SEPANJANG JALAN KENANGAN 2
Tempoh setahun tidak banyak membantu aku dari aspek pengajaran dan pembelanjaran atau istilah sekarang P&P. Namun , aku diberikan tugas yang lebih berat dan mencabar , iaitu mengajar murid-murid Tingkatan 6. Umur aku dengan murid-murid Tingkatan 6 ada yang sebayaku dan ada yang lebih tua daripada aku. Mereka tetap memanggil aku 'Cikgu' sebagai tanda hormat. Hanya beberapa orang sahaja yang sebaya aku dan pernah bersekolah dengan aku semasa mengambil SPM dulu agak kurang menghormati keberadaan aku sebagai guru di sekolah itu.
Memang aku berasa agak jengkel apabila kawan-kawanku yang kemudian menjadi murid SPM dan STPM di sekolah itu memanggil aku dengan nama , Che Mi. Aku tidak begitu kisah jika mereka memanggil aku sepertimana semasa di sekolah sama dulu tetapi jangan di hadapan murid-murid lain. Aku tidak mahu murid-murid lain beranggapan negatif apabila kawan-kawanku membahasakan diri 'aku kau' . Ada juga kedengaran kata-kata sinis menuduh aku sombong dengan kawan-kawan .
"Kat sini kau bolehlah berlagak tapi kat luar jangan haraplah," kata seorang kawanku yang juga menjadi muridku yang mengulang SPM . Puncanya, aku menahan kawanku ini kerana membawa rokok di dalam poket seluarnya. Sebagai guru disiplin aku akan mengarahkan pengawas-pengawas melakukan pemeriksaan rambang dari kelas ke kelas. Aku tidak mahu memikirkan sangat hal itu bagi mengelakkan perbalahan mulut secara terbuka.
Surat amaran yang aku tandatangani dikoyakkan di depanku. Aku hanya mendiamkan diri dan perbuatan kawanku ini dilihat oleh pengawas-pengawasku. Aku berlalu pergi tanpa berkata apa-apa. Kawanku tersengih memandang aku. Itu hanyalah sebahagian daripada beberapa insiden yang mencabar kesabaran aku. Aku sebenarnya tersepit di tengah-tengah antara kawan dan majikan. Pengetua sentiasa memberikan arahan kepadaku dan aku sebagai pelaksana arahan dilihat seolah-olah cuba menunjukkan kuasa . Sebenarnya, tiada sekelumit sikap menyombong atau berlagak tetapi aku jenis 'setia' dengan Pengetua yang juga guru subjek Sejarahku semasa di Tingkatan 6. Semua arahan Pengetua kuturuti tanpa membantah walaupun sepatah kata. Itulah aku !
Perkataan 'sombong' kadang kala ada juga lucunya. Apatah lagi , aku masih 'single' dan 'trang tang tang tall and handsome ' . Tubuhku agak tinggi 173 sm dan berat cuma 55kg. Rambut 'ding dong '. Berpakaian kemas kemeja lengan panjang dan berseluar 'slack' yang dibeli longgok di Great Wall seberang Jalan Pos Baru serta bertali leher dari pagi ke malam sebagai peraturan berpakaian rasmi guru di sekolah ini. Kenapa lucu ? Murid-murid perempuan cuba mengurat aku.
Pada awal tahun 1987 , aku mengajar dua subjek teras, iaitu Bahasa Malaysia dan Sejarah. Aku kurang minat mengajar sejarah kerana aku malas mengingati tarikh dan nama-nama tokoh atau tempat. Apabila aku mengajar subjek Sejarah Tingkatan 4 mulalah murid-murid perempuan menjeling-jeling aku. Berbisik-bisik di sebalik buku Sejarah. Sesekali kedengaran ketawa halus.
"Diam," kataku dengan suara tegas.
"Ala, sombong," kata 'S' muridku yang paling cantik di dalam kelas itu. Kali terakhir kutemui 'S' semasa reunion di Hotel Corncode ,Shah Alam. Kulitnya putih gebu dan kelopak matanya seperti bercelak halus.
Sudah menjadi prinsip aku barang kali tidak akan menjalinkan hubungan dengan murid sendiri. Bukan peraturan yang dibuat atau garis batasan tapi aku tidak dapat membayangkan seorang guru mengahwini anak muridnya. Baru-baru ini , aku terserempak dengan bekas murid perempuanku. Nak tau muridku kata apa ?
"Dulu orang nak jual mahal ," kata-kata itu dituju 'direct' kepadaku sambil menjeling manja kepadaku.
" Eh, eh, eh," jawabku tersenyum . Muridku tersenyum dan menjelingku sekali lagi.
"Tapi hensem lagi macam dulu," kata muridku ini sambil mengetap bibir.
"Yea, tall and hensem," jawabku hampir tergelak besar.
Murid nak 'tackle ' guru bukan perkara main-main. Ada saja perkara yang sengaja dibuat supaya aku menahan mereka selepas perhimpunan mingguan pada hari Isnin. Pada zaman 80-an, murid-murid perempuan berkain senteng dan stoking ada bebola menjadi 'trend' manakala murid lelaki dengan gaya butang baju atas tidak dikancing, kolar baju tidak dilipat dan rantai besi bermacam-macam logo digantung pada leher. Semua barang larangan itu akan dirampas oleh pengawas dan disimpan di dalam sebuah beg plastik.
Murid-murid ini terpengaruh dengan artis-artis popular zaman 80-an. Murid perempuan dengan gaya rambut berjambul seperti Noreen Noor ( Allahyarhamah) , Raja Ema dan Fransisca Peter. Murid-murid lelaki pula bergaya 'macho' dan 'jambu' seperti Jamal Abdilah , Razis Ismail dan Syed Sobri. Murid-murid Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 agak nakal berbanding murid-murid perempuan Tingkatan 6 seperti 'makcik-makcik' .
Murid-murid perempuan yang ditahan kerana melakukan kesalahan disiplin aku serahkan kepada guru disiplin perempuan atau Pengetua untuk dicubit perut mereka. Murid-murid lelaki aku pula yang 'handle' memanglah kecut perut. Guntingku dipoket belakang dan rotan di tangan merupakan 'senjata wajib' bagiku. Murid-murid perempuan yang ditahan oleh pengawas akan merayu kepadaku minta dilepaskan dengan suara yang 'dimanja-manjakan' dan selalunya aku melepaskan mereka dengan amaran . Macam tak adilkan?.
Tahun kedua sebagai guru lebih menyeronokkan kerana banyak pengalaman baharu malah murid-murid perempuan sudah berani ' mengurat' aku. Cuma hatiku tidak tersangkut dengan murid-muridku mungkin kerana aku juga seorang pemalu dan sentimental sedangkan murid-murid perempuanku lebih 'brutal'.
Comments
Post a Comment