yang terletak di tingkat 2 di bangunan sekolah yang sama . Di situ keluarga Pengetua dan semua kakitangan pejabat sudah menunggu kami. Kami diminta mengambil wuduk dan diikuti bacaan surah Yasin beramai-ramai. Salah seorang guru perempuan yang mengajar subjek Bahasa Malaysia muncul ke depan sedikit sambil dikelilingi semua yang hadir seperti di dalam satu bulatan. Keadaan di situ agak sempit dan di dalam hatiku masih tertanya-tanya tujuan kami diminta berkumpul di rumah Pengetua. Aku sudah mengarahkan semua pengawas menjaga bilik-bilik kelas kerana semua guru tidak memasuki kelas untuk mengajar murid-murid seperti biasa. Semuanya terhenti secara tiba-tiba.
Guru perempuan yang berpakaian serba putih itu bersuara perlahan antara dengar dengan tidak. Aku cuba menangkap kata-katanya dengan menadah telinga dan berengsot ke depan sedikit daripada bulatan yang dibentuk oleh rakan-rakan sekerja yang lain.
“Saya melihat semua ahli keluarga Pengetua berada di tangga langit ke-7,” kata guru perempuan itu dengan nada suara yang perlahan seakan berbisik-bisik. Masing-masing berpandangan antara satu dengan yang lain. Aku melihat wajah Pengetua kelihatan sedih sambil menitiskan air mata. Aku memandang wajah rakan-rakanku satu persatu. Kupandang wajah Guru Pengawas Perempuan tetapi tiada reaksi. Masing-masing menundukkan kepala tanpa berkata apa-apa. Sesi perjumpaan itu berakhir dengan tangisan dan pelukan antara ahli keluarga Pengetua yang perempuan dengan guru perempuan itu.
Kami diarahkan kembali ke bilik darjah semula untuk meneruskan tugas. Namun begitu, aku lebih banyak termenung dan memberikan latihan kepada murid-muridku. Otakku ligat berfikir tentang peristiwa yang baru dialami tadi. Rupa-rupanya bukan aku sahaja tetapi rakan-rakanku yang lain sama seperti aku. Masing-masing berasa keliru. Sejak perjumpaan itu, suasana di sekolah berubah agak ekstrim. Guru-guru lelaki diarahkan memakai songkok atau kopiah manakala guru-guru perempuan bertudung labuh. Semasa perhimpunan sekolah, aku melihat guru-guru lelaki memakai songkok kecuali beberapa orang guru lelaki yang tidak bersongkok. Suasana ketika itu sudah jauh berbeza daripada suasana kebiasaan,
Guru yang selalu menjadikan aku mangsa menggantikan kelasnya dengan alasan tidak boleh bangun awal bertukar wajah baharu. Berserban dan berjubah. Di dalam hatiku terdetik perkataan kehairanan dengan perubahan yang mendadak itu. Guru perempuan yang mencetuskan fenomena ini dilayan bagaikan orang penting oleh Pengetua dan daripada bisik-bisik dalam kalangan guru dan kakitangan sekolah, guru perempuan itu dianggap sebagai wali.
Aku memberikan salam usai perhimpunan sekolah namun salamku tidak bersambut oleh guru-guru dan kakitangan sekolah yang bersongkok. Aku berasa terasing di sekolah itu selama beberapa bulan sejak perjumpaan itu. Guru lelaki yang berserban dan berjubah kini menggetel tasbih ketika di dalam bilik darjah. Aku tetap menolak arahan memakai songkok. Manakala, murid-murid perempuan bukan Islam juga diarahkan berbaju kurung sekolah yang sebelum itu bergaun pendek. Keadaan ini juga menjadi bualan dan tanda tanya dalam kalangan muridku yang bukan beragama Islam. Aku tiada jawapan pada pertanyaan mereka. Aku rasa bersalah terhadap mereka yang sebelum ini kelihatan ceria tiba-tiba berubah muram.
Hari demi hari, ada-ada sahaja rakan-rakan guruku yang melepaskan jawatan mereka sama ada yang baharu atau lama. Aku mengira sudah lima tahun aku di sekolah itu. Aku berbincang dengan isteriku, adakah aku patut angkat kaki sama ? Seperti kebiasaannya, isteriku tidak pernah memberikan jawapannya sebaliknya seratus dua ratus peratus isteriku menyerahkan keputusan itu kepadaku. Aku nekad hendak berhenti kerja dan mencari pekerjaan lain. Tambahan pula, beberapa bulan sebelum itu aku dimaklumkan oleh Pengetua terdapat sebuah sekolah baharu yang sedang giat menarik murid-murid berpindah ke sekolah mereka. Apa yang aku ketahui sekolah itu ditadbir oleh sekumpulan guru bukan Melayu. Aku diarahkan mengawasi murid-murid di sekolah ini agar tidak terpengaruh untuk berpindah ke sekolah itu. Beberapa orang murid bukan Melayu sudah mula meninggalkan sekolah ditambah pula suasana sekolah sekarang dilihat berubah wajah lebih ke arah suasana ‘Islamik’. Aku masih berasa terasing di sekolah itu kerana ‘melawan’ arahan supaya memakai songkok dan aku semakin tersepit. Rakan-rakan guruku yang karib denganku sudah pun meletakkan jawatan hanya yang tinggal guru-guru lama.
Murid-muridku di dalam kelas galak bertanya kepadaku sama ada aku juga akan berhenti sekolah. Setiap kali pertanyaan itu dilontarkan oleh muridku kulihat mata mereka berkaca. Aku pula hanya menahan air mata agar tidak tumpah di hadapan murid-muridku. Aku amat menyayangi mereka kerana mereka juga seperti aku yang mahu bangkit daripada kegagalan lalu. Namun, aku tidak memberikan jawapan kepada pertanyaan mereka. Aku juga berasa sebak yang amat. Mungkihkah impian mereka akan tercapai? Rasa simpatiku terhadap murid-muridku dan perasaan sedih untuk meninggalkan mereka membuak-buak. Bagaimana dengan pelajaran mereka nanti? Bagaimana dengan masa depan mereka ? Bagaimana jika pemergianku adakah pengganti yang benar-benar hendak mendidik mereka ? Persoalan demi persoalan menekan fikiranku. Patutkah aku melepaskan jawatan ?
Comments
Post a Comment