Episod : USAH MENANGIS LAGI

 

Dugaan demi dugaan yang datang kutempuhi dengan sabar . Bohonglah kalau hati ini tidak pernah menangis. Dan bukan sedikit pula air mata yang tertumpah.Kadang-kadang aku termenung panjang memikirkannya.

Daripada satu kisah kepada satu kisah.Saat aku ditinggalkan oleh seorang ‘teman’. Dugaan sentiasa datang dan pergi. Puluhan warkah kunukilkan tiada jawapan yang kuterima. Kata pujangga ‘Sepi itu indah’. Aku memilih untuk menyepi sendiri selama beberapa ketika. Waktu demi waktu, keresahan semakin pergi mencari jalan ketenangan. Akhirnya , kutemui dia yang sudi mendengar , berkongsi dan akhirnya dua jiwa bersatu hati. Kelelahan menghadapi semua dugaan ini hilang seketika.

Aku diuji lagi. Berpindah randah hampir tujuh kali dari sebuah rumah sewa ke sebuah rumah sewa. Alasannya, ada penyewa lain yang sanggup bayar lebih tinggi. Rumah yang kami sewa hendak dijual. Mengapa aku ingin membeli pada harga yang sama tetapi tidak mahu menjualnya. Akhirnya, barulah aku faham. “Kau tu orang susah mana mampu nak beli “.

Kebahagiaan kembali bertandang mengetuk pintu hati. Kelahiran anak sulong membawa seribu makna. Saban hari, kami bekerja keras untuk membesarkan cahaya mata ayah ibu. Gaji yang kecil tidak mampu untuk memberikan kehidupan yang selesa melainkan pasrah dengan keadaan. Malam itu, kami disuruh berpindah dari rumah yang disewa dan sekembali aku dari tempat kerja semua barang sudah berada di atas lori. Bukan kerana tidak membayar sewa tetapi hati orang lain perlu dijaga.

Atas bantuan orang tuaku, dapatlah aku membeli sebuah motosikal terpakai namun sekali lagi kesabaranku diduga. Motosikal yang dikatakan masih elok sebenarnya sudah terputus dua dan dicantumkan kembali oleh pemilik bengkel. Aku tertipu. Banyak wang dihabiskan untuk membaiki motosikal yang sering rosak. Beberapa kali motor YAMAHAku berhenti secara tiba-tiba dan menggelongsor di tengah-tengah jalan. Hampir nyawaku diragut sebuah lori apabila motosikal aku terperosok di bawah lori. Syukur, aku terselamat hanya mengalami kecederaan bengkak pada lutut sebesar tempurung kelapa. Aku pulang ke rumah dalam keadaan kesakitan dan baju seluar koyak rabak. Tempat luka disapu ubat kerana kos mendapatkan rawatan klinik sangat mahal lagipun ada mulut-mulut yang perlukan makanan dan susu.   

Hampir seminggu aku berjalan terhincut-hincut kerana bengkak pada lutut masih belum pulih. Pernah sekali, aku dan isteri yang sedang sarat mengandung pulang dari bekerja di Klang tiba-tiba motosikal kami meragam. Kerosakan ‘peston’ menyebabkan enjin panas dan mati tiba-tiba. Manakala, tayar tidak berpusing seakan membrek mengejut. Nasib kami baik kerana aku dapat mengawal motosikal dan tidak terjatuh di atas jalan raya. Di hadapan kami sebuah lori satu tan.

Aku pernah mengalami kejadian misteri hampir setiap kali aku pulang ke rumah melalui Jalan Meru, Klang. Ada sebuah van berwarna kelabu akan sengaja melakukan provokasi kepadaku dan isteri. Pemandunya dengan sengaja menghimpit aku ke tengah jalan dan terpaksa aku melakukan brek tiba-tiba daripada bertembung dengan kereta dari laluan bertentangan. Bukan setakat itu sahaja, pemandu van akan membrek mengejut dan menyebabkan kami juga terpaksa membrek mengejut tetapi van akan memecut lagi seolah-olah mahu melihat kami terjatuh. Lagi laju aku mengejar pemandu van lagi laju dia memecut van dan membahayakan diri kami. Sehingga hari ini aku tidak tahu siapakah pemandu van berkenaan dan aku tidak mengecam nombor van terbabit kerana pemandu van akan muncul dari belakang secara tiba-tiba dan memecut laju.

Pada sangkaan aku, ada orang yang tidak suka melihat kami. Entahlah , biarlah Allah sahaja yang membalas perbuatan jahatnya. Akhirnya, kami membeli sebuah rumah di Taman Sentosa Klang dengan duit titik peluh aku bekerja. Perit juga hendak membayar RM250 sebulan ansuran pembiayaan rumah. Motosikal RM110 sebulan. Bayaran bil dan keperluan anak-anak. Kini kami memiliki tiga cahaya mata. Aku perlu bekerja keras supaya anak-anak dapat membesar dengan baik seperti anak-anak orang lain. Isteri pula mengambil upah menjaga lapan orang anak jiran. Ada juga yang culas membayar upah sebanyak RM80 sebulan. Malah, ada juga yang meninggalkan anak mereka bersama-sama kami untuk bermalam sedangkan ibu bapa mereka bersenang-lenang di rumah. Kasihannya aku melihat keletihan menjaga anak-anak seharian. Isteri juga mengambil upah menghantar dan mengambil anak-anak jiran ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama.

Apabila menjelang hari raya, anak-anak paling gembira kerana kami akan membeli pakaian baharu untuk mereka. Anak-anak kami bawa menaiki bas ke bandar Klang untuk membeli-belah di Great Wall atau Emporium Makan. Yang kami aku dukung yang sudah boleh berjalan dipimpin isteri. Takbir raya berkumandang di corong radio dan televisyen.

