SEPANJANG JALAN KENANGAN 19

Setiap manusia akan diuji kerana dunia ini temoat ujian dan akhirat jua tempat pembalasan. Ujian paling besar aku berlaku pada tahun 2017. Sebelum itu, aku sudah diuji beberapa kali termasuk ditipu pelanggan dan kawan , persaingan perniagaan secara kotor untuk mencemarkan imej aku dengan menyamar sebagai ‘aku’ , bayaran yuran dengan wang palsu dan paling pahit aku dituduh mencabul murid perempuan oleh orang yang aku kenali namun berita itu disampaikan oleh seorang ibu muridku. Aku tidak melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa kerana aku tidak mahu bersikap gopoh yang akan menjerat diri aku sendiri. Kemungkinan berita itu suatu perangkap kerana pelanduk selalu lupa akan jerat tetapi jerat tidak pernah lupa akan pelanduk. Berita itu akhirnya lenyap begitu sahaja.

Pada 5 Mei 2017 hari Jumaat, aku keluar awal pagi untuk mengajar kelas tuisyen di Jalan Jingga, Klang. Hari ini ialah hari pertama aku akan mengajar seorang murid baharu tahun 3. Aku menunggang motosikal Yamaha Legend kerana selepas selesai mengajar aku hendak singgah ke beberapa tempat untuk menjelaskan bayaran bil SYABAS, Cukai Pintu di Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Jadi, mudah bagiku untuk parkir motosikal daripada memandu kereta. Jam di tangan menunjukkan pukul 8.30 pagi dan kelas tuisyen akan bermula jam 9.00 pagi. Aku menunggang perlahan-lahan dari bandar Klang menuju ke Bulatan Berkeley.

Setibanya di bulatan itu, aku menggunakan lorong tengah dan membelok ke arah jam 3 tetapi tiba-tiba bunyi dentuman yang sangat kuat . Aku dilanggar oleh sebuah lori seberat 1 tan. Suasna sepi seketika. Kemudian, bunyi riuh-rendah dan aku telah terperosok di bawah lori yang melanggar aku. Beberapa orang cuba membantu mengeluarkan aku dari bawah lori tetapi badanku dihempap motosikal. Lori terpaksa mengundur untuk membolehkan aku ditarik keluar. Mereka yang ada di situ mengangkat aku beramai-ramai lalu dibaringkan di tepi jalan.  Aku tidak pengsan dan cuba untuk bangun duduk tetapi dihalang oleh mereka yang ada di situ. Hanya kedengaran suara meminta aku bersabar. Di dalam hatiku tertanya-tanya.” Kenapa bersabar. Terukkah keadaan kecederaan aku,” pertanyaan itu hanya bermain di benakku.

Pemandu lori bercangkung di sebelahku dan meminta maaf atas kemalangan yang berlaku. Beberapa orang penunggang motosikal cuba menenangkan aku. Telefon bimbitku berdering dan aku meminta seseorang yang sedang duduk di sebelahku mengambilkan telefon bimbit di dalam poket seluarku.

“Asalamualaikum, Cikgu,” kedengaran suara nenek muridku.

“Wailaikumsalam, Puan,” jawabku seakan tiada apa-apa yang berlaku. Suasana bising di kawasan itu kerana kenderaan lalu-lalang pada waktu pagi untuk ke tempat kerja. Bunyi hon kenderaan bersilih ganti.

“Cikgu jadi datang tak?,” tanyanya lagi.

“Maaf, Puan. Saya tak dapat datang. Saya kemalangan motosikal,” jawabku.

“Allahuakbar. Teruk ke , Cikgu?”

“Tak teruk puan. Nanti saya hubungi Puan semula ya. Maaf, Puan,”

“Baiklah, Cikgu.”

 

Perbualan itu terhenti di situ. Beberapa orang yang berada di situ telah mengangkat aku dan membaringkan aku di atas rumput di tepi jalan. Ketika itulah aku dapat melihat keadaan sebenar kecederaan kakiku yang hancur dan hampir putus terjuntai-juntai.

“Sabar, bang. Sabar,” kata salah seorang lelaki yang mengangkat tubuhku.

“Allahuakbar,” kata-kata itu spontan terpacul dari bibirku. Berulang-ulang kali aku menyebut nama  Allah. Saat itu juga aku terfikir bahawa aku akan menjadi insan cacat kerana kakiku akan dipotong. Tiada air mata. Tiada keluhan. Hanya kata-kata ‘Allah’ meluncur dari bibirku.

 

Selepas kemalangan itu, aku dihantar ke Hospital Shah Alam oleh seorang lelaki Cina dan petugas perubatan di hospital memberitahu bahawa kakiku akan dipotong. Aku pasrah. Inilah ketentuan Allah untukku. Keputusan itu tidak dapat diterima oleh isteri dan adik-beradikku. Entah macam mana, masing-masing lupa bahawa aku memiliki ‘Medical Card’ syarikat insurans. Anakku menelefon ejen insurans dan memberitahu hal kemalangan itu lalu ejen insurans itu menelefon hospital KPJ, Shah Alam. Ejen insurans memaklumkan bahawa aku akan dipindahkan ke hospital KPJ dengan kadar segera dan dia juga telah menghubungi sebuah ambulans swasta untuk menghantar aku ke sana. Petugas perubatan meminta aku menandatangani sekeping borang sebagai prosedur pemindahan pesakit ke hospital lain.

