SEPANJANG JALAN KENANGAN 5
Selepas
bernikah pada bulan Julai 1989, aku dan isteri tinggal di Kampung Meru ,Klang
di rumah ibu bapa mentua aku. Setiap hari aku akan menumpang kereta seorang
rakan sekerja aku yang tinggal di Jalan Dusun, Kampung Meru. Aku tidak
mempunyai kereta, motosikal mahupun sebuah basikal. Aku selalu tiba lebih awal
di sekolah sekitar jam 7.30 pagi. Sesi persekolahan akan bermula pada pukul
8.00 pagi dengan perhimpunan rasmi setiap hari Isnin. Hari-hari lain tetap
diadakan perhimpunan tetapi tiada apa-apa majlis ucapan oleh Pengarah atau
Pengetua serta guru-guru yang bertugas. Walaupun sekolah ini sebuah sekolah
swasta namun semua sistem pengurusan pelajar dan peraturan disiplin sama
seperti sekolah kerajaan.
Ada
juga murid-muridku yang membuat aduan kepadaku bahawa mereka dikenakan bayaran
tambang bas sama seperti orang awam bukan tambang murid sekolah yang lebih
murah. Kadar tambang yang dikenakan pula berbeza-beza mengikut ‘selera’ pemandu
bas. Ada ketika murid-muridku dibenarkan membeli pas bulanan tetapi ada juga
pemandu bas tidak menerima pas bulanan kerana mereka menganggap murid sekolah
swasta ialah murid-murid yang sudah lepasan sekolah kerajaan. Namun begitu, aku
cuba membantu mereka dengan memberikan surat pengesahan bahawa mereka ialah
murid sekolah swasta namun surat itu tiada harga !.
Gaji
aku telah dinaikkan daripada RM220.00 kepada RM500.00 sebulan. Aku masih lagi
menumpang kereta rakanku pada sebelah pagi dan pulang menaiki bas KSOC pada
sebelah malam selepas kelas tuisyen berakhir. Pengalaman mengajar murid-murid
kelas malam amat mencabar emosi. Kebanyakan mereka lebih berusia daripada aku.
Ketika itu umurku 22 tahun. Aku diarahkan oleh Pengetua supaya mengajar murid
Tingkatan 6 kelas malam. Aku hanya mengangguk mematuhi arahan Pengetua.
Apabila
aku menolak daun pintu bilik darjah hampir semua mata memandang ke arahku. Ada
yang berwajah manis ada juga yang berwajah kurang yakin akan keupayaan aku
untuk mengajar mereka. Apabila saja aku membuka mulut terdengar sosek-sosek di
tempat duduk belakang. Salah seorang daripada mereka mendengus seperti memahan
marah.
“
Baliklah. Macamana nak belajar dengan dia ni,” kata murid itu sambil mengemas
beg yang dibawanya. Perbuatannya itu turut diikuti oleh murid-murid lain dan
mereka keluar dari bilik darjah tanpa mempedulikan aku. Hanya beberapa orang
sahaja yang masih duduk di bangku masing-masing. Merah padam mukaku menahan
malu dan sedih. Apa yang aku dengar daripada cakap-cakap murid kelas malam aku
tidak layak mengajar mereka kerana aku bukan graduan universiti dan kelayakan
akademik aku setaraf STPM sahaja. Takkanlah guru STPM hendak mengajar murid
STPM. Barulah aku faham mengapa mereka bertindak meninggalkan bilik darjah dan
tidak menunjukkan hormat kepadaku.
Aku
memberitahu Pengetua bahawa aku tidak mahu lagi mengajar murid-murid Tingkatan
6 kelas malam. Akhirnya, Pengetua akur dengan permintaan aku apabila mendengar
alasan aku dan kemudian aku ditugaskan mengajar murid-murid Tingkatan 3, 4 dan
5 sahaja. Perkara ini lebih mudah bagiku kerana mereka tidak mengenali aku
sebagai bekas murid STPM di sekolah ini. Setiap hari, aku pulang agak lewat
selepas tamat kelas malam. Kalau kawanku juga mengajar kelas malam dapatlah aku
menumpangnya balik tapi kalau masa mengajar kami tidak sama terpaksalah aku
menapak ke stesen bas menunggu KSOC arah ke Kampung Meru.
Pernah
berlaku Pengetua menunjukkan muka mencuka terhadap aku sehingga tidak mahu
memandang wajahku selama beberapa minggu. Pengetua cuba mengelak bertegur sapa
atau bertentang mata denganku. Aku sendiri tidak tahu pokok pangkal punca
Pengetua bersikap negatif terhadap aku. Aku cuba juga merisik dengan kakitangan
pejabat tetapi aku tidak mendapat apa-apa jawapan. Akhirnya, secara tidak sengaja
seorang muridku memberitahu bahawa Pengetua tersentap kerana aku mengajar
berbeza dengan apa yang diajarkannya di dalam kelas. Tambahan lagi, aku
memberitahu murid-muridku agar mengikut cara aku untuk menulis karangan bukan
cara yang diajarkan oleh Pengetua. Barulah aku sedar akan punca sebenar.
