SEPANJANG JALAN KENANGAN 13
Akhirnya, aku membuat keputusan untuk berhenti kerja bukan meletakkan jawatan seperti rakan-rakanku yang lain. Aku sedar akan keputusan yang kuambil ini sememangnya berisiko tinggi kerana inilah kali pertama selepas 25 tahun berkhidmat sebagai guru sepenuh masa dan kini aku memilih menjalankan perniagaan dalam bidang pendidikan, iaitu tuisyen. Aku telah berbincang dengan isteriku dan dia hanya menurut sahaja keputusan aku. Aku perlu memikirkan bayaran komitmen hutang rumah, kereta, perbelanjaan sara hidup dan lebih mustahak lagi mampukan aku menjalankan perniagaan.
Sistem mengajar tuisyen dari rumah ke rumah tidak banyak cabaran atau tanggungjawab yang perlu aku pikul seperti membayar bil utiliti dan sewa bangunan. Semua ini perlu diambil kira sebelum aku ‘terjun’ dalam bidang ini. Aku mempersiapkan diri untuk pergi lebih jauh dan pada masa yang sama aku sedang bertungkus lumus menghabiskan sesi pengajianku di Universiti Putra Malaysia (UPM). Seperti sudah kujangkakan masa aku bersama isteri dan anak-anak semakin terhad. Anak-anak membesar dengan isteriku. Namun begitu, segala keperluan mereka telah aku sediakan dengan lengkap.
Hari pertama aku membuka sebuah pusat tuisyen di sebuah pekan kecil bernama Taman Eng Ann, Klang. Kawasan yang majoriti kaum Cina. Kalaupun ada kaum Melayu ialah warga asing dari Indonesia yang bekerja sebagai pembantu kedai atau restoran dan pembantu rumah. Sebuah papan iklan dinaikkan ke tingkat 2 bangunan yang aku sewa “ PUSAT TUISYEN SISWA”. Hatiku bertambah bersemangat apabila melihat sebuah perniagaan mula bertapak. Ada juga peniaga yang datang ke tempatku dan memberi ‘sepatah dua kata’ kepadaku malah mencabar aku bahawa perniagaan aku hanya akan bertahan hingga hujung tahun itu. Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata mereka kerana aku yakin akan rezeki datangnya daripada Allah Maha Kaya.
Semua rakan guru telah memilih jalan masing-masing. Ada yang menyambung perkhidmatan sebagai tutor di universiti swasta atau sekolah swasta lain. Ada yang terjun dalam bidang penternakan. Ada juga yang mendapat peluang menjadi guru di sekolah kerajaan. Ada juga yang hilang tanpa khabar berita. Tidak dinafikan ada juga yang masih meminta aku menolong mereka mendapatkan murid tuisyen atau pekerjaan di sekolah swasta lain sedangkan aku sendiri sedang berhadapan dengan liku-liku kehidupan yang tidak menentu. Apabila aku meminta mereka menolong aku mempromosikan pusat tusiyen aku yang baru dibuka mereka hanya pandai memberikan alasan dan berkata ‘ TIDAK ‘.
Aku juga mendapat berita bahawa beberapa orang rakanku telah membuka sekolah swasta dengan rakan-rakan tetapi aku berasa berkecil hati kerana mereka tidak mempelawa aku untuk bersama-sama membina sekolah baharu mereka. Murid-murid yang berhenti sekolah telah mengikuti guru-guru mereka di sekolah baharu. Aku pula menghadapi cabaran ini seorang diri.
“ Namun , ada hikmah di sebaliknya,” bisik hati kecilku.
