Episod : SETEM
Semasa zaman kanak-kanak tahun 1970-an dan 1980-an,
masing-masing mempunyai hobi tertentu. Ada yang mempunyai hobi memancing ikan ,
melastik burung , membela ika pelaga atau menonton wayang . Hobi aku ketika
sekolah rendah ialah mengumpul setem. Kebetulan pula aku tinggal di Pelabuhan
Klang. Banyak syarikat perkapalan di sekitar pekan kecil Pelabuhan Klang.
Selepas pulang dari sekolah , aku dan beberapa orang
kawan yang mempunyai hobi yang sama akan berjalan kaki ke syarikat-syarikat
perkapalan sekitar pekan Pelabuhan Klang. Semua tong sampah kami punggah untuk
mencari sampul surat. Kebanyakan sampul surat bersetem luar negara yang ‘
original ‘. Kegilaan mengumpul setem sehingga aku membeli sebuah album setem.
Sampul-sampul surat akan dikoyak di bahagian setem dan
sampul-sampul surat itu dibuang semula ke dalam tong sampah. Ada setem dari
England, Netherland, China , Burma (Mynmar) , Indonesia , Thailand dan beberapa
negara asing. Masing-masing berlumba-lumba menyelongkar tong sampah.
Kadang-kadang dikejar oleh penjaga bangunan kerana mengotorkan kawasan belakang
bangunan. Kami akan lari lintang-pukang tetapi perlahan-lahan kami akan datang
semula menyelongkar tong sampah.
Kami akan bertukar-tukar setem yang sama atau sudah
ada di dalam album. Apabila pasar raya Great Wall dibuka di tengah-tengah pekan
Pelabuhan Klang , ada dijual setem tetapi setem dicetak atau lebih tepat setem
palsu. Aku dan kawan-kawan akan ke Great Wall sambil diawasi ketat oleh pekerja
kerana selalu berlaku kecurian di situ. Zaman itu tidak mewah seperti sekarang.
Wang saku ke sekolah hanya 20 sen atau 50 sen. Kalau hendak membeli pensel ,
pemadam atau pengasah pensel terpaksalah berjimat-cermat. Apabila waktu rehat
hanya membeli mi sup 10 sen dan hirup air paip.
Bagi yang dewasa dan sudah bekerja mereka mempunyai
hobi menonton wayang sama ada di panggung REX atau CATHAY di pekan Pelabuhan
Klang. Masing-masing bergaya dengan kaki seluar kembang dan baju petak-petak
manakala yang perempuan bergaun seperti
filem ‘GREASE’ atau bergaya dengan jaket pasar malam setiap Jumaat seperti di
dalam filem ‘AZURA’. Zaman itu ramai yang berselipar walaupun bergaya macam
hendak pergi temuduga.
Sekarang kenangan mencari setem hanya tinggal
kenangan. Setem-setem masih tersimpan kemas di dalam album yang sudah berusia
lebih 40 tahun. Sesekali membelek album teringat kepada kawan-kawan yang sama –
sama menyelongkar tong sampah.
Comments
Post a Comment