SEPANJANG JALAN KENANGAN 6

Bibit-bibit krisis mulai terasa pada tahun 1990. Namun begitu, kecemerlangan murid-murid SRP, SPM dan STPM di sekolah ini terus melakar sejarah dan menghiasi dada-dada akhbar utama. Dalam kalangan guru kedengaran suara-suara sumbang yang mempersoalkan bab kebajikan guru-guru. Pada masa itu, kakitangan sekolah yang lain seperti kerani dan pekerja kantin seakan-akan 'diasingkan' daripada kelompok guru-guru. Hanya urusan berkaitan sekolah yang menghubungkan guru-guru dengan kakitangan sekolah lain.
Isu gaji masih menjadi duri dalam daging dalam kalangan guru. Rata-rata bercakap tentang kenaikan gaji. Bonus tahunan bukanlah penting bagi aku kerana ada dengan tak ada sama sahaja. Saguhati RM20.00 diselitkan di dalam 'envelope' pada hujung tahun dan sehelai kain pelikat sebagai menghargai jerih payah guru yang mendidik anak-anak bangsa. Satu mesyuarat tergempar diadakan oleh Pengetua dan turut dihadiri oleh Pengarah sekolah. Semua guru diwajibkan hadir. Mesyuarat diadakan di dalam sebuah bilik darjah di tingkat 3.
Aku melihat satu persatu wajah rakan-rakan sekerja aku yang muram. Wajah Pengetua dan Pengarah kelihatan 'stres' kerana hari itu masing-masing akan melontarkan pandangan dari hati ke hati. Perasaan berdebar-debar sedang bergendang di dalam sanubariku. Aku dapat menjangkakan sesuatu akan berlaku semasa mesyuarat itu nanti kerana aku sudah mangli dengan karektor Pengetua. Ketua kerani memulakan mukadimah mesyuarat dan Pengetua memulakan ucapan pembukaan.
Seperti sudah dijangkakan Pengetua menerangkan satu persatu tentang perancangan masa depan sekolah. Kami mendengar setiap butir kata yang keluar dari mulut Pengetua.
"Sekolah mempunyai tanggungan besar untuk melunaskan bayaran pembinaan bangunan kolej yang baharu," begitulah ayat yang terpacul dari mulut Pengetua. Aku menarik nafas dalam-dalam. Wajah para guru berubah sugul. Air mata Pengetua cuba memadamkan api di benak hati guru-guru yang hadir di bilik itu. Pengarah hanya mengangguk setiap butir kata yang terlontar dari mulut Pengetua.
Apa yang tersirat di hatiku hanyalah suatu penghargaan daripada Pengetua kepada guru-guru yang selama ini bertungkus lumus mendidik dari pagi hingga malam demi mengharumkan nama sekolah. Dari situlah datangnya murid-murid dari seluruh Malaysia bersama segunung impian dan bangkit daripada kegagalan yang lalu. Ucapan panjang lebar daripada Pengetua diakhiri tanpa apa-apa jawapan yang mampu mengukir senyuman guru-guru. Ucapan Pengetua lebih kepada mengharapkan guru-guru melipatkan gandakan usaha demi manaikkan imej sekolah. Kata-kata penuh semangat oleh Pengarah umpama cubaan menutup lubang persoalan yang sebenar.
"Kami mahu gaji kami ditambah baik," salah seorang guru melontarkan kata-kata kepada barisan pentadbir. Suasana hening seketika. Kulihat wajah-wajah guru yang telah lama berkhidmat lebih belasan tahun tersenyum sumbing. Mereka lebih memahami apa yang tersirat.
"Kami juga ingin tahu tentang potongan caruman KWSP kami, " sambungnya lagi. Wajah Pengetua dan Pengarah tergambar kelat. Tiada suara sorakan atau kata-kata sokongan daripada guru-guru lain.
"Kami semua tidak berpuas hati, " ujar guru itu lagi. Aku menjangkakan hal itu akan timbul suatu masa nanti tetapi mulut-mulut kami bagaikan sudah 'dikunci' sekian lama. Perkhidmatan aku di sekolah ini telah memasuki tahun keempat dan aku sudah berasakan beban berat dipikulkan diatas bahu semata-mata untuk mengumpul kekayaan sebelah pihak.
Mesyuarat itu berakhir tanpa keputusan . Suasana tegang dikendurkan dengan pembubaran mesyuarat pada petang itu. Masing-masing menuju ke kelas masing-masing tanpa bicara. Keesokan hari satu lagi kegemparan berlaku apabila setiap guru dipanggil 'mengadap' Pengetua di biliknya. Seorang demi seorang guru keluar dari 'sarang' ,iaitu bilik guru yang terletak di bawah tangga belakang bangunan. Meja aku sendiri di bawah tangga apabila turun naik terpaksa menundukkan kepala bagi mengelakkan kepala terlanggar tembok tangga. Hari itu aku dan rakan-rakan sekerja yang lain diminta menandatangani beberapa buah buku catatan gaji bulanan untuk beberapa tahun sebelumnya. Teka-teki tentang potongan caruman KWSP selama ini bakal terjawab.
Aku ke pejabat KWSP tengah hari itu untuk memerikasa jumlah caruman. Ternyata caruman aku hanya bermula setahun yang lalu setelah empat tahun aku bekerja.
"Pihak kami akan menghantar penyata caruman setiap bulan," kata pegawai kaunter KWSP. Aku terdiam.
"Tak. Saya tak pernah menerima penyata caruman," kataku berterus terang. Rupa-rupanya selama ini semua penyata caruman KWSP dihantar oleh posmen melalui pintu belakang bangunan. Perasaanku bercampur baur. Kesal. Marah. Benci. Sedih. Beberapa orang guru telah melepaskan jawatan mereka untuk berhijrah ke tempat lain. Aku ? Aku masih terus bekerja kerana aku sedar peluang untuk mencari pekerjaan lain amat sukar lebih-lebih lagi aku hanya berkelulusan STPM. Mereka yang berhenti kerja mempunyai kelulusan Ijazah atau Diploma dan sudah tentu mereka mudah mencari pekerjaan lain.
Namun, suasana di sekolah tidak seceria dulu. Perasaan curiga sentiasa bermain-main di hati. Sebenarnya, perasaan berasa diri ditipu dan ditindas lebih kuat meresap di dalam hati. Murid-murid datang dan pergi selepas menduduki peperiksaan penting. Kejayaan diraikan bersama-sama rakan-rakan tetapi hanya segelintir dalam kalangan mereka yang berjumpa denganku untuk menghulurkan tangan bersalam dan mengucapkan terima kasih.

Comments

Popular posts from this blog