SEPANJANG JALAN KENANGAN 15
Tahun 2008 , aku telah berjaya menamatkan pengajian ijazahku di UPM.Kalau sebelum ini aku dipandang lekeh kerana mempunyai STPM tetapi selepas itu keyakinan diri meningkat. Semasa mengajar murid-murid tuisyen kelas malam , kelayakan akademik aku menjadi pertikaian. Aku dianggap tidak layak mengajar mereka kerana mereka juga calon STPM tetapi aku hanya menjalankan tugas yang diamanahkan .
Gajiku di sekolah baru juga sebanyak RM1200.00 adalah berdasarkan kelayakan akademikku. Rakan-rakan sekerja yang memiliki segulung ijazah atau Master menerima gaji antara RM2500.00 hingga RM3500.00 pada tahun 1992. Walau bagaimanapun, kejayaan aku menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu dan Linguistik sekadar pelengkap tahap pendidikanku. Aku tidak lagi bekerja makan gaji yang mungkin ada tangga gaji lebih baik dan faktor umurku sudah mencapai 41 tahun tidak lagi layak memohon pekerjaan di sektor pendidikan. Minat untuk bekerja semula dipengaruhi oleh gaji tuisyen yang aku terima ketika itu sangat lumayan.
Aku meneruskan tugasku sebagai guru tuisyen sepenuh masa. Memang aku tidak mendapat latihan ikhtisas daripada mana-mana maktab perguruan atau universiti yang menawarkan kursus pendidikan guru. Lantaran itu, aku hanya mendapat maklumat daripada PPD atau Jabatan Pendidikan Negeri. Pernah aku hendak meminjam skema pemarkahan daripada isteri kawanku yang juga guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah kerajaan.
"Saya tak boleh bagi kepada guru tuisyen. Mereka ini mengajar bukan betul. Ajar benda salah," kata isteri kawanku ya g kutelan bulat-bukat. Malu dapat. Sedih pun dapat. Aku hanya yakin akan janji Allah bahawa ilmu yang dimanfaatkan akan menolongku di alam barzakh nanti selain amal jariah dan doa anak yang soleh. Itulah pertama dan terakhir aku berharap kepada pertolongan orang lain.
Tahun demi tahun, anak-anakku seramai lima orang semakin dewasa. Hanya seorang anak sulungku menyambung persekolahan Tingkatan 4 dan 5 di SBP Gombak atas pilihannya sendiri. Anak sulungku ini mendapat keputusan
terbaik
PMR di SMAT Hishamudin Klang tetapi kesibukan aku bekerja menyebabkan anakku mengambil keputusannya selepas majlis pengumuman keputusan PMR di sekolahnya selesai. Ada raut kesedihan di wajahnya tetapi aku tahu dia memahami tugasku dan memaafkan aku. Aku bersyukur anak sulungku kini seorang akauntan di sebuah universiti luar negara.Aku sering berpesan kepada anak-anak muridku agar belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang. Aku mempunyai seorang murid lelaki berbangsa Cina yang mengalami penyakit tulang rapuh. Pada hari pertama lagi, aku sudah diberi peringatan agar tidak menyentuh muridku ini kerana kecedeeaan patah tulang sangat tinggi. Walaupun muridku ini sudah berusia 17 tahun dan bakal.menduduki SPM tetapi dia masih duduk di dalam 'stroller' kanak-kanak dan dibantu oleh seorang pembantu khas warga Indonesia. Seorang lagi murid perempuanku selepas tamat menduduki SPM , dia berjaya melanjutkan pengajiannya di sebuah universiti awam. Malangnya, dia mengalami penyakit misteri yang menyebabkan matanya menjadi buta hingga sekarang. Muridku ini sangat peramah dan sehingga kini tetap ceria walaupun dia hanya mampu mendengar da berbual-bual.
Seorang muridku di Tingkatan 2 suka duduk di bahagian belakang bilik darjah. Muridku ini sangat cantik. Sebelum kelas tuisyen tamat malam itu, aku mengucapkan "Selamat Tahun Baru Cina" kepada murid-muridku yang akan menyambut hari perayaan mereka. Aku menyampaikan ucapan khas kepada muridku ini yang peramah dan suka tersenyum.
"Nanti esok ,Cikgu datang rumah saya ehh," katanya sambil ketawa kecil. Keluarga muridku ini datang daripada keluarga yang sangat kaya. Wajahnya juga seakan-akan orang putih. Keesokan pagi, aku mendapat panggilan telefon daripada seorang muridku bahawa muridku itu baru sahaja meninggal dunia pada hari Tahun Baru Cina kerana sakit. Selama ini dia seorang yang ceria tetapi dia tidak pernah berkongsi tentang penyakitnya.
Aku mengunjungi rumah muridku yang meninggal dunia. Ibu bapanya menangis sepuas hati kerana dialah anak sulung dalam keluarganya. Hanya yang tinggal adik lelakinya yang juga muridku. Apa yang dapat kukatakan bahawa ajal maut tidak mengira usia dan kalaulah dia masih ada umurnya sudah sebaya anak sulungku , 32 tahun. Itulah putaran kehidupan kita hanya ditentukan Allah swt. Aku masih berhubung dengan murid-muridku cuma masa aku sangat terbatas untuk melawat mereka.
Tiada apa-apa formula mendidik anak cemerlang dalam pelajaran . Aku hanya menghantar mereka ke kelas tuisyen kepada rakan-rakanku yang kukira pakar dalam subjek masing-masing. Aku juga sentiasa berpesan kepada anak-anakku agar velajar dengan tekun supaya berjaya di kemudian hari. Aku tidak mahu mereka seperti aku yang tiada peluang belajar ke universiti kerana kesempitan hidup walaupun akhirnya aku menjejakkan kaki ke menara gading pada lewat usia. Ramai yang beranggapan bahawa anak-anak guru mesti pandai kerana ibu atau bapanya guru. Aku menyangkal anggapan itu kerana kejayaan itu sudah Qada dan Qadar Allah. Namun begitu, kita mesti berusaha untuk berjaya. Aku juga mencabar anak-anakku agar mencapai kejayaan lebih daripada segulung ijazah mengatasi kemampuanku. Setakat ini cabaran itu belum bersambut. Alhamdulillah, empat anakku telah pun mempunyai ijazah dalam bidang perakaunan, ekonomi, sains dan kejuteraan dari beberapa buah universiti awam dan hanya tinggal yang bongsu sedang melanjutkan pengajian di peringkat diploma.
Comments
Post a Comment