Selama sembilan jam aku di bilik pembedahan dan sepanjang masa dari saat kemalangan hinggalah selesai pembedahan aku dalam keadaan sedar. Ubat bius ‘epidural’ yang disuntik pada tulang belakangku dan amat menyakitkan umpama tulangku dipatahkan juga tidak membuatkan aku pengsan hanya rasa kebas separas pinggang ke bawah. Kakiku berjaya dibedah dan dimasukkan besi ‘Titanium’ bagi menggantikan tulang-tulang kakiku yang berkecai di jalan raya. Sejak hari itu, aku terpaksa berehat daripada bekerja. Aku bergantung kepada tongkat ketiak untuk bergerak dan doktor memberitahu aku bahawa tempoh rawatan mengambil masa setahun setengah.

Aku tidak berdaya untuk bergerak memandangkan keadaan kakiku masih belum pulih sepenuhnya dan setiap minggu aku berulang alik ke hospital KPJ selama hampir lapan bulan. Isterikulah teman setia yang memandu kereta ke hospital KPJ dan sesampai di pintu masuk petugas KPJ yang akan mengambil alih tugas membawa aku dengan kerusi roda ke bilik doktor. Semua kelas tuisyen terhenti dan bermakna aku tiada sumber pendapatan. Bermulalah situasi genting apabila aku gagal melunaskan bayaran ansuran rumah dan kereta. Bantuan anak-anakku lebih kepada keperluan makan minum. Segala bil utiliti telah tertunggak. Aku menerima surat daripada pihak bank yang meminta aku menjelaskan ansuran tertunggak dan aku telah menjelaskan keadaan aku yang sebenarnya. Bank tetap bank.

Aku menerima notis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa rumahku akan dilelong dan aku diminta hadir ke mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan. Aku cuba berunding dengan pihak bank agar pelaksanaan melelong rumahku ditangguhkan sementara waktu. Pada masa yang sama, anak-anakku telah mengumpulkan sejumlah wang untuk membayar ansuran rumah yang tertunggak. Aku juga mendapat bantuan daripada beberapa orang rakanku untuk menyelamatkan rumahku daripada dilelong. Ada juga rakan-rakan yang aku hubungi untuk meminta sedikit bantuan tetapi panggilanku tidak dijawab dan ‘whatsapp’ aku tidak dibalas. “Tidak mengapalah,” detik hati kecilku kerana mungkin rakan-rakanku juga mempunyai keperluan tertentu. Kebetulan, bayaran kereta telah selesai kubayar. Jadi, tanggungan aku hanya rumah yang sedang aku duduki. Aku bersyukur ke hadrat Allah swt kerana pihak bank bersetuju untuk menarik balik notis tersebut dengan memberikan aku satu syarat yang hendak tak hendak aku terpaksa menandatangani syarat berkenaan.

Cukup lapan bulan, aku sudah bersedia untuk kembali mengajar walaupun ketika itu kakiku belum pulih sepenuhnya dan aku masih menerima rawatan mingguan di hospital KPJ. Doktor menasihati aku supaya menangguhkan dahulu hasratku untuk bekerja semula kerana keadaan kakiku masih belum pulih sepenuhnya dan jika aku terjatuh kemungkinan kecederaan aku semakin lambat untuk pulih. Aku tidak menghiraukan larangan doktor kerana hidup perlu diteruskan. Aku yakin Allah akan mempermudahkan urusanku. Aku menggagahkan diri menaiki tangga pusat tuisyen untuk mengajar muridku semula. Ada juga ibu bapa yang meminta aku menangguhkan dahulu tetapi aku tahu apa yang aku buat.

Semasa di dalam kelas, kebergantungan kepada tongkat melambatkan pergerakan aku jadi aku ‘membuang’ tongkat dan melompat-lompat dengan sebelah kaki di dalam bilik darjah. Berat badanku susut 15 kilogram sejak kemalangan itu dan memudahkan aku mengimbangi badanku ketika melompat-lompat. Hanya separuh kelas tuisyen personal yang dapat aku hadiri kerana separuh lagi telah ditutup apabila muridku telah menggajikan guru tuisyen lain. Aku lebih selesa melompat-lompat menaiki tangga daripada menggunakan tongkat sambil isteriku mengikuti aku dari belakang.

Setelah setahun setengah, kakiku telah pulih sepenuhnya dan aku sudah mula bertugas sepenuh masa. Semua yang berlaku kuterima dengan hati yang lapang. Tiada keluh kesah kerana setiap ujian tanda Allah sayang. Lagi banyak ujian lagi banyak pahala Allah hendak berikan kepada aku. Aku sangat bersyukur kerana aku dapat berjalan semula seperti biasa walaupun tulang kakiku besi tetapi uratku bukan dawai.   

 

 

Comments