Episod: BERPELUH SATU BADAN

Benda boleh selesai tapi saja cari pasal ..kisah dua hari sebelum raya. Tiga kereta saling menyondol semasa lampu merah. Pemandu kereta pertama yang melanggar warga emas suami isteri. Kereta yang tengah wanita muda. Aku paling depan . Sedang asyik melayan Radio Klasik .."sayang semuanya sudah terlambat.." Suara Shidee memang merdu. "Gedegangggg". Hampir tercabut cermin mata. "Alahai.." Aku pun keluar dari kereta. Sensor belakang MYVI is KING berlubang.
Baru dua bulan lepas aku cat baru keretaku sama 'colour' pulak dengan BMW 'new series'. But kereta dan bumper pakcik remuk. Mungkin dia mengantuk tertekan pedal. Bumper kereta MYVI is KING pemandu wanita itu rebeh. Aku ajak mereka je tepi kubur bersebelahan Masjid Ar Rahimiah depan Hospital Besar Klang. Masing2 melihat kerosakan kereta masing.
"Beginilah, masing-masing ikut saya pergi bengkel area sini. Tanya bengkel berapa kena repair," cadang aku kepada mangsa-mangsa.
"Saya kena tunggu suami saya datang," kata wanita muda itu.
"Kita jumpa kat bengkel . Selesai masalah," kata pakcik yang melanggar.
"Tak boleh. Tunggu suami saya datang," ulang wanita muda itu. Jam menunjukkan pukul 2.00 petang . Mahu tak mahu , aku gerak pulang ke rumah kerana aku ada kelas ONLINE jam 2.30 petang. Aku mengambil maklumat pemandu wanita itu dan memintanya membayar kerosakan sensor keretaku. Kesan calar pada bumper aku abaikan saja.
Seharian aku menunggu panggilan atau whatsapp wanita itu. Pakcik yang terlibat dalam kemalangan itu pula menelefon aku bertanya tentang penyelesaian kes aku. Kata pakcik itu, suami wanita itu meminta ganti rugi RM600 untuk menggantikan bumper keretanya. Pakcik itu malas untuk memanjangkan cerita terus membayar harga diminta. Tapi, kata pakcik itu harga bumper kereta wanita itu tidak sampai RM200.
"Tak apalah, pakcik. Raya dah dekat kira bumper baru dapat duit raya pun dapat," kataku memujuk pakcik itu.
"But dan bumper kereta saya RM700 saja," kata pakcik itu sedikit kesal.
Keesokan pagi aku tiada kelas tuisyen. Selepas sarapan aku ke balai polis trafik Klang Selatan untuk membuat report kemalangan semalam. Aku diminta mengisi sekeping borang maklumat sebelum nombor giliran aku dipanggil. Aku merakam borang itu dan menghantar kepada whatsapp wanita semalam.
"Suami saya kata tak payah buat report.Kita jumpa kat bengkel di Jalan Kapar," balas wanita itu melalui whatsapp. Aku memberitahu anggota yang bertugas di kaunter bahawa aku tidak jadi membuat report kerana pemandu yang melanggar akan membaiki kerosakan keretaku. Anggota polis berkenaan menasihatiku agar memastikan bayaran dan kerosakan diselesaikan.Jika tidak, aku diminta datang semula ke balai polis untuk membuat report.
Tunggu punya tunggu, akhirnya pemandu wanita itu muncul di bengkel itu bersama-sama suaminya.
"Saya tak boleh lama-lama .Saya ada 'appointment' hospital," kata sang suami. Aku diam saja. Kami menunggu di depan bengkel hampir sejam kerana tuan punya bengkel datang lewat sedikit. Aku pun duduk di kerusi kedai sebelah. Kedai cat 'body' kereta. Tokey orang Kelantan kerana pelat perbualannya.
"Kampung abang di mana?," tanyaku sambil tersenyum.
"Kelantan," jawab tokey kedai. Dua orang pekerja Vietnam sedang sibuk menyediakan sebuah kereta untuk dicat.
" Kelantan kat mana," tanyaku lagi .
"Kat Jeli," kata tokey itu tersenyum-senyum.
"Abang asal mana?," tokey itu bertanya aku pula.
"Saya orang sini," jawabku. Malas aku nak sembang keturunan aku dari Kelantan kerana aku sendiri tidak pandai bertutur dailek sana. Nanti aku dikatakan 'Kelantan murtad' seperti kata kawanku. Lantaklah. Benda tak ada dalam kitab pun. Buat apa nak gaduh.
Tidak lama kemudian, mekanik pun sampai. Aku berjalan ke kereta. Suami wanita itu keluar dari kereta. Kami bertiga melihat bumper kereta aku dan kelihatan bahagian sensor berlubang. Kaki sensor sudah patah akibat pelanggaran semalam.
"Sensor ini memang dah patah bukan sebab 'accident' semalam," terpacul suara sang suami. Tiba-tiba, aku berpeluh satu badan.
"Kamu tak nak nampak ke lubang sensor tu," jawabku . Kalau tadi aku memanggilnya tuan kali ini aku memanggilnya kamu.
" Kalau patah mana wayar. Kereta saya ada wayar sensor," kata sang suami.
" MYVI lama sensor satu klip tak ada wayar," kata mekanik itu. Mungkin dia menyedari aku semakin panas.
"Saya tunggu 'runner' datang hantar barang sekejap lagi," kata mekanik.
"Nanti saya bayar ," kata sang suami dengan lagak bersahaja dan terus masuk ke dalam kereta meninggalkan aku dan mekanik.
"Tak pa ,bang. Nanti saya pasang sensor baru," kata budak mekanik yang baik dan bersopan itu.
"Dia ingat MYVI baru dia KING. MYVI lama aku lagi KING tau," detik hati kecilku.
Telefon aku berdering. Kedengaran suara pakcik semalam.
"Berapa kena repair?," tanya pakcik itu.
"Entahlah. Suami perempuan tu kata dia akan bayar. Selesai kes," kataku.
"Saya, suami dia suruh bayar RM600. Saya ajak ke bengkel dia tak nak," suara pakcik seakan sedih. Mungkin dia berasa dirinya diperdaya oleh suami wanita itu. Kalau aku menunggu di tempat semalam mungkin tak berlaku perkara ini. Bumper MYVI yang baru tidaklah mahal mana.
"Sabar je la pakcik," kataku mengakhiri perbualan kami.

Comments

Popular posts from this blog