Episod : KENA KEJAR

Petang semalam aku berbuka di Masjid Bandar Diraja Klang, Ini kali kedua aku ke sana untuk merasai suasana berbuka bersama-sama ‘musafir’ jalanan. Rata-rata yang berbuka di sana warga asing yang datang bersendirian atau berkeluarga. Hanya beberapa orang termasuk aku, imam, bilal dan pengawal keselamatan orang tempatan .
Sebelum berbuka, aku singgah di sebuah bank di hadapan Galeri Diraja Klang. Banyak kenderaan di kiri kanan kerana masyarakat India membeli-belah di Jalan Tengku Kelana. Dari jauh kulihat seorang perempuan sedang berjalan laju menuju kea rah keretaku. Aku pun cepat-cepat keluar dari kereta dan masuk ke dalam bank. Usai giliran aku menggunakan mesin ATM bank, aku melihat perempuan itu masih berdiri-diri berdekatan keretaku.
Aku mengesyaki perempuan itu hendak meminta sesuatu daripada aku berdasarkan gelagatnay yang tertinjau-tinjau ke sana dan ke sini. Jam sudah menunjukkan pukul 7.00 petang dan tidak lama lagi waktu berbuka puasa bagi bandar Klang 7.24 petang dan sewaktu dengannya.
Aku menolak pintu kaca bank dan berjalan lambat-lambat ke keretaku yang aku parkir sebentar di hadapan pejabat pos besar Klang Selatan yang bersebelahan Galeri Diraja Klang. Memang betul, perempuan itu pun segera mendekati aku.
“Encik, cantiklah nombor kereta encik . No.8,” kata perempuan itu sambil tersengih-sengih. Aku cuma mendiamkan diri kerana aku sendiri kurang faham dengan maksudnya itu.
“Encik,kereta ini cantiklah. Nombor pun cantik,” ulangnya lagi. Aku menyeluk poket baju dan cuba menghulurkan sedikit wang kepadanya.
“Saya tak mahu duit,” katanya sambil tersengih-sengih.
“Awak nak apa?,” tanyaku kembali.
“Saya nak ikut, Encik,” katanya berterus-terang.
‘Eh, tak boleh. Mana boleh,” kataku menolak permintaannya. Perempuan itu kuanggap ‘ kurang sihat’ ‘ walaupun dia berpakaian kemas.
“Bolehlah, Encik,” katanya seakan memaksa aku.
“Saya kata tak boleh,” kataku dengan mengeraskan suara.
Perempuan itu seakan tidak tenang. Aku cuba membuka pintu kereta tetapi dia semakin merapati aku.
“Ah , sudah ,” detik aku di dalam hati. Waktu berbuka semakin hampir. Corong pembesar suara Masjid India Klang sudah berkumandang dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Fikiranku ligat memikirkan cara untuk ‘melarikan diri’ daripada perempuan yang tidak kukenali ini pada waktu rembang senja. Sebelah saja Galeri Diraja Klang yang menyimpan pelbagai khazanah dahulukala. "Buat hal la ,” desis hati kecilku lagi.
“Macamana nak lari ? ,” aku berfikir untuk melepaskan diri daripada perempuan misteri ini.
Aku berjalan ke hadapan kereta dan perempuan itu mengekori aku dan aku segera berjalan pantas ke belakang kereta. Perempuan itu sudah berada di bahagian belakang tepi kereta. Sepantas kilat, aku membuka pintu kereta dan terus mengunci kereta dari dalam. Manalah tau, tiba-tiba dia membuka pintu penumpang dan duduk di dalam kereta. Andainya hal itu terjadi aku akan memandu kereta ke IPD Klang Selatan . Biarlah anggota-anggota di balai polis yang menguruskannya.
Apa yang pasti perempuan itu berdiri tercegat memandang aku berlalu pergi dan menundukkan kepalanya. Azan Maghrib dan tanda berbuka puasa kedengaran dari corong radio dan aku terus meluncur laju menuju ke Masjid Bandar Diraja Klang. “ Marilah Bersembahyang Marilah Menuju Kejayaan “….

Comments

Popular posts from this blog