SEPANJANG JALAN KENANGAN 16

Banyak perkara berubah apabila tahun berubah. Tahun 1980-an cabarannya lebih kepada membina nama dan menimba pengalaman baharu, Tahun 1990-an pula lebih kepada memantapkan ilmu dan mempraktikkan pengalaman yang sedia ada. Manakala, tahun 2000 pula, tumpuan aku kepada mematangkan pengalaman yang ada untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan sudah tentu cabaran paling utama ialah melunaskan segala komitmen yang ada. Tambahan pula, aku telah menyambung pengajian di universiti pada tahun 2004 secara tidak dirancang menyebabkan aku perlu bijak membahagikan masa , wang  dan tenaga.

Dari segi masa, aku akan mula bekerja seawal 9.00 pagi hingga 11.00 malam. Memang ada masa ‘break’ untuk solat dan makan tetapi amat meletihkan. Aku terkejar-kejar antara tuisyen di pusat dan tuisyen di rumah murid. Pusat tuisyen ditutup apabila aku keluar mengajar di rumah murid. Aku tidak lagi menggajikan guru-guru sejak terjadi kejadian yang tidak wajar dilakukan oleh guru-guru. Aku bimbang akan perkara yang lebih buruk akan berlaku jika tidak dikawal. Pernah seorang wanita menelefon dan memarahi aku kerana tidak hadir kelas tuisyen anaknya. Aku memberitahunya bahawa aku tidak mengenalinya dan rumahnya pun aku tidak tahu di mana. Wanita itu memberitahu aku telah menerima bayaran RM400.00 sebagai wang pendahuluan tuisyen. Nama guru berkenaan ialah ‘AZMI’.

Bermati-matian dia mengatakan aku menipunya dan akan membuat laporan polis. Nombor telefon yang dia hubungi aku ialah nombor telefon yang sama dengan nombir telefon aku. Akhirnya, kekeliruan itu terjawab apabila aku menghantar gambarku melalui telefon bimbit. Wanita terdiam seketika. Wanita itu memberitahu wajahku tidak sama dengan ‘AZMI’ yang menerima wangnya. Jadi, jelaskan bahawa ada seseorang yang menggunakan nama ‘AZMI’ untuk menipunya, bak kata peribahasa ‘nasi sudah menjadi bubur’. Sejak hari itu, kad nama perniagaan aku letakkan gambarku agar bakal pelanggan tidak tertipu pada masa depan.

Aku juga terpaksa berkejar-kejar dengan masa ‘study’ aku di universiti. Selepas pulang dari mengajar tuisyen pada jam 11.00 malam, aku akan menunaikan solat Isyak dan tidur. Sekitar jam 2.00 pagi, aku akan bangun untuk menelaah modul kursus  dan kadang-kadang terlajak hingga Subuh. Aku tidak membuat pinjaman pelajaran sebaliknya aku membayar yuran menggunakan wang poket sendiri sebanyak RM26,000.00 selama empat tahun pengajian hingga tahun 2008 aku bergraduat termasuk makan minum, fotostat bahan dan petrol kereta. Banyak acara dan majlis yang diadakan oleh kaum keluarga terpaksa aku ketepikan sebaliknya aku mewakilkan isteriku untuk menghadiri acara serta majlis keluarga. Empat tahun aku jarang-jarang dilihat di khalayak keluarga sama ada sebelah keluarga aku atau isteri. Aku bersyukur isteriku memahami situasi aku walaupun kadang-kadang ada kata-kata yang menghiris perasaannya. Kegagalan dalam pengajian bermakna aku akan menanggung kerugian dari segi masa , tenaga dan kos yang telah dibayar. Alhamdulillah, aku mendapat keputusan ‘Second Class Upper’ dan aku sebenarnya layak menyambung pengajian di peringkat ‘Master’ tetapi setelah memikirkan secara mendalam cukuplah sekadar segulung ijazah lagipun aku bekerja sendiri.  

Tenaga juga sangat penting kerana aku bekerja dalam tempoh masa yang agak panjang dari 9.00 pagi hingga 11.00 malam setiap hari kecuali hari Ahad bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang. Kawan-kawan yang sama-sama mengajar tuisyen sentiasa berpesan kepadaku supaya sentiasa mengutamakan kesihatan memandangkan kami bekerja sendiri dan jika berlaku sesuatu di luar jangkaan akan mengakibatkan kehilangan sumber pendapatan. Pekerjaan aku ini dikategorikan ada kerja ada gaji !. Lainlah kawan-kawan yang bekerja sebagai guru di sekolah kerajaan atau swasta dan menjalankan kelas tuisyen secara sambilan sudah tentu lebih selamat berbanding aku dan kawan-kawan yang bekerja sendiri.

Kata orang ‘ wang bukan segala-galanya tetapi tanpa wang boleh jadi gila’. Aku sudah mempunyai komitmen tetap setiap bulan yang wajib dilangsaikan. Murid-murid pula tidak membayar yuran secara serentak kerana aku menerima gaji tuisyen setiap hari dan agak sukar untuk menguruskan wang yang masuk berdikit-dikit dan bayaran komitmen pula dalam satu jumlah tertentu. Tambahan pula, hanya aku seorang yang mencari rezeki dan isteri tidak lagi mengasuh anak-anak jiran. Segala-galanya di atas bahuku. Anak-anak pula sedang belajar dan tiga puteriku sedang melanjutkan pengajian di universiti. Walaupun mereka mendapat pinjaman pendidikan sama ada PTPTN atau MARA tetapi ada juga perbelanjaan yang perlu aku tanggung juga seperti sewa rumah, makan minum, buku-buku dan sebagainya. Namun, semua itu bukanlah satu beban kepadaku sebaliknya tanggungjawab aku terhadap keluarga.

Tiga perkara yang utama :  masa , wang dan tenaga tidak boleh berkompromi lagi. Semuanya perlu dihadap dengan hati yang cekal. Penat tolak ke tepi. Kata-kata sindiran orang aku pekakkan telinga. Pernah isteriku memberitahuku bahawa dia disindir ‘macam tak ada suami’ kerana setiap kali acara atau majlis keluarga atau sahabat handai aku tidak dapat hadir sama. Aku hanya mampu suruh dia bersabar saja kerana susah senang kita sahaja yang tahu bukan mereka di luar sana.    

 

Comments