Tahun pertama berniaga bilangan muridku turun naik seumpama YOYO. Ada masa murid ramai dan ada masa bilik darjah hampir kosong. Bermulalah kesukaran pertama , iaitu membayar hutang dan komitmen lain. Isteriku kembali bekerja menjaga anak-anak jiran seramai sebelas orang termasuk tiga orang puteriku Pelbagai kerenah manusia dapat kulihat. Aku membuat keputusan untuk mengajar dari rumah ke rumah dan pada sebelah petang dan malam aku mengajar di pusat tuisyen. Sebenarnya, aku satu-satunya peniaga Melayu di pekan Taman Eng Ann itu. Di bawah bangunan yang aku sewa ialah pasar pagi yang menjual pelbagai jenis ikan, sayur, barang keperluan dapur dan pakaian. Aku akan berdiri di tepi jalan sambil mengedarkan brosur pusat tuisyen supaya mereka menghantar anak-anak mereka ke tempatku. Ada yang menerima secara baik dan ada juga yang mengkeronyoknya di hadapanku malah membuang brosur di dalam longkang !. Aku perlu kuat mental dalam menghadapi semua cabaran baharu ini.
Tiada sesiapa yang menghubungi aku atau datang ke pusat tuisyen aku. Beberapa orang muridku yang dulunya tuisyen secara personal telah datang ke pusat tuisyen aku. Mereka memilih belajar secara berkumpulan dengan rakan-rakan dari sekolah mereka. Tuah ayam nampak di kaki tuah manusia Tuhan yang tahu. Seorang Pengetua dari sebuah sekolah menengah jenis kebangsaan Cina telah menghantar anak-anaknya tuisyen di tempat aku. Pengetua telah membantu aku mempromosikan pusat tuisyen aku dengan mengarahkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka yang lemah atau gagal subjek Bahasa Melayu. Hari demi hari, bilangan pelajarku bertambah dan sekali gus pendapatan aku bertambah. Walaupun pusat tuisyen , aku telah menggunakan latar pengalaman aku sebagai guru disiplin selama 25 tahun dan membuat beberapa peraturan di pusat ini.
Satu daripada peraturan yang telah aku tetapkan ialah murid-murid dilarang bermain telefon bimbit semasa aku sedang mengajar. Seorang murid perempuan Tingkatan 5 tidak mengendahkan larangan aku dan murid ini ialah murid baharu. Aku memberikan peringatan mesra kepada semua murid secara umum tentang larangan tersebut tetapi murid itu tetap tidak mahu mengendahkannya. Murid itu tetap bermain telefon bimbitnya tanpa mempedulikan aku yang sedang ,mengajar di hadapan bilik darjah. Akhirnya, aku terpaksa merampas telefon bimbitnya dan pada masa yang sama murid itu bagai ‘naik hantu’. Murid itu menjerit-jerit sambil memaki hamun aku dengan kata-kata kesat dan carutan dalam bahasa ibundanya.
Aku tidak memarahinya atau membalas kata-katanya yang kasar itu kerana pengalaman lalu telah mengajar aku supaya menjaga lidahku daripada mengeluarkan kata-kata yang kurang elok. Ingatanku melayang kepada satu peristiwa yang berlaku di sekolah dulu. Seorang murid baharu mendaftar masuk ke sekolah itu untuk menduduki SPM. Hari pertama dia sudah menunjukkan belangnya. Dia merokok di tangga atau di kaki lima bangunan sekolah. Pengawas-pengawas aku sudah memberikan teguran tetapi teguran itu umpama masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Apabila aku bertanya sama ada dia menghisap rokok di hadapan murid-murid lain tetapi dia menjawab dengan kata-kata kesat dan carutan yang keterlaluan.
Aku telah hilang sabar dan membalas kata-kata kesatnya yang membuatkan murid itu ‘naik gila’ secara tiba-tiba. Berlaku perang mulut antara aku dengan murid itu. Segala kerusi meja dan papan putih di dalam bilik darjah ditendangnya. Aku telah bertindak memarahinya dan perbuatan aku itu tidak dapat menenangkannya. Murid itu telah membaling papan amaran ‘COUTION’ di tangga tetapi sempat ditepis oleh rakan guruku sehingga papan itu pecah dua. Guru itu merupakan pemenang medal emas sukan taekwando semasa Kejohanan Taekwando Remaja Dunia mewakili Malaysia. Murid itu terdiam melihat kejadian itu dan melarikan diri ke dalam bilik darjah kosong.
