SEPANJANG JALAN KENANGAN 12
Kusangka seorang
rupanya tiga orang rakan sekerja di sekolah lama meminta pertolonganku untuk
mengajar di sekolah ini. Boleh kukatakan sekolah lama telah ‘terkubur’ apabila
kesemua 12 orang guru telah meletakkan jawatan. Pentadbiran sekolah juga telah
memutuskan aliran sekolah ditukar kepada sekolah swasta aliran agama. Guru yang
dianggap sebagai ‘wali’ juga telah berhenti mengajar kerana berkahwin dengan
guru yang selalu aku dijadikannya mangsa menggantikan slot subjeknya. Aku juga
dimaklumkan oleh bekas muridku sistem pengurusan sekolah juga berubah ‘Islamik’
dengan beberapa peraturan baharu. Manakala, murid-murid dalam kalangan kaum
India dan Cina tidak lagi belajar di sekolah itu.
Murid-murid yang
gagal atau ingin menyambung pelajaran telah beralih arah ke sekolah ini pula.
Hari demi hari bilangan murid semakin bertambah. Malahan, bilangan guru juga
bertambah termasuk ‘team’ guru yang
kubawa masuk dari sekolah lama. Pengetua memberi kepercayaan penuh kepadaku
bahawa bekas rakan sekerjaku merupakan guru-guru cemerlang dalam subjek
masing-masing. Imej sekolah ini terus mendapat perhatian daripada Jabatan
Pendidikan Negeri Selangor.dan bermakna urusanku sebagai Ketua Peperiksaan
Dalaman menjadi lebih mudah. Setiap kali mendaftarkan nama murid-murid yang
akan menduduki SPM dan STPM mencecah ratusan orang murid dengan jumlah kutipan
yuran hampir RM100,000.00.
Walaupun aku sibuk
dengan beberapa tugasan lain seperti guru disiplin namun tanggungjawab aku mengajar
di dalam bilik darjah tetap berjalan seperti biasa. Keputusan peperiksaan SPM
dan STPM di peringkat kebangsaan di sekolah ini terus-menerus mencatatkan
kecemerlangan. Kemasyhuran sekolah lama semakin tenggelam dan tidak lagi dilihat
sebagai pesaing utama. Sekolah ini semakin terkenal di seluruh Malaysia dan
beberapa kali Pengetua telah ditemuramah oleh stesen radio. Namun begitu, aku
tidak nampak adanya penglibatan parti politik dalam urusan pentadbiran atau
menumpang nama kerana syarikat ini dipayungi oleh pemegang-pemegang saham.
Pada masa yang
sama, murid-murid kelas tuisyen persendirian aku juga semakin bertambah. Namaku
terletak sebaris antara guru terbaik Bahasa Melayu di daerah Klang. Beberapa
peluang telah datang kepadaku pada masa aku masih lagi mengajar di sekolah ini.
Aku telah ditawarkan menjadi tutor Bahasa Melayu oleh pihak Majlis Sukan Negara
(MSN) pada tahun 1998 bagi persediaan atlet-atlet yang bakal menduduki SPM
ketika Sukan Komanwel ( SUKOM ) diadakan di negara ini sebagai tuan rumah. Aku
mengajar secara ‘part time’ dan mendapat kebenaran daripada Pengetua. Pada
tahun 2001-2002 , aku juga ditawarkan mengajar calon-calon SPM di Universiti
Malaya dengan kerjasama Jabatan Pengajian Melayu dan Sejarah. Aku mengutip pengalaman
sedikit demi sedikit. Kemampuan mengendalikan 500 orang murid pada satu masa di
dalam dewan kuliah amat mencabar mental dan fizikal. Ketika itu aku dibayar
saguhati sebanyak RM600.00 bagi setiap satu jam aku mengajar. Memang lumayan
dan aku tidak mudah melatah sebaliknya inilah masa dan peluang untuk aku
membeli sebuah rumah sendiri yang berharga RM660,000.00.
Suasana di sekolah
yang aman damai dan tiada unsur politik pejabat yang ketara sehinggalah pada
tahun 2004 sudah ada bibit-bibit perpecahan dalam kalangan guru dan
pentadbiran. Hal ini berlaku apabila pihak ibu pejabat telah melantik seorang
Pengarah baharu dan mengambil alih tugas Pengetua atas sebab-sebab tertentu.
Kemudian berlaku perbalahan antara pentadbiran lama dengan pentadbiran baharu.
Beberapa kes disiplin yang kuanggap kes sensitif mendapat teguran keras
daripada pihak atasan. Aku sebagai guru disiplin sekolah ini perlu ke hadapan
untuk menjawab beberapa persoalan berkaitan tahap disiplin murid-murid.
