Episod : MONEY CHANGER
Dulu-dulu sekitar tahun 1986 , terdapat sebuah kedai Money Changer (MC) di tingkat bawah bangunan UMBC Pelabuhan Klang. Sebuah lagi kedai Money Changer di tepi jeti Pelabuhan Klang. MC di bangunan UMBC di tengah-tengah pekan kecil Pelabuhan Klang (Kuala) dimiliki oleh peniaga India Muslim. Manakala, MC di jeti pula dimiliki oleh peniaga Cina. Aku tidak pernah melihat kedai MC dimiliki peniaga Melayu.
Kedudukan Pelabuhan Klang sebagai sebuah pekan yang sentiasa dikunjungi kapal-kapal dagang atau kapal perang luar negara menjadikan perniagaan MC sangat rancak. Kelasi-kelasi kapal atau anggota-anggota tentera kapal perang dari luar negara akan bertumpu di MC untuk menukar matawang asing.
Pekerja-pekerja di dermaga Pelabuhan Klang juga ada membuat tukaran matawang asing yang didapati daripada kelasi-kelasi kapal dagang yang singgah. Sejak aku mula menulis karya sastera di akhbar dan majalah, bayaran yang diterima dalam bentuk cek. Ketika itu, akaun yang aku miliki hanyalah akaun di pejabat pos. Jadi, urusan menunaikan cek tersebut mengambil masa untuk ditukar kepada nilai tunai.
Dua hari sebelum hari raya, aku menerima sekeping cek bernilai RM180.00 daripada Utusan Malaysia sebagai saguhati karya aku yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Oleh sebab aku ingin segera mendapatkan wang tunai, aku terpaksa menukarkan cek tersebut di kedai MC. Seorang saudaraku telah membawa aku ke kedai MC di bawah bangunan UMBC. Peniaga telah mengenakan bayaran bagi menukar cek berkenaan. Kemudian, saudara aku juga mengambil sedikit upah kerana membawa aku ke kedai MC tersebut. Baki daripada bayaran tunai itu kuberikan kepada ibuku untuk membeli barang-barang persiapan untuk menyambut hari raya .
Pengalaman menukarkan cek kepada wang tunai di kedai MC sangat berharga bagiku kerana aku tidak lagi mengharapkan bantuan saudaraku itu. Sebaliknya, setiap kali aku menerima bayaran daripada mana-mana syarikat surat khabar atau majalah, aku akan menukarkan cek itu sendiri. Selamatlah duit aku daripada kena ‘paw’ . Bayaran saguhati bagi sebuah sajak yang tersiar di akhbar dan majalah tidak menentu. Kadang-kadang RM15.00 dan kadang-kadang RM25.00 tetapi selalunya tiada bayaran saguhati diterima daripada editor.
Saudaraku juga sering singgah di rumahku untuk bertanya sama ada aku ingin menukarkan cek di kedai MC tetapi selalu aku katakana tiada bayaran diterima. Pelik pula, dia yang rajin hendak menukarkan cek tersebut di kedai MC. Sekitar tahun 1999, aku semakin kurang menulis karya sastera kerana kesibukan bekerja.
Aku tidak lagi menerima sebarang bayaran daripada syarikat akhbar. Kedai MC juga tidak lagi aku kunjungi. Peniaga kedai MC yang berbadan gempal sebaya aku juga hanya tersenyum apabila melihat aku melintas di hadapan kedai untuk meronda di pasar malam hari Jumaat. Kenangan menukar cek di kedai MC masih segar di dalam memori hidupku.
Comments
Post a Comment