Episod:GANU KITE(2)
Hari ini hari kedua aku di bumi Terengganu. Aku mengajak isteriku mencari tempat sarapan. Tidak jauh dari Homestay Seri Ibai tempat penginapan kami, sebuah warung yang ramai pelanggan sedang beratur. Aku memilih laksam manakala isteriku memilih nasi dagang . Nasi kerabu tidak dijual.
Teh tarik buih atas. Seketul belacan sebesar ibu jari terpaksa kuasingkan ke tepi kerana terlalu masin. Teh tarik manis leting (dialek Pantai Timur). Usai makan kami bergerak ke pusat bandar.
Jam 8.30 pagi aku sudah terpacak depan pintu Pasar Payang. Orang tidak terlalu ramai mungkin masih awal pagi. Kompleks pasar baharu dan sebahagian masih dalam pembinaan. Berjalan-jalan tanpa tujuan untuk membeli. Nak beli kain songket aku sudah mempunyai berbelas-belas kain songket di dalam almari. Aku terpandang baju kemeja batik lengan pendek yang sangat cantik. Selepas dicuba padan dengan tubuhku saiz XXXL. Aku belikan juga untuk isteriku kain batik ela berwarna biru gelap.
Aku melihat barang-barang jualan dan membeli beberapa 5 bungkus keropok ikan tamban dan ikan parang kegemaran ibu mentuaku untuk dibawa pulang ke Klang. Pengunjung mulai ramai di dalam pasar. Kata seorang peniaga di situ, tapak pasar itu hanya sementara kerana semua peniaga akan dipindahkan ke tapak kompleks yang sedang dibina bersebelahan dengan kompleks yang ada sekarang. Kompleks sekarang akan dijadikan perhentian bas pada masa akan datang.
Kami singgah minum di gerai makanan dan minuman. Mi celup menjadi pilihan sarapan kali kedua. Kemudian, kami bersiar-siar di taman awam yang terletak tidak jauh dari Pasar Payang. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. Aku dan isteri meronda-ronda di bandar Kuala Terengganu.
Kami singgah di sebuah restoran yang baru dibuka "Singgangbudu" di tepi jalan besar. Ramai pengunjung sedang beratur. Lauk-pauk goreng seperti ikan dan sotong. Isteriku memilih ikan Tilapia goreng dan aku memilih seekor sotong saiz kecil RM17. Kami menikmati makan tengah hari dan sebuah bas persiaran berhenti di tepi restoran. Sekumpulan makcik rombongan turun dari bas dan menyerbu restoran. Barangkali ketua rombongan , seorang makcik dengan suara yang kuat menyuruh pelayan "reserved" empat puluh kerusi dan meja untuk ahli-ahli rombongan.
Pelayan memandang aku yang sedang makan dengan isteri. Meja dibersihkan untuk ahli-ahli rombongan. Ketua rombongan pun memandang aku.
"Kita sampai tadi mana ada tulis "reserved" . Kita duduk saja habiskan makanan tak payah pindah meja. First come first serve" , kataku kepada isteri. Beberapa orang pelanggan sedang berdiri-diri mencari tempat duduk tetapi dua belas meja telah dikosongkan untuk ahli-ahli rombongan. Pelanggan-pelanggan yang baru datang terpaksa menunggu pelanggan lain menghabiskan makanan.
"Kalau pelayan halau kita dari meja saya nak jumpa pengurus restoran," kataku kepada isteri apabila ketua rombongan ulang-alik di tepi meja kami.
Usai makan, pelayan terus meletakkan tanda "reserved" di atas meja kami. Betullah, meja "reserved" tidak disediakan awal kerana rombongan itu baru sahaja menempah meja melalui panggilan telefon. Kasihan melihat pelanggan yang baru datang terkiial-kial.mencari tempat duduk. Meja-meja "reserved" banyak yang kosong.
"Hargailah pelanggan 'walk in" bukan rombongan yang datang sekali-sekala," kataku kepada isteri.
Kami kembali ke tempat penginapan untuk berehat. Cuaca sangat panas. Selepas Asar, kami ke Kampung Losong. Suasana agak lengang. Kami singgah di restoran Keropok Warisan Losong untuk menikmati keropok lekor goremg dan keropok lekor rebus. Selepas makan, kami mengunjungi Pantai Batu Buruk sekali lagi. Berjalan-jalan di tepi pantai. Pengunjung tidak ramai seperti semalam kerana hari ini hari bekerja di Terengganu. Sebelum pulang ke tempat penginapan aku singgah di Domino's Pizza kerana malam ini ada majlis hari lahir cucuku, Nuh Mateen di rumah besanku.
Setelah acara potong kek, kami kembali ke tempat penginapan. Cucuku ,Ibrahim Mateen hendak ikut bermalam bersama-sama kami. Badan pun letih. Esok hari terakhir di Kuala Terengganu. Aku ingin menjejak kasih Ketua Jurulatih Lumba Basikal Terengganu ,Syed Mohamad Husain @Wan Husain yang pernah menjadi muridku ketika Projek Tuisyen SUKOM98' dulu. Semoga bertemu dengannya sebelum aku kembali ke Klang.
Comments
Post a Comment