Bermula dengan kes
sekumpulan murid Tingkatan 6 yang menaiki kereta mengelilingi bandar Klang dan
memandu secara melulu. Kenderaan mereka telah dikejar dan dipintas oleh sebuah
MPV Polis. Nyaris-nyaris kenderaan tersebut hendak ditembak oleh
anggota-anggota polis kerana pemandu kereta enggan memberhentikan kenderaan
apabila diarahkan berhenti. Kesemua mereka seramai 7 orang di dalam sebuah
kereta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan. Aku dan Pengetua
diarahkan datang ke IPD untuk mengesahkan murid-murid itu dari sekolah ini.
Setibanya aku di IPD, beberapa orang anggota CID telah menunggu kami di sebuah
bilik di tingkat bawah bertentangan bilik SMS ( Setor Menyimpan Senjata).
Secara kebetulan
beberapa orang CID yang bertugas mengenali aku kerana mereka merupakan bekas
muridku yang menghadiri kelas tuisyen sesi malam di sekolah lama.
“Bantai je !,”
kataku dengan nada geram kepada bekas murid-muridku. yang berdiri di pintu
bilik siasatan. Murid-muridku yang duduk sebaris di atas bangku panjang
memandangku dengan wajah terkejut. Ada yang hampir menangis kerana ketakutan
melihat anggota CID yang ramai di hadapan mereka. Anggota-anggota CID
tersenyum-senyum mendengar ‘arahanku’ . Mereka meminta aku memberikan ‘sepatah
dua kata’ kepada murid-muridku yang masing-masing berwajah muram dan takut.
Selesai menyampaikan ‘sepatah dua kata’ semua ahli keluarga murid-murid itu
dibenarkan berjumpa dengan anak-anak mereka di dalam bilik siasatan. Kes itu
dianggap selesai selepas semua murid dibebaskan dengan jaminan polis.
Kali kedua berlaku
kes seorang murid Tingkatan 6 ditembak mati oleh sepasukan anggota CID di
Sepang , Selangor. Kejadian yang menggemparkan negara ketika itu. Ketika
kejadian, murid malang itu dikatakan bertindak sebagai pemandu sebuah kereta
yang disyaki dinaiki sekumpulan penjenayah yang diekori pasukan khas PDRM.
Kematian murid ini menjadi bualan hangat dalam kalangan murid dan guru sekolah.
Aku mengenali mangsa yang meninggal dunia kerana dia ialah muridku sendiri. Susulan
kejadian itu, aku dan Pengetua telah ‘diwawancara’ sepasukan pegawai atasan
dari Bukit Aman dan keterangan kami juga telah dirakam untuk siasatan. Keluarga
mangsa telah membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi dan kes itu telah menjadi kes
berprofil tinggi. Selama dua jam aku ‘ disoal’ dengan beberapa soalan yang
diklafikasikan ‘sulit’ malah aku juga dimaklumkan bahawa kegiatan murid itu
telah diintip oleh pihak polis. Hal itu juga telah aku ketahui lebih awal
kerana aku pernah terserempak dengan ‘seseorang’ yang bersembunyi di bawah
tangga bangunan sekolah selama beberapa
minggu dan ‘seseorang; itu juga ialah bekas muridku pada tahun 1990-an. Semua
yang berlaku adalah kebetulan !
Kes itu juga
menjadi hangat apabila beberapa orang guru, murid dan keluarga mangsa melakukan
‘demonstrasi’ aman dan disiarkan di dalam surat khabar dan televisyen. Pengetua
telah melepaskan jawatan atas sebab-sebab tertentu dan digantikan dengan
seorang Pengetua baharu. Beberapa orang guru turut menurut jejak langkah Pengetua
meletakkan jawatan masing-masing. Pada tahun 2004, aku sedang melanjutkan
pengajian di Universiti Putra Malaysia melalui Pendidikan Jarak Jauh (PJJ). Aku
tidak hilang fokus tetapi suasana di sekolah menjadi semakin kucar-kacir
apabila ramai murid yang turut berhenti sekolah. Seorang demi seorang dilantik
sebagai Pengetua tetapi mereka juga meletakkan jawatan. Akhirnya, pihak atasan
melantik aku sebagai Ketua Pentadbiran (HOD) yang menjalankan tugas Pengetua
dan wakil syarikat di Klang. Andainya, semua ini tidak terjadi ketika itu aku
sudah berpeluang menikmati tangga gaji dengan kelayakan guru berijazah tetapi
semua itu bukan rezeki aku.
Hari demi hari
keadaan semakin kusut dan aku sendiri terumbang-ambing menjalankan tugas di
sekolah seorang diri. Ada juga kakitangan pejabat yang berhenti kerja untuk
mencari peluang bekerja di tempat lain. Perasaan aku sudah berbelah bahagi
antara kekal di sekolah ini atau meneruskan kelas tuisyen persendirian aku. Aku
berada di persimpangan setelah hampir 25 tahun bergelumang sebagai pekerja
makan gaji atau aku harus memilih bekerja sendiri.
Comments
Post a Comment