EPISOD : SEMINGGU RAYA ( Hari Pertama )

 

Hari Raya Aidilfitri tahun ini jatuh pada 2 Mei 2022 hari Isnin bersamaan 1 Syawal 1443H setelah diumumkan oleh penyimpan mohor besar Majlis Raja-raja Melayu. Suasana pada malam itu sedikit kelam-kabut memandangkan tarikh Hari Raya Aidilfitri telah ditandakan di dalam kalender 3 Mei 2022 bersamaan hari Selasa. Semua ini adalah ketentuan Allah swt jua.

Keesokan pagi kedengaran takbir raya dari corong Masjid Al-Falah . Kampung Idaman, Pelabuhan Klang. Aku dan dua orang anak lelaki, Mukriz dan Eiman bersiap dengan berbaju Melayu dan bersampin menuju ke masjid. Kami sampai di masjid pada jam 8.00 minit pagi dan jangkaan aku solat sunat Aidilfitri pada jam 8.00 pagi meleset kerana solat bermula jam 8.30 pagi. Semasa solat Subuh tiada pengumuman tentang masa solat sunat hari raya diumumkan.

Kebanyakan Jemaah yang hadir di masjid dengan wajah yang berseri-seri memakai pakaian lengkap berbaju Melayu dan bersampin lengkap. Sebahagian Jemaah terdiri daripada warga asing Indonesia dan Bangladesh. Mereka jugalah yang memenuhi saf solat Subuh sepanjang bulan Ramadan lalu.

Khatib Ustaz Halim yang juga Imam Pertama Masjid Al-Falah mengetuai solat sunat hari raya dan memberikan taklimat ringkas tentang cara-cara solat sunat hari raya yang dilakukan dua kali setahun. Usai khutbah dibaca masing-masing bersalam-salaman dan memohon maaf zahir batin andainya ada terkhilaf selama menjadi rakan dan jemaah. Kenderaan yang aku naiki meninggalkan pekarangan masjid dan masih terngiang-ngiang pesanan Ustaz supaya masjid terus diimarahkan selepas Ramadan ini.

Sesampai di rumah, aku menjamah biskut tart yang dikirim oleh pelanggan aku melalui perkhidmatan grab. Tiada lemang. Tiada ketupat. Tiada rendang. Tiada kuah kacang. Semuanya berlaku secara mengejut. Aku mengajak mereka ke rumah kakak sulungku di Taman Pendamar Indah , Pelabuhan Klang untuk berhari raya bersama-sama. Kemudian , adik lelakiku datang bersama-sama keluarga. Di rumah kakakku sudah ada rendang Negeri Sembilan dan kuah kacang serta ketupat yang dimasak oleh adik perempuanku sebelum mereka bertolak ke Ramuan Cina  berhari raya di sana.

Aku meratah segala makanan yang dihidangkan di atas meja. Di dalam fikiranku , segala lemak yang berkurangan sepanjang bulan Ramadan akan naik mendadak . Tekaan aku benar. Sepanjang bulan Ramadan beratku turun sebanyak 4 kilogram tetapi dalam masa sehari sudah naik 3 kilogram. Selepas bergambar bersalam-salaman dan bermaaf-maafan, kami menuju ke rumah Maksu kami sebelah bapa yang satu-satunya masih ada di Port Garden,Pelabuhan Klang.

Aku menyambung makan ketupat dan rendang di atas meja. Memang misi balas dendam benar-benar terjadi. Pada hari itu, dapat juga aku berjumpa dengan kaum kerabat yang datang dari Pasir Mas, Kelantan. Riuh-rendah suasana hari raya pagi itu dengan sepupu-sepapat. Kami bergerak pulang ke Taman Pendamar Indah dan kemudian ke Meru, Klang. Rumah ibu mentuaku. Tidak semua ada pada pagi itu kerana masing-masing berhari raya di rumah mentua masing-masing. Kuah lodeh, lemang, ketupat, masakan Jawa memenuhi meja makan. Sekali lagi, aku memenuhi misi balas dendam. Semua yang ada aku sental sepuas-puasnya. Usai solat Zohor, masing-masing sudah mula ‘landing’ di ruang tamu termasuk aku.

Seorang demi seorang ipar duai datang dan sesi bergambar pun bermula. Kemudian bersalam-salaman dan bermaaf-maafan “Podo Podo”. Sampul duit raya ‘berterbangan’ dari tangan ke tangan. Kira-kira jam 4.00 petang , kami pun pulang ke rumah di Bukit Tinggi, Klang. Aku sempat mengemas kawasan di luar rumah yang tidak sempat dikemas tempoh hari kerana keletihan dan cuaca yang agak panas sepanjang Ramadan tahun ini.

Selepas Maghrib, aku ke rumah besanku Haji Ariffin ( Pak Long ) orang lama di Kampung Jawa, Klang. Besanku yang memang menjalankan perniagaan ‘catering’. Ada nasi berlauk, ketupat , rendang dan mi goreng. Semuanya aku mamam. Pada malam itu, kami hanya berehat di rumah dan tiada tetamu yang datang ke rumah. Hal ini sudah menjadi kebiasaan kami yang tinggal di sini sejak 20 tahun yang lalu. Semua jiran Melayu akan pulang ke kampung masing-masing manakala kampung kami di Pelabuhan Klang dan Meru. Tiada istilah ‘bergaduh’ nak pulang ke kampung siapa pada hari raya. Pagi di Pelabuhan Klang, tengah hari di Meru, petang di Pelabuhan Klang dan malam di Meru. Begitulah amalannya setiap tahun. Sejak ibu bapaku sudah kembali kea lam abadi, aku tidak lagi berasa kemeriahan hari raya.

Esok, kami merancang untuk berjalan-jalan ke rumah sepupu dan rakan handai arwah ibu bapaku. Sudah menjadi amalanku, stetiap kali hari raya , aku akan membawa isteri dan anak-anakku ke rumah rakan handai arwah ibu bapaku bagi meneruskan hubungan silaturahim yang dibina oleh kedua-dua arwah.

  

Comments

Popular posts from this blog