SEPANJANG JALAN KENANGAN 14

Aku mendapat berita sekolah baharu yang dibuka oleh bekas rakan sekerjaku sudah dibubarkan. Pusat Tuisyen Siswa telah didaftarkan secara rasmi selepas melalui beberapa proses yang rumit. Murid-muridku keluar masuk sepanjang masa. Ada ketika ramai murid ada ketika kurang. Aku tetap bertahan selagi terdaya demi mencari rezeki yang halal. Kalau diikutkan sistem perniagaan aku tidak efektif kerana pada sebelah siang pusat tuisyenku ditutup dan hanya dibuka pada sebelah malam. Ada juga kawan-kawanku memberikan cadangan supaya aku menyewakan bilik-bilik tetapi aku kurang setuju kerana aku agak cerewet.
Sebelum ini, aku pernah menolong seorang guru yang hendak mengajar subjek Sejarah di tempatku. Pada mulanya tiada masalah tetapi selepas dua tiga bulan baru tersedar bekalan makanan segera seperti biskut, maggi, dan serbuk minuman sering habis. Rupa-rupanya, guru yang menumpang mengajar itu telah 'menjamu selera' setiap kali datang ke tempatku. Akhirnya, aku terpaksa memberhentikannya daripada bekerja di tempatku.
Begitu juga, ada seorang guru yang mengajar di tempatku. Semua guru mempunyai kunci 'spare' pusat tuisyen supaya aku tidak dibebani tugas membuka dan menutup pusat tuisyen. Malangnya, guru itu telah 'menyeludup' tunangnya masuk ke pusat tuisyen pada waktu malam. Pening kepala aku memikirkannya dan akhirnya terpaksa aku memberhentikan guru itu mengajar di tempatku. Aku menukar kunci mangga bagi mengelakkan sesiapa yang tidak berkenaan memasuki pusat tuisyen tanpa kebenaran . Mereka yang telah berhenti tidak memulangkan kunci 'spare' .
Pada suatu hari , ketika aku sedang mengajar di dalam bilik darjah tiba-tiba terdengar bunyi bising di tangga. Aku keluar dari bilik darjah lalu menuju ke tangga dan kelihatan hampir 20 hingga 30 orang murid berada di tangga sambil bercakap sesama sendiri. Aku membuka pintu pagar dan mereka memberitahu bahawa mereka hendak mendaftar tuisyen di tempatku.
"Kamu semua datang dari mana?," tanyaku.
"Kami dari pusat tuisyen sebelah. Kami sudah berhenti tuisyen," kata salah seorang daripada mereka. Secara spontan aku teringat akan panggilan kawanku yang meminta aku datang ke pusat tuisyennya.
Selepas pendaftaran selesai yang dibantu oleh seorang kerani, aku ingin mengetahui lebih lanjut sebab mereka beramai-ramai berhenti tuisyen sebagai sesuatu yang pelik. Akhirnya terjawab persoalan sebenar sebab mereka berpindah ke tempatku. Mereka merajuk kerana dimarahi oleh guru Bahasa Melayu. Pertanyaan salah seorang rakan mereka tentang soalan Bahasa Melayu telah ditempelak oleh guru mereka.
"Baiklah saya faham ," kataku setelah mendapat penerangan salah seorang daripada mereka.
"Lain kali nak belajar BM dengan guru berlelulusan BM bukan lulusan ekonomi," kataku menyindir. Selama ini, mereka sangat berbangga dengan guru-guru yang mengajar tuisyen mereka tetapi guru-guru itu bukan major dalam subjek yang diajar mereka.
Bilangan murid kelas personal juga bertambah dan begitu juga di pusat tuisyen. Aku amat bersyukur dengan rezeki yang diberikan Allah. Semua itu kuanggap rahmat dan kasih sayang Allah terhadap hambanya. Setelah seminggu berlalu, aku ke pusat tuisyen yang menjadi jiranku. Aku berlegar-legar di ruang depan pejabat tetapi empat orang kerani di situ tidak menyapa aku atau bertanya kepadaku.
"Saya hendak berjumpa 'Mr. L' ."
Permintaanku tidak bersahut. Masing-masing sibuk dengan kerja di meja.
Selepas berdiri di situ hampir 30 minit, 'Mr.L' muncul di ruang depan pejabat.
"Hai, Cikgu Azmi," sapa 'Mr.L' lalu menghulurkan tangan bersalam-salaman denganku. 'Mr.L' mengajak aku ke dewan kuliahnya yang sudah diubah suai umpama panggung wayang. Patutlah ramai murid datang ke situ kerana tempat belajar mereka kategori ekslusif.
"Begini ,Cikgu. I nak 'offer' U mengajar di sini," katanya membuka perbualan. Aku tidak menjawab tawarannya itu.
"U jangan risau .I boleh bayar gaji U RM12,000.00."
Tiba-tiba, seekor anjing katek berbulu putih cuba menggesel-gesel kakiku. Aku segera mengelak.
"Itu centre U kasi tutup la," kata isteri 'Mr.L' yang muncul dari belakang. Aku hanya tersenyum mendengar kata-katanya. Perbincangan itu hampir jadi tetapi aku tidak dapat menerima kata-kata isteri 'Mr.L' yang agak sombong. Aku meninggalkan pusat itu selepas sejam kami berbincang.
Keputusan muktamad aku tidak menerima tawaran 'Mr.L'. Biarlah aku dilambung ombak namun aku tetap tidak akan mengalah. Aku juga sudah membuat penyiasatan sendiri tentang guru-guru yang mengajar di situ seperti lembu ditarik hidung!

Comments

Popular posts from this blog