Episod : LAWAN TENTERA

Flat LPK (Lembaga Pelabuhan Klang) terletak di sebelah pintu masuk ke dermaga Pelabuhan  Selatan. Kejadian letupan dan kebakaran besar sekitar tahun 1980 masih segar di dalam ingatanku. Pada malam malapetaka itu, aku dan adik-beradikku berkaki ayam menuju ke Sungai Udang Klang ke rumah sepupuku untuk menyelamatkan diri. Anggota-anggota FRU dan tentera sudah mula membanjiri pekan kecil Pelabuhan Klang bagi menjaga keamanan dan keselamatan.

Peristiwa jemaah haji yang akan berangkat ke Mekah pada awal tahun 80-an dengan menaiki kapal laut di dermaga Pelabuhan Selatan seakan-akan pesta. Kereta dan teksi berpusu-pusu memasuki pagar Pelabuhan Selatan. Ada juga bakal jemaah haji dan keluarga mereka duduk singgah di rumah-rumah penduduk flat. Bukan ahli keluarga kami tetapi kami menyambut mereka yang datang dari seluruh pelusuk negara dengan tangan terbuka. Kami menghidangkan minuman untuk menghilangkan dahaga.

Pelayaran ke Mekah melalui jalan laut mengambil masa berbulan-bulan. Ada yang tidak sempat sampai telah meninggal dunia kerana uzur dan sakit tua. Wajah bakal jemaah haji berseri-seri dan pelbagai loghat bahasa dapat didengar. Loghat Kedah, loghat Pulau Pinang, loghat Kelantan dan beberapa loghat bahasa yang sukar difahami.

Pelabuhan Selatan juga menjadi dermaga persinggahan kapal-kapal perang dari seluruh dunia. Ada masanya , kami dibenarkan melawat kapal perang di Pelabuhan Selatan. Berbondong-bondong penduduk flat LPk dan kawasan sekitarnya memasuki pagar Pelabuhan Selatan yang sentiasa dikawal ketat oleh pihak keselamatan pelabuhan yang beruniform hijau.

Kawasan dermaga sememangnya sangat panas. Tiada bumbung hanyalah langit yang terbentang luas. Kapal perang dibuat daripada besi menambahkan bahang panas tetapi di dalam kapal perang keadaan nyaman kerana terdapat pendingin hawa. Aku juga tidak melepaskan peluang untuk meninjau kawasan dalam kapal perang dari luar negara.

Apabila kapal perang berlabuh di Pelabuhan Selatan, anggota-anggota tentera yang beruniform serba putih akan turun dari kapal. Mereka akan ‘berkeliaran’ di pekan kecil Pelabuhan Klang untuk membeli barangan peribadi atau cenderamata untuk dibawa pulang ke destinasi masing-masing. Kami yang ketika itu masih kanak-kanak akan meminta wang daripada anggota-anggota tentera. Ada yang bermurah hati akan memberi wang kertas atau wang syiling negara asal mereka.

Aktiviti anak-anak muda di flat LPK pada waktu petang ialah bermain bola sepak. Suasana meriah dengan permainan layang-layang, netball dan berbasikal di tepi padang. Apabila ternampak anggota-anggota tentera dari kapal perang berjalan pulang ke dermaga, mereka diajak untuk bermain bola sepak. Pernah sekali, anggota-anggota tentera laut Korea Selatan bermain bola sepak melawan pasukan bola sepak Flat LPK. Pemain-pemain bola sepak pasukan flat terdiri daripada anak-anak muda flat dan beberapa pemain luar yang berkawan dengan penduduk flat.

Anggota-anggota tentera Korea Selatan menyidai uniform mereka di tepi pagar padang. Hanya bersinglet atau berlenggeng, mereka bermain bola sepak dengan kasut kulit hitam berkilat. Tubuh mereka kelihatan ‘mantap’ kerana latihan ketenteraan. Seperti ayam dan itik sedang kejar mengejar. Kedengaran jeritan dalam bahasa Korea yang tidak difahami dicampur bahasa Melayu riuh-rendah di padang bola sepak. Kadang-kadang lucu juga apabila sesama mereka berebut bola dan terlepas peluang menjaringkan gol. Usai perlawanan, mereka akan menikmati minuman yang disediakan di dalam sebuah baldi.

Masing-masing bersalam-salaman di tepi padang dan bergurau senda dengan kami kanak-kanak yang mengelilingi mereka. Wajah kegembiraan terpancar di wajah mereka mungkin sudah lama mereka meninggalkan tanah air mereka dan keluarga mereka. Ada kawan-kawanku yang digendong dan ada yang dilambung-lambung sambil ketawa gembira. Apabila hari telah lewat petang, mereka kembali ke kapal perang mereka dan kami pulang ke rumah masing-masing apabila azan Maghrib berkumandang dari surau di luar pagar flat LPK. Itulah kenangan lawan tentera Korea Selatan di padang bola flat LPK.

Comments

Popular posts from this blog