Episod :
BAZAR KUALA
Setiap kali tiba bulan Ramadan suasana di pekan kecil
Pelabuhan Klang sangat meriah. Bukan sahaja di Flat LPK riuh-rendah dengan
budak-budak flat bermain mercun dan bunga api tetapi pasar besar Pelabuhan
Klang juga sibuk dengan orang ramai membeli bahan-bahan untuk memasak berbuka
puasa. Biasanya aku akan berjalan kaki dari flat ke pasar besar yang masih wujud
sehingga hari ini. Malahan , peniaga-peniaga yang sama masih ada dan telah tua.
Cincau yang dijual di pasar besar dipotong empat segi
sebesar buku roti. Ais dibeli di kedai Mek Som di blok C tingkat bawah. Di
hadapan pasar besar ada bazar Ramadan .Peniaga-peniaga makanan dan minuman ini
juga penduduk flat dan penduduk sekitar Pelabuhan Klang. Pada zaman 80-an ,
makanan di bazar ialah makanan yang biasa dimasak di rumah seperti mi goreng,
mi hoon goreng dan kuih-muih tradisional. Tiada nasi Arab. Tiada masakan ‘
Western’. Tiada air balang ‘koir’.
Makanan dan minuman juga dibungkus menggunakan kertas
surat khabar atau plastik untuk minuman. Tiada cawan plastik. Harga makanan dan
minuman mampu beli biasanya seringgit atau lebih sedikit. Peniaga-peniaga akan
duduk menunggu pelanggan yang terdiri penduduk sekitar pekan kecil itu atau
kelasi-kelasi kapal yang turun di dermaga untuk merasai makanan tradisional
orang Melayu.
Bagi peniaga dari Pantai Timur, mereka menjual nasi
kerabu dan nasi dagang. Manakala, kuih-muih citarasa orang Kelantan di samping
kuih-muih lain. Aku akan lalu di bazar dan jarang membeli makanan atau minuman.
Poket pun hanya duit syiling. Antara peniaga yang menjual di bazar itu ada ‘dia’
yang kukenali. Aku suka melihat ‘dia’ kerana kulitnya cerah dan pemalu. Aku
akan membeli makanan kegemaran aku mi hoon goreng atau mi goreng di gerainya. ‘Dia;
akan tersenyum-senyum membungkus makanan yang aku minta dan ‘dia; malu-malu
untuk mengangkat muka melihatku.
Begitulah keadaan yang berulang-ulang selama sebulan
berpuasa. Bazar akan mula beroperasi selepas beberapa hari tiba bulan Ramadan
dan ditutup dua atau tiga hari sebelum Hari Raya. Pada kesempatan itu, dapatlah
aku melihat-lihat ‘dia’ berniaga di bazar. Kadang-kadang, aku pulang hampa
kerana ‘dia’ tidak menolong keluarganya berniaga pada hari itu.
Bazar Ramadan pada tahun 80-an tidak seperti sekarang.
Dulu-dulu, pembeli tidak ramai tetapi sekarang pembeli sanggup beratur
berjam-jam untuk membeli juadah kegemaran. Mungkin salah satu sebabnya makanan
yang dijual ialah makanan yang biasa dimakan hari-hari. Bukan makanan ‘special’
atau kategori pelik yang dijual di bazar.
Suasana di sekitar pasar besar dan bazar di pintu
depan pasar agak sibuk apabila azan Maghrib hampir tiba. Aku akan pulang ke
rumah yang terletak tidak jauh dari pasar besar apabila azan Maghrib sudah
hampir tamat supaya sampai di rumah boleh terus berbuka. Menanti waktu berbuka
puasa memang amat menyeksakan. Rasanya masa berpuasa dulu lebih lama daripada
sekarang.
Kini, tahun 2022 tiada lagi bazar Ramadan di depan
pintu pasar besar Pelabuhan Klang. Suasana sudah sunyi sepi . Hanya warga asing
yang membanjiri Pelabuhan Klang berkeliaran ke sana ke sini. ‘Dia’ juga sudah
tiada di situ lagi. Nostalgia bazar Ramadan Pelabuhan Klang tahun 80-an masih
segar di dalam ingatan.
Comments
Post a Comment