“Taka da sesiapa nak pinjamkan kereta,” kata isteriku perlahan.

“Tak mengapalah. Kita balik kampung naik motor saja esok. Saya bawa dua orang dulu nanti saya balik ambil awak dengan anak yang kecil,” kataku bagi menggembirakan hati isteriku dan anak-anak untuk berhari raya di kampung.

Keesokan harinya, aku membawa anak-anakku dua orang.pulang ke kampung. Kedua-duanya kuikat dengan kain batik kerana aku bimbang mereka tertidur di atas motor. Seorang di depan dan seorang di belakang. Namun sepanjang perjalanan , aku memegang anakku dengan sebelah tangan ke belakang. Setelah sampai di kampung, aku akan berpatah balik ke rumah untuk mengambil isteriku dan anak kecil kami dipangku oleh isteriku. Beg pakaian diletakkan atas bakul motosikal. Kami sampai dengan selamat dan sempatlah meronda-ronda kampung menziarahi sanak-saudara sambil beberapa buah kereta lain mengekori di hadapan dan di belakang. Kami berasa sungguh bahagia.

Giliran pulang ke rumah ibu bapaku di Pelabuhan Klang pada hari kedua raya. Perjalanan melalui Jalan Shapadu sangat berbahaya kerana berselisih dengan lori-lori besar. Aku akan berpatah balik semula untuk mengambil isteri dan anak. Beberapa tahun kemudian , aku membeli sebuah kereta Perodua Kancil dengan meminjam RM12 ribu daripada kakak iparku dan aku membayar hutang secara ansuran. Ansuran bulanan RM340 sehinggalah habis semua hutang.

Keadaan ini memberikan aku satu inspirasi bahawa ketabahan menghadapi sesuatu kesulitan itu adalah berdasarkan kemampuan aku.Itulah janji Allah. Usahlah menangis lagi kerana air mata ini sudah cukup banyak tertumpah. Kehidupan bertambah selesa apabila usaha aku membuahkan hasil. Bekerja sambilan mengajar tuisyen dan berniaga mesin pejabat. Hari tidak selalu cerah. Sekolah swasta tempat aku bekerja telah ditutup oleh majikan atas sebab kurang mendapat keuntungan.

Kami beramai-ramai diberhentikan dengan ‘tektik halus’ Tiada pampasan ditawarkan.Aku terpaksa bergantung kepada kelas tuisyen dan menjual mesin fotokopi. Bayaran bulanan rumah mula menghadapi masalah tetapi dapat aku selesaikan sedikit demi sedikit. Hutang yang tertunggak semakin banyak sehingga pihak bank memberikan surat amaran. Kemalangan pada tahun 2017 merencatkan usaha aku membayar ansuran rumah sebanyak RM2700 sebulan.

Beberapa usaha aku lakukan untuk menerangkan kepada pihak bank pemberi pinjaman sehingga aku menghantar surat dan laporan doktor bagi menagih simpati. Apakah daya , semua itu tidak terjadi seperti yang aku harapkan. Pihak bank menghantar notis melelong rumahku. Air mata mengalir laju mengenangkan keadaan diri bertopang tongkat sejak enam bulan yang lalu. Menurut doktor aku perlu bergantung kepada tongkat selama satu tahun setengah.

“Saya hendak mula kerja,” kataku kepada isteri ketika membersihkan luka akibat pembedahan yang masih terkopak. Darah mengalir dan ditadah di dalam besen plastik.

“Macamana abang nak bergerak,” tanya isteriku dengan dahi berkerut.

“Saya tidak boleh duduk sahaja dan menyerah kepada takdir. Ini sudah takdir kita dan kita kena bangkit, “ kataku bersemangat.

 

Keesokan hari, aku dipandu isteri ke tempat tuisyen dan menaiki tangga dua tingkat bangunan. Kebimbangan terjatuh tetap ada tetapi aku menapak selangkah demi selangkah. Ibu bapa yang melihat keadaan aku menaruh simpati dan aku katakan kepada mereka bahawa aku terpaksa. Aku tidak mahu mengharapkan pertolongan sesiapa kerana bagiku masing-masing ada hal yang perlu diselesaikan. Betullah kata orang ‘ kawan ketawa ramai tapi kawan menangis ?”

Usaha aku tidak berhasil akibat pergerakan aku yang terhad. Lagipun, enam puluh peratus muridku telah pun berhenti selepas aku ditimpa kemalangan dahsyat. Bayaran ansuran rumah, kereta dan bil mulai terjejas teruk. Akhirnya, aku menerima surat daripada pihak bank supaya hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi sebutan lelong rumah. Aku engkar arahan itu kerana aku sayang akan rumah yang kubeli dengan titik peluh dan darahku.

Pihak bank memberiku pilihan kepadaku supaya mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja  (EPF) sebanyak RM90 ribu bagi membatalkan saman tersebut. Aku terpaksa bersetuju dan apabila sampai tempoh bayaran berkenaan aku cuba mendapatkan penjelasan dengan pihak bank. Malang sekali lagi, permintaan aku ditolak tetapi aku didesak membayar RM90 ribu yang telah aku persetujui sebelum ini. Berat sungguh dugaan-Mu, Ya Allah.

Aku hanya menanti jawapan pihak bank sama ada mereka akan membantu memberikan penjelasan tentang bayaran sebanyak itu. Semalam, aku telah ke pejabat EPF dan melihat kepada jumlah simpanan bermakna seluruh simpanan aku akan digunakan untuk memenuhi arahan pihak bank. Ya, Allah andainya ini ujian-Mu aku pasrah, Ya Allah.

 

Comments

Popular posts from this blog