SEPANJANG JALAN KENANGAN 10
Sekali terjatuh ke dalam lubang biawak tidak mungki terjadi kali kedua. Aku kini lebih teliti dan mengambil tahu soal kebajikan sebagai pekerja. Aku akan memastikan caruman KWSP aku yang dipotong setiap bulan seperti yang tertera pada slip gaji dimasukkan oleh majikan aku setiap bulan. Segala-galanya berjalan dengan lancar di sekolah ini cuma cabaran baharu aku ialah urusan disiplin murid. Ada sekali satu kes membabitkan seorang murid Tingkatan 5 membawa ‘barang terlarang’. Sebenarnya, sudah beberapa kali murid ini membawanya ke sekolah dan apabila tiba waktu rehat murid-murid bebas keluar dari kawasan yang ditetapkan oleh pihak sekolah.
Sekolah lama dulu mempunyai kantin tetapi sekolah ini tiada kemudahan kantin kerana tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan. Lantaran itu, murid-murid sekolah ini dibenarkan makan minum di restoran atau warung di kawasan berhampiran sekolah. Aku mendapat laporan daripada pengawas bahawa terdapat segelintir murid merayau-rayau hingga ke stesen bas Klang Utara di bawah Great Wall. Perkara seumpama ini perlu ditangani kerana dibimbangi murid- murid sekolah ini terjebak dalam gejala negatif.
Murid yang ditangkap kerana memiliki ‘barang terlarang’ telah dibawa ke bilik Pengetua. Aku dimaklumkan oleh pengawas bahawa aku dipanggil oleh Pengetua ke pejabat. Aku segera ke tingkat 1 menuju ke pejabat Pengetua. Di dalam bilik Pengetua sudah ada beberapa orang guru termasuk Penolong Kanan. Aku bertanya kepada murid itu sama ada ‘barang terlarang’ itu kepunyaannya tetapi dia menafikannya bersungguh-sungguh. Kami berbincang tentang tindakan yang patut diambil dan akhirnya murid itu digantung sekolah oleh Pengetua dan ibu bapa murid itu diminta hadir ke sekolah.
Murid itu aku kenali kerana keluarganya berjiran denganku di tempat tinggal lama sebelum aku dan keluarga berpindah rumah selepas bapaku pencen. Kedatangan ibu bapa murid itu disertai sama oleh kakak-kakaknya. Mereka meminta pihak sekolah tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap anak mereka kerana ‘barang terlarang; itu bukan kepunyaan anak mereka. Aku jadi serba salah kerana Pengetua meminta aku membuat keputusan. Aku menyerahkan sebarang keputusan atas kebijaksanaa pihak sekolah. Ibu bapa murid itu merayu kepadaku supaya anak mereka dibenarkan bersekolah di situ. Akhirnya, murid itu dibuang sekolah. Aku meminta Pengetua agar tidak melaporkan hal itu kepada pihak polis demi masa depan murid itu. Selepas kejadian itu, keluarga murid itu tidak lagi bertegur sapa denganku sehingga sekarang jika terserempak di mana-mana.
Murid-murid di sekolah ini mengamalkan sikap berlumba-lumba dalam pelajaran. Tambahan pula, guru-guru yang mengajar di situ memberikan sepenuh tumpuan untuk melihat murid-murid yang pernah gagal ini menyambung pengajian hingga universiti. Tiada guru yang datang lambat ke sekolah walaupun hujan lebat. Pernah sekali aku ditegur dengan tegas oleh Pengetua kerana hadir lewat ke sekolah disebabkan hujan.
“Gaji yang sekolah bayar kepada Cikg tak cukupkah untuk membeli baju hujan?,” tanya Pengetua berdesing telinga aku mendengarnya. Aku hanya membatukan diri dan menunduk malu.
“Kalau gaji Cikgu tak cukup beritahu saya supaya saya boleh tambah gaji Cikgu untuk beli baju hujan,” sambung Pengetua. Sejak itu, aku tetap akan sampai di sekolah tepat pada waktunya walaupun hujan lebat kecuali aku sakit dan berehat di rumah. Kata-kata Pengetua itu aku ambil ikhtibar yang positif bahawa matlamat tidak akan tercapai kalau kita hidup dengan alasan !. Nokhtah.
Apabila tiba Hari Guru, pihak sekolah akan menyewa satu tingkat di Hotel Mutiara Klang. Murid-murid akan menjalani latihan selepas waktu sekolah di bilik darjah masing-masing. Oleh sebab murid-murid di sekolah ini terdiri daripada berbilang bangsa acara-acara yang bakal diadakan penuh berwarna-warni. Paling seronok apabila persembahan murid-murid di atas pentas diiringi lagu komposer lagu Tamil yang terkenal sekitar tahun 1990-an ,iaitu A.R. Rahman. Aku pun jadi peminat lagu-lagu ciptaannya yang menggunakan melodi moden dan bertenaga. Sambutan Hari Guru tidak sah kalau guru-guru tidak diberikan hadiah jadi berbungkus-bungkus hadiah dibawa balik di dalam bakul motosikal SUZUKI RC-80 aku.
Selepas setahun bekerja di sekolah ini, aku telah membeli sebuah kereta Perodua Kancil berwarna kelabu tetapi aku tiada lesen memandu kereta . Kadang-kadang isteriku yang menghantar aku ke sekolah selepas menghantar anak-anak jika hari hujan. Aku lebih banyak menunggang motosikal daripada dihantar dengan menaiki kereta ke sekolah. Selepas hampir setahun aku telah mempunyai lesen memandu kereta itupun dua kali ujian jalan raya aku telah gagal. Akhir sekali, aku merayu kepada pegawai JPJ yang duduk di sebelahku bahawa aku sangat memerlukan lesen memandu kereta untuk pergi mengajar dan menghantar anak-anak ke sekolah.
“Ohhh..Cikgu,” kata pegawai JPJ lalu menandatangani borang dan ditulis ‘LULUS’.
Hari-hari persekolahan aku masih sibuk tetapi aku berasa seronok kerana aku diberikan kebebasan untuk merangka pelan tindakan sama ada berkaitan disiplin di sekolah mahupun urusan peperiksaan dalaman. Sekali gus, aku sebenarnya dapat belajar cara-cara menguruskan pentadbiran sekolah ( selepas 8 tahun kemudian aku telah membuka tiga buah pusat tuisyen swasta sendiri di bandar Klang hasil daripada pengalaman dan pengetahuan aku dalam bidang pentadbiran sekolah ini ). Kalau dulu, aku dan guru-guru tidak dibenarkan mengajar di sekolah lain, pusat tuisyen atau mengadakan kelas tuisyen sendiri selepas waktu persekolahan. Di sekolah ini, aku dan rakan-rakan ‘dibenarkan’ mengajar tuisyen untuk menambahkan pendapatan keluarga asalkan tidak menganggu tugasan hakiki. Paling penting, aku mesti pandai menyusun jadual tuisyen sendiri dan hanya sesekali aku terpaksa membatalkan kelas tuisyen jika mesyuarat pentadbiran dan guru-guru diadakan selepas waktu sekolah tamat.
Pada suatu hari , aku berhadapan dengan kedegilan seorang murid Tingkatan 6 kerana tidak berpuas hati apabila rambutnya digunting . Rambutnya terlalu panjang. Muridku ini cuba melawan dan membantah tindakan aku tetapi aku tetap dengan keputusan aku untuk menggunting rambutnya. Berbagai-bagai alasan diberikan demi mengelakkan tindakan tersebut. Alasan aku pula sudah beberapa kali amaran dan peringatan diberikan namun tidak diendahkannya. Sejurus turun dari bangunan sekolah selepas tamat sesi persekolahan ,pintu kereta kesayanganku kemek sebelah pemandu. Sedihnya hati hanya Tuhan yang tahu.
Sejak aku meninggalkan sekolah lama, aku mendapat pelbagai berita daripada beberapa orang bekas rakan sekerja aku yang masih berkhidmat di sana. Mereka meminta aku menolong mereka untuk mendapatkan pekerjaan di sekolah ini. Lama juga aku memikirkan hal tersebut dan akhirnya aku mendapat satu idea. Hanya jauhari mengenal manikam.
Comments
Post a Comment