EPISOD : TABUNG

 

Pada tahun  80-an dulu, ayahku membuat sebatang tabung buluh, Seruas batang buluh ditebuk sebagai mulut tabung. Jari kelingking pun tak muat kalau ada percubaan untuk mengorek tabung buluh. Pada masa terdesak, tabung buluh itu akan digoncang beberapa kali untuk mengeluarkan syiling tetapi perlu dibuat secara berhati-hati dan berulang-ulang kali. Tabung buluh akan dibalut dengan kain terlebih dahulu supaya kedap bunyi.

Duit syiling di dalam tabung buluh tidak kekal lama kerana selalu digoncang selepas beberapa hari aku menabung. Duit belanja sekolah tidak mencukupi kerana ada masa tertentu guru-guru di sekolah meminta wang untuk membeli itu dan ini. Zaman itu sumber kewangan sangat terhad.

Pada masa itu juga ada tabung yang diperbuat daripada tanah liat dengan pelbagai bentuk dan warna. Tabung tanah liat paling popular ialah tabung ayam. Ada juga tabung berbentuk kepala gajah. Tabung ayam lebih mudah dikorek berbanding tabung buluh. Namun kaedahnya tetap sama, iaitu tabung mesti dibalut dengan kain agar tidak berbunyi kuat apabila digoncang. Kalau dicungkil dengan lidi juga perlu dibalut dengan kain kerana tabung ayam perlu ditonggang- tonggeng beberapa kali.

Antara tanda kekerapan tabung dikorek apabila mulut tabung ada kesan-kesan sompek. Apabila kesan sompek itu semakin besar agak mudah untuk mengeluarkan duit syiling tanpa perlu dicungkil dengan lidi atau digoncang. Duit syiling akan meluncur dengan laju. Di dalam tabung hanya mengandung duit syiling tiada wang kertas.

Amalan menabung sejak kecil oleh ibu bapaku umpama melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Amalan ini masih menebal di dalam diriku dari dulu hingga sekarang kerana sudah menjadi tabiat aku menabung duit syiling dan wang kertas. Tabung-tabung ini akan dibuka pada hari terakhir setiap tahun, iaitu 31 Disember yang jatuh pada hari lahir isteriku. Jadi, faham-faham sajalah. Pernah sekali kejadian rumahku dimasuki pencuri dan sebuah tabung duit syiling di bawah meja tidak dibawa lari mungkin kerana pencuri menyangka bahawa tabung itu ialah sebuah bekas makanan. Secara logik akal, tiada sesiapa menabung duit di dalam bekas makanan.

Tektik menyembunyikan tabung di dalam bekas simpanan beras atau di bawah katil sudah tidak selamat lagi. Pencuri sudah mempunyai kaedah lebih mudah untuk mendapatkan barang-barang berharga dengan mengugut tuan rumah atau ahli keluarga di rumah yang dicerobohi untuk menunjukkan tempat barang-barang berharga disembunyikan. Di taman tempat tinggal aku kini sudah ada pagar keselamatan, kamera litar tertutup di beberapa tempat strategik dan pengawal keselamatan yang melakukan rondaan 24 jam. Rumah ahli jawatankuasa persatuan penduduk pula diberikan kawalan khas kerana setiap jam pengawal keselamatan perlu ‘klik’ kad perakam waktu yang dipasang di pagar rumah dan hon motosikal akan dibunyikan sekali sebagai tanda kehadiran mereka di pagar rumah.

Bