SEPANJANG JALAN KENANGAN 21

Kugagahi juga untuk bangkit semula setelah beberapa ujian yang menguji imanku. Tidak lama selepas pulih daripada serangan 'TIA' muncul Pandemik Covid-19 pada Feb 2020. Kusangka Covid-19 ini hanyalah penyakit sementara namun pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan umpama memberikan isyarat bahawa Covid-19 bukanlah penyakit biasa. Semua sekolah di seluruh negara diarahkan ditutup manakala pusat tuisyen juga menerima arahan yang sama daripada Pejabat Pendidikan Daerah Klang (PPD Klang) supaya ditutup.
Situasi menjadi kucar-kacir kerana sistem pembelajaran ONLINE diperkenalkan bagi meneruskan proses pembelajaran kepada murid-murid. Aku masih cuba bertahan seandainya pusat tuisyen dibenarkan beroperasi semula. Namun, sangkaanku meleset sama sekali kerana kes Covid-19 semakin serius. Enam bulan aku tiada sumber pendapatan kerana semua kelas tuisyen di pusat tuisyen dan kelas personal terhenti. Anak-anakku membantu dari segi kewangan dan makan minum. Mereka tahu aku sudah 'patah kandar' sejak pusat tuisyen ditutup. Sewa bulanan dua buah pusat tuisyen tetap kena bayar sepenuhnya walaupun aku merayu kepada pemilik bangunan agar aku diberi pengecualian atau dikurangkan bayaran sewa bulanan memandangkan aku sudah menyewa lebih 17 tahun. Namun, rayuan demi rayuan ditolak kononnya sudah ada penyewa baharu akan masuk (sehingga kini kedua-dua premis itu masih kosong tanpa penyewa). Enam bulan itulah aku kehabisan hampir RM18K kerana membayar sewa sedangkan tiada yuran tuisyen kuterima daripada murid-muridku. Aku sudah hampir putus asa.
Fikiranku menjadi buntu dan lebih banyak memikirkan keadaan semasa yang kualami. Allah Maha Penolong. Saban waktu kupanjatkan doa dan bermunajat kepada Allah dan Allah Maha Mendengar. Allah hadirkan seseorang yang tidak kukenali yang secara sukarela hendak membantu aku mempelajari kaedah pembelajaran secara ONLINE dengan sistem ZOOM. Bermulalah sesi pembelajaran ONLINE secara intensif dengan Dr .Malini. Aku perlu mempunyai rangkaian telekomunikasi WIFI untuk mengaktifkan pembelajaran ONLINE dan melanggan akaun ZOOM. Semua kos pemasangan WIFI ditanggung oleh seorang bekas muridku yang juga seorang vendor UNIFI. Bayaran bulanan langganan UNIFI pula ditanggung bayar oleh anakku.
Enam bulan itu sebenarnya tempoh kritikal bagiku kerana 80 peratus muridku telah berhenti tuisyen. Beberapa orang ibu bapa murid telah membantuku dengan mempromosikan kelas ONLINE tuisyen Bahasa Melayu. Bukan mudah untuk menarik semula murid-murid masuk ke kelas ONLINE kerana rata-rata ibu bapa memilih kaedah belajar bersemuka sedangkan sepanjang PKP tidak dibenarkan apa-apa aktiviti berkumpulan diadakan. Aku pasrah. Sedikit demi sedikit , murid-murid lama dan baharu mulai mendatangi kelas ONLINE. Aku sangat bersyukur kerana Allah mempertemukan aku dengan orang baik-baik. Sesungguhnya doa itu senjata orang mukmin!.
Hari demi hari serba mencabar kerana bukan semua murid serasi mengikuti tuisyen ONLINE. Murid-murid Tahun 1 hingga Tahun 3 telah berhenti tuisyen kerana kesukaran belajar mengggunakan kaedah ONLINE yang tinggal hanya murid-murid dari Tahun 4 hingga Tingkatan 5. Suatu cabaran baharu apabila murid-muridku dari serata negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak mengikuti kelas tuisyen yang aku kendalikan. Semua ini adalah rahmat Allah di sebalik ujian yang mendatang. Aku juga menerima beberapa permintaan untuk mengajar murid dewasa dari Sri Lanka dan murid-murid dari beberapa buah sekolah antarabangsa.
Peluang yang datang takkan kulepaskan begitu sahaja. Kelemahan sistem tuisyen ONLINE ialah sesiapa yang memohon untuk memasuki kelas tuisyen kuterima tanpa prejudis. Akhirnya, aku tertipu juga dengan beberapa orang ibu bapa muridku yang tidak membayar yuran hingga ratusan ringgit. Walaupun begitu , aku tidak akan menoleh ke belakang dan semangat untuk meneruskan kehidupan yang fana ini semata-mata atas ikhsan dan rahmat Allah jua.
"Hanya kepada-Mu kami menyembah dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan "( Surahtul Fatehah : Ayat 5).....Amin Ya Rabbal Alamin
Jumaat
15 Julai 2022.

Comments

Popular posts from this blog