SEPANJANG JALAN KENANGAN 1

 

Mulai 1 JULAI 2022 , aku akan berkongsi pengalaman suka duka dan pahit manis aku bergelar seorang guru. Diam tak diam sudah memasuki tahun ke-35 aku menggalas tanggungjawab ini.  Aku menjadi guru selepas mendapat tawaran daripada Pengetua sebuah sekolah swasta tempat aku menuntut ilmu di Tingkatan 6 pada bulan April, 1987. Bagi orang Klang sekitar tahun 1980-an, sekolah swasta ini dikenali Institut Hafiz sangat terkenal di seantero Malaysia. Apa tidaknya, setiap kali keputusan SRP, SPM dan STPM diumumkan akan terpampang di tengah-tengah muka surat akhbar utama Berita Harian dan Utusan Malaysia bukan puluhan tapi ratusan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang masing-masing.

 

Institut Hafiz sebuah sekolah swasta yang menawarkan peluang kedua kepada mereka yang ingin mencapai impian seperti aku juga. Aku bersekolah di Institut Hafiz pada tahun 1985 (Tingkatan 6 Bawah ) dan 1986 ( Tingkatan 6 Atas) . Aku juga seperti murid-muridku yang gagal dalam peperiksaan SPM membawa aku tercapak ke sekolah swasta berbayar. Aku hanya mendapat sijil SAP di peringkat SPM dan tidak layak ke mana-mana sama ada Tingkatan 6 sekolah kerajaan apatah lagi kolej atau universiti jauh sekalilah.

 

Usai mendapat keputusan STPM yang sederhana , 4 Prinsipal dan gagal subjek ekonomi aku ditawarkan mengajar tuisyen di sekolahku ini. Memanglah aku berasa serba salah kerana tiada pengalaman mengajar di sekolah. Tetapi pengalaman mengajar anak-anak jiran tetangga adalah sebegai kerja ‘part time’ selepas pulang bekerja sebagai ‘cleaner’. Sejak aku berjinak-jinak mengajar tuisyen semasa aku di Tingkatan 3 (SRP) aku sudah bertekad hendak membantu anak-anak jiranku bukannya mencari wang tetapi mereka tetap menghulur bayaran  RM5.00 sebagai upah. Bagi yang tidak membayar upahku aku tidak pula  memaksa mereka membayar.

 

Hari pertama mengajar aku tidak berasa kekok hanya aku kurang pengalaman dari segi ‘style’ mengajar. Lebih-lebih lagi aku tidak mempunyai latihan iktisas seperti rakan-rakanku yang memasuki maktab perguruan. Kenapa tak mohon masuk maktab ? Sebenarnya , soalan ini ditanya kepadaku sehingga hari ini. Kenapa tak jadi guru sekolah kerajaan? Selepas mendapat keputusan STPM, aku ditawarkan tempat di ITM, Shah Alam dan jurusan MASSCOM. Memang sudah ditakdirkan aku tidak berjaya menyambung pengajian di ITM kerana sebab-sebab tertentu. Aku pernah memohon untuk menyambung pengajian di USM tetapi gagal. Aku bertolak ke Pulau Pinang dengan menaiki bas ekspres dan itulah kali pertama aku ke Pulau Pinang !. Semalaman aku tidur di dalam bas dan sampai di Pulau Pinang hampir Subuh.

 

Aku menaiki teksi menuju ke USM. Setibanya di USM, aku ke bahagian pendaftaran dan berjumpa dengan Ketua Pendaftar. Namun, jawapan yang aku terima daripada Ketua Pendaftar amat memilukan hatiku. Aku disuruh menduduki semula SPM kerana keputusan SPM aku tidak memuaskan. Aku berjalan kaki meninggal bangunan pendaftar menuju ke pintu keluar. Sebuah teksi menghantar aku ke stesen bas untuk pulang ke Klang. Sejak itu , aku tidak lagi menyimpan sebarang harapan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau memohon pekerjaan di sektor pekerjaan. Walau bagaimanapun, aku mendaftarkan nama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan diberikan nombor giliran ke- 22,000.00 !

 

Akhirnya, aku menokhtahkan semua itu dan memberikan tumpuan mengajar di sekolah swasta. Setiap hari aku berulang – alik ke Klang dari Pelabuhan Klang menaiki bas Klang – Banting Berhad. Aku mula mengajar dari jam 8.00 pagi dan Pengetua melantik aku sebagai guru disiplin memandangkan pengalaman aku sebagai pengawas sekolah sejak di Tingkatan 2 dulu. Manakala, semasa aku bersekolah di Tingkatan 6, aku dilantik sebagai Penolong Ketua Pengawas (1) dan tidak sampai tiga bulan dilantik timbul krisis antara Pengetua dan Ketua Pengawas (nama tidak dapat kusebutkan di sini dan rakan setugasku kini seorang Guru Penolong Kanan sebuah sekolah menengah di Klang).

 

Kesan daripada krisis itu, aku dilantik sebagai Ketua Pengawas dan aku diberikan kepercayaan untuk memimpin perhimpunan sekolah setiap hari Isnin. Tugas aku membaca laporan mingguan , membaca doa dan menjemput guru-guru yang ditugaskan berucap pada pagi itu. Apabila aku menjadi guru disiplin sekolah, aku tidak menghadapi apa-apa kesulitan kerana aku menyambung tugasan yang pernah aku lakukan sebelum ini tetapi kali ini aku pula menyampaikan ucaptama jika Pengarah atau Pengetua tidak hadir sesi perhimpunan.

 

Aku ditugaskan mengajar Bahasa Malaysia ( sekarang Bahasa Melayu ) kepada murid-murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 serta kelas tuisyen pada sebelah petang. Aku dibekalkan oleh Pengetua buku teks dan buku rujukan yang sudah terpakai. Gajiku ketika itu RM220.00 lebih RM100.00 gaji sebagai ‘cleaner’ . Ada buku-buku yang sudah bercerai-berai tetapi masih boleh dibaca. Aku mengajar murid-muridku sambil aku menambahkan pengetahuan aku tentang subjek Bahasa Melayu. Tiada sesiapa yang boleh aku jadikan rujukan sebaliknya aku hanya belajar sendiri. Barang kali kelebihan yang aku ada ialah aku ini ‘ulat buku’ . Setiap hari aku membaca buku tidak kira surat khabar, majalah atau buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Aku akan berjalan kaki dari sekolah ke perpustakaan awam di seberang ( sekarang di hadapan bangunan MPK) untuk membaca buku sementara aku ada masa terluang. Kelas tuisyen diadakan selepas jam 3.00 petang hingga malam.

 

Tahun pertama sebagai guru tidaklah begitu mencabar melainkan kekurangan pengalaman untuk menarik minat murid-murid belajar bersungguh-sungguh. Kebanyakan murid yang belajar di sekolah ini datang dari luar negeri Selangor. Sebuah asrama lelaki dan asrama perempuan disediakan oleh pihak sekolah untuk murid-murid dari luar negeri Selangor. Terdapat berbagai-bagai loghat bahasa dalam kalangan murid. Ada loghat Kedah, Kelantan, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang termasuk Sabah dan Sarawak. Masing-masing datang dengan membawa satu impian , KEJAYAAN !

   

Comments

Popular posts from this blog