Ibu murid itu dipanggil datang ke sekolah dan murid itu telah diberikan surat amaran gantung sekolah kerana melanggar peraturan disiplin sekolah dan cuba menyerang guru. Sekali lagi, aku dipanggil oleh Pengetua.
“Cikgu ada cakap sesuatu kepada dia? ,” tanya Pengetua sambil tersenyum sumbing.
“Saya tidak dapat kawal emosi saya. Kata-katanya sangat melampau,” jawabku.
“Itulah pasal dia nak serang Cikgu . Jadi, Cikgu jangan guna kata-kata kesat terhadap murid. Cikgu kena sabar,” kata Pengetua.
“Saya minta maaf ?,” kataku sambil menundukkan kepala.
“Cikgu tak belajarkah tentang adab sopan?,” tanya Pengetua lagi. Aku hanya mendiamkan diri. Aku masih ingat tentang teguran Pengetua kerana aku tidak mempunyai baju hujan menyebabkan aku datang lewat ke sekolah. Ini kali kedua aku kena ‘basuh’ di dalam bilik Pengetua tanpa kehadiran orang lain. Cara Pengetua mengendalikan murid-murid dan guru-guru telah memberi aku inspirasi untuk menjadi seorang guru bukan sahaja berpengalaman tetapi bijak mengawal emosi.
Loceng pintu berbunyi dan ingatanku terus terpadam. Ibu murid perempuan itu telah datang ke pusat tuisyen selepas seorang kawannya menghubungi ibu murid itu. Ibu murid itu meminta maaf kepadaku dan memberitahuku bahawa pusat tuisyen aku ialah pusat yang keempat selepas dia dibuang kerana masalah yang sama, iaitu bermain telefon bimbit. Akhirnya, murid itu telah berhenti belajar di pusat tuisyen aku. Selepas kejadian itu, seorang muridku memberitahu aku bahawa seorang murid Tingkatan 2 telah pergi ke Kafe Siber di seberang jalan. Murid itu sebenarnya ponteng kelas tuisyen. Jadi, aku mengintip murid itu dan ternyata benar aduan yang disampaikan kepadaku. Aku telah menghubungi bapa murid itu dan kami menunggu di tingkat atas. Murid itu tiada di dalam bilik darjah kerana ponteng ke Kafe Siber.
Apabila tiba waktu balik, murid itu muncul semula dan terkejut besar kerana bapanya berada di pejabat. Satu ‘flying kick’ hingga di muka murid itu dan murid itu terpelanting ke dinding pejabat. Itulah kali pertama aku melihat seorang bapa ‘flying kick’ anaknya. Murid itu diberhentikan oleh ayahnya kerana sikapnya yang suka ponteng. Walaupun tindakan aku menyebabkan muridku berhenti dan sedikit kutipan yuran tuisyen terjejas tetapi aku berpegang kepada prinsip bahawa pendidikan bukan sekadar akademik tetapi juga pendidikan akhlak. Murid-murid yang belajar di pusat tuisyenku mencecah lebih 400 orang. Jumlah yang sangat besar bagi seorang guru yang mengajar ‘single’ subjek.
Pada suatu hari, aku menerima panggilan telefon daripada seorang pengusaha pusat tuisyen seperti aku. Kami sudah saling mengenali sejak tahun 1980-an tetapi sekarang kawanku ini sudah mempunyai lima buah pusat tuisyen di sekitar bandar Klang dan bilangan muridnya hampir mencecah 2000 orang. Aku dijemput datang ke pusat tuisyennya yang terletak di seberang jalan pusat tuisyen aku. Nada suaranya mesra dan kawanku ingin berbincang sesuatu serta berharap aku dapat datang berjumpa dengannya.
Comments
Post a Comment