Aku
segera meminta maaf seperti merayu kepada Pengetua. Namun, Pengetua masih
bermasam muka dengan aku sambil berkata “nak tunjuk pandai “ di hadapan aku
tanpa memandang wajahku. Aku mendiamkan diri dan tidak membalas sepatah
katapun. Aku tidak mahu memanjangkan hal tersebut. Biarlah aku mengalah
daripada aku bertegang urat dengan Pengetua. Akhirnya, sedikit demi sedikit
keadaan yang tegang kembali kendur dan akhirnya kami berbaik-baik semula. Aku
tahu bahawa aku orang harapan Pengetua di sekolah itu. Aku banyak terlibat
dalam semua aktiviti di sekolah itu malah boleh dikatakan aku ini menjadi
jurucakap Pengetua menyampaikan segala arahannya kepada murid-murid di sekolah
itu. Apa sahaja kata-kata atau tindakan aku berkaitan disiplin murid tidak
pernah dibantah oleh Pengetua. Apa yang keluar dari mulutku itulah juga yang
keluar dari mulut Pengetua. ‘A’ kataku maka ‘A’ jugalah kata Pengetua. Kedudukan
aku itu ada juga rakan sekerja yang kurang senang.
Pada
suatu petang, selepas mengajar tuisyen dan hampir masuk Maghrib aku ke kantin
sekolah. Aku melihat rakan sekerja aku, iaitu Guru Pengawas Perempuan sedang
duduk minum di kantin bersendirian. Aku belum sampai di situ muncul seorang
rakan sekerja aku memintas dan duduk berhadapan Guru Pengawa Perempuan.
“Pergilah,” katanya kepada aku. Aku kurang
mengerti maksud kata-katanya .
“Semua benda nak bagi tahu Pengetua,” katanya
lagi. Aku dianggap menjadi penyampai kepada Pengetua. Sebenarnya, rakan guruku
ini sedang bersengketa dengan Pengetua kerana tindak tanduknya kurang disenangi
oleh Pengetua. Dia dianggap seperti duri dalam daging. Persengketaan mereka ada
kaitan dengan aktiviti politik rakan guruku ini di luar sekolah yang dikatakan
hendak mencabar kedudukan salah seorang kerabat Pengetua yang ketika itu seorang
ahli politik berkedudukan. Persaingan
merebut jawatan itulah punca rakan guruku ini tidak disukai oleh Pengetua.
Aku
berasa kecil hati dengan sikap rakan guruku ini tetapi aku jenis yang tidak
tahu menyimpan perasaan dendam tetap
menegur rakan gurku ini walaupun aku dipandang sinis olehnya. Orang suka atau
orang tak suka aku tetap berkawan. Orang hendak mengata di belakang aku biarkan
sahaja kerana aku lebih fokus kepada kerja daripada perkara yang remeh-temeh. Memanglah,
ada rakan-rakan yang cemburu melihat keakraban aku dengan Pengetua walaupun
mereka tahu Pengetua ialah bekas guruku sendiri semasa di Tingkatan 6. Apabila
mereka duduk berkumpul di bilik guru mereka akan segera bersurai atau menutup
mulut seolah-olah tidak mahu aku mendengar perbualan mereka. Sampai begitu
sekali segelintir daripada guru di sekolah itu memandang aku seumpama tali
barut.
Berbagai-bagai
isu mula berbangkit sejak seorang guru baharu mula mengajar di sekolah itu.
Guru baharu ini mempunyai pengalaman bekerja sebelum menyertai sekolah ini.
Perkara berbangkit berkaitan kebajikan kami sebagai guru. Aku tidak begitu
mengambil kisah hal tersebut kerana kepercayaan aku terhadap Pengetua sangat
tinggi. Hal itu sekejap timbul sekejap tenggelam. Begitulah untuk beberapa
ketika situasi suam-suam kuku.
Tahun
keempat 1990, aku menimang cahaya mata sulung. dan gajiku masih ditakuk lama.
Bebanan kerja semakin bertambah apabila aku sering diminta oleh kerani
menggantikan seorang guru yang tidak hadir mengajar. Alasannya guru itu tidak
hadir ialah lambat bangun tidur. Memang alasan diberikan sangat tidak munasabah
sudahlah tiada imbuhan tambahan sebagai saguhati menggantikan guru yang tidak
hadir. Keadaan itu agak kerap berlaku dan aku yang ‘taat’ terhadap Pengetua
tidak pernah membantah. Perasaan tidak berpuas hati tetap tersemat di dalam
sanubariku. Satu demi satu hal terselak dan aku masih mengajar seperti biasa
namun keseronokan dan kesungguhan semakin kendur hari demi hari.
Comments
Post a Comment