Episod: PETUA
Cerita ini aku kongsi daripada seorang kawan aku yang
juga sama-sama mengajar tuisyen. Dia juga seorang guru di sekolah menengah
kerajaan. Setiap minggu , aku akan berjumpa dengannya untuk bersembang sambil minum teh. Kawanku ini telah
beristeri dua. Setakat yang aku tahu. Isterinya mudanya juga seorang guru yang mengajar
di sekolah yang sama. Kiranya, aku ini saksi hidup perjalanan kawanku dan kisah
percintaannya sehingga menjadi suri rumah tangganya.
Kadang-kadang kami melepak di sebuah bilik seperti
setor di sekolah tempat kawanku mengajar. Cikgu perempuan ini kerap pula datang
ke setor mengambil barang-barang seperti buku dan alat tulis. Jadi, adalah
adegan usik-mengusik kawanku ini membuatkan cikgu perempuan ini tersipu-sipu
malu. Sampailah suatu masa, semasa aku menunggu kawanku ini di sebuah restoran
mamak , dia turun dari kereta sambil ditemani cikgu perempuan itu.
Aku tidaklah bertanya terus tetapi aku melihat cara
kawanku ini lain macam. Sahlah. Kawanku ini sudah berkahwin dua. Aku tidak
berminat untuk mengetahui susunan plot ‘Jerat Percintaan’ mereka berdua. Pada
aku, asal mereka bahagia. Kalau ada masalah mereka dan keluarga merekalah yang
menanggungnya.
Sejak berkahwin dua, kawanku ini sering mengajak aku
keluar minum. Dia meminta pertolongan aku untuk mencari ‘client’ personal
tuisyen kerana katanya kewangannya agak tenat apabila tiba hujung bulan. Aku
jenis yang tidak minat mengambil tahu atau ‘busy body’ hal orang lain hanya
bersetuju untuk membantunya. Aku Cuma berpesan kepadanya agar menjaga nama
baikku demi memelihara reputasiku.
Akhirnya , aku mendapat ‘client’ baharu yang berminat
untuk belajar tuisyen dengan subjek yang diajarkan oleh kawanku ini.
Lebih-lebih lagi, dia guru sekolah kerajaan dan ibu bapa lebih yakin dengan
golongan guru sekolah berbanding tutor seperti aku. Bezanya, guru sekolah
kerajaan mengikuti kursus di Maktab atau Institut Pendidikan manakala aku lebih
bergantung kepada pengalaman semata-mata dan reputasi. Kalau diukur dari segi
kelayakan akademik tiada bezanya kerana aku juga lepasan Ijazah Univerisiti
dalam bidang Bahasa dan Linguistik. Begitulah, kisahnya.
Mula-mulanya, aku berpuas hati dengan servis kawanku
ini mengajar tuisyen. Lama-kelamaan, timbul masalah lain. Kawanku ini akan
membawa sama isteri mudanya ke rumah ‘student’ dan tidur di sofa pula. Hal ini
agak kurang manis kerana di rumah tentunya ada ibu bapa atau ahli keluarga
lain. Bukan semua ‘student’ mempunyai bilik khas untuk belajar tuisyen.
Nasiblah, kadang-kadang di dapur, di bilik tidur atau di ruang tamu. Paling
teruk belajar di ruang dapur kerana semasa kita mengajar orang gaji memasak
atau menggoreng makanan ‘tidak halal’ dan asap memenuhi ruang dapur. Aku akan
cabut lari keluar.
Kalau bernasib baik, tempat belajar sangat ‘eksklusif’
umpama bilik hotel terutamanya rumah-rumah VVIP yang aku mengajar. Bilik bawah
tanah pun ada di rumah empat tingkat. Ada juga rumah yang dipasang pendingin
hawa hampir 24 jam sehari. Turun kereta masuk rumah sejuk macam ‘Cameron
Highland’. Minuman tin berlambak dalam peti ais , buah-buahan dan makanan
ringan boleh makan setiap kali kelas diadakan tetapi jangan membawa isteri atau
anak-anak ke tempat tuisyen. Aku menjadikan ini sebagai peraturan aku dan
disiplin.
Adalah sekali-sekala aku membawa isteriku ke rumah ‘student’
untuk menghantar aku kerana pada masa itu aku hanya mempunyai sebuah kancil.
Dari situ, ibu ‘student’ aku akan berbual-bual dan menjadi kawan. Banyak yang
diberikan kepada isteriku seperti pokok hiasan dan ada juga yang meminta
isteriku memasak masakan kesukaan mereka seperti ketupat, rendang, lodeh, dan
masakan Kelantan seperti nasi kerabu dan laksam. Mereka akan menempah makanan
itu apabila sambutan hari jadi, majlis keluarga atau kawan-kawan dari luar
negara juga. Bayaran tidak perlu risau kerana mereka tidak berkira pasal
bayaran.
Jadi, kawanku ini menimbulkan masalah kepada aku pula
apabila ibu bapa pelajar komplen kepada aku hal dia membawa isterinya dan tidur
di sofa ruang tamu rumah mereka. Aku sudah memberikan teguran tetapi dia tetap
membawa isterinya. Akhirnya, dia diberhentikan mengajar dan aku tidak boleh
dipersalahkan kerana aku sudah memberikan ‘amaran’ awal kepadanya.
Namun kawanku ini ada mengajar aku beberapa petua. Aku
tidak pula berasa petuanya sangat berfaedah.
“Mi,
kau kalau lepas tuisyen jangan balik rumah terus. Kau cakaplah kelas habis
lambat,” katanya. Petua nombor satu.
“Kenapa?,” tanyaku ringkas. Dia tersenyum-senyum melihat aku yang tidak tahu
apa-apa.
“Kau
bolehlah jumpa kawan-kawan. Untung-untung boleh buat nombor dua,” katanya lalu
ketawa terkekek-kekek.
“Hmmm.
Kau ni tak ada benda lain la, “ kataku yang baru memahami maksudnya.
“Lagi
satu, kau jangan bawa orang rumah kau ke rumah student,” katanya lagi. Petua
nombor dua.
“Kenapa
pulak,” tanyaku lagi.
“Kalau
kau dah ada dua nanti orang rumah kau tak tau kau duduk mana,” katanya sambil
ketawa lagi.
“Hissh.
Kau punya petua tak boleh pakailah,” jawabku sambil tersenyum.
Lama-kelamaan,
hubungan kami semakin jauh kerana kesibukan masing-masing dan dia juga sudah
berpindah ke daerah lain. Ada juga aku dengar khabar daripada mamak restoran
bahawa kawanku ini sudah beristeri lagi, dah tiga !!..
Comments
Post a Comment