Episod : BAZAR PAKISTAN
Semalam 16 Ramadan 1443 Hijrah, aku mengajak isteriku ke Seksyen 7 Shah Alam untuk membeli pakaiannya sebagai persiapan menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri. Jalan raya mulai sesak di hadapan bangunan Jakel yang terang - berderang dengan lampu berwarna-warni. Kereta berderetan memenuhi ruang parkir dan tepi jalan yang sibuk.
Dua orang anggota RELA menjalankan tugas mengawal lalu lintas yang padat dengan kenderaan keluar masuk. Sebuah khemah besar Jakel sedang riuh-rendah dengan suara penjula melalui pembesar suara melelong baju raya dan karpet sehingga 90%. Aku masih tercari-cari ruang parkir dan aku agak bernasib baik kerana tidak lama menunggu sebuah Estima putih dengan anak-beranak berjalan menuju ke kereta.
"Ah, ruang parkir untuk OKU!," getus hatiku. Aku tidak tergamak untuk merebut parkir OKU apatah lagi anak-beranak yang menaiki kereta Estima putih semuanya sihat walafiat. Tidak pastilah kalau mereka pekak atau bisu. Aku meneruskan pencarian ruang parkir dan Allah Maha Adil kerana selang dua buah kereta sebuah parkir kosong. Aku yakin Allah membalas apa yang aku lakukan tadi dengan tidak mengambil hak parkir untuk OKU.
Orang ramai berpusu-pusu menyerbu kedai-kedai yang menjual pakaian dan keperluan untuk menyambut hari raya. Dari sebuah kedai ke sebuah kedai kami meninjau-ninjau pakaian yang sesuai. Hajat hati hendak membeli pakaian raya rasanya terpaksa dipadamkanm kerana harganya terlalu mahal. Memanglah ada pilihan lain yang lebih murah tetapi ada harga ada rupa. Aku memegang sehelai baju kelawar dan isteriku hanya tergelak kecil. Mana mungkin hari raya pakai baju kelawar.
Sebenarnya, pagi tadi anak sulungku sudah membawa kami membeli-belah di Bangi. Anakku membelikan ibunya sehelai pakaian dan tudung di sebuah butik. Harganya pakaian itu sepadan kualiti kain dan rupanya. Ramai juga yang sedang beratur di hadapan kedai Bulan Bintang di situ terutamanya anak muda. Kebiasaannya, anak-anak kami akan membelikan ibu ayah mereka sama ada pakaian , kasut atau duit raya. Biasanya mereka akan membelikan aku kemeja atau kasut. Jadi, bersusunlah kasut aku lebih lapan pasang di dalam almari.
Aku mengajak isteriku ke seberang jalan. Khemah-khemah menjual pakaian raya didominasi peniaga Pakistan. DJ memasang lagu Rock bersilih ganti dengan lagu Hindustan. Hilang mood raya aku mendengar lagu-lagu yang diputarkan tiada kena mengena dengan suasana hari raya. Kami bergerak ke tempat peniaga menjual baju kemeja batik.
"Berapa harga sehelai ,dik," tanyaku kepada seorang peniaga muda. Lambat dia menjawab.
"RM89.00 sehelai," jawabnya. Aku menarik tangan isteriku mengajaknya ke khemah lain.
"Minggu lepas baju yang sama di Mydin Subang baru RM35.00," rungutku seperti berbisik kepada isteriku dalam suasana yang bingit itu. Kami menuju ke kedai Jakel pula. Beberapa orang pekerja warga Pakistan sibuk melayan pembeli yang keluar masuk.
"Baju macam ni harga RM300.00," rungutku lagi sambil memegang sehelai baju kurung biru yang beropol-ropol. Langsung aku tidak berminat hendak membelinya. Akhirnya, aku mengajak isteriku pulang kerana tiada yang berkenan di hati tambah lagi harganya sangat mahal.
"Nah, awak ambillah RM500.00 ni , belilah apa-apa yang awak hendak," kataku sambil meletakkan wang itu ke dalam tapak tangan isteriku. Kami melalui di hadapan Gulati's dan teringat butik yang pernah kami buka beberapa tahun lalu tetapi terpaksa ditutup kerana kurang sambutan. Kedudukan butik kami agak jauh daripada tumpuan orang ramai dan tersorok pula walaupun bersebelahan gedung Gulati's. Aku terus memandu pulang ke Bukit Tinggi dan berselisih dengan kenderaan yang bertali arus menuju ke Seksyen 7 Shah Alam.Tiada maknanya membeli pakaian mahal kalau hanya hendak dipakai pada hari raya tetapi aku lebih suka membeli pakaian yang sesuai dipakai untuk bekerja bak kata orang 'alah membeli menang memakai'.
Comments
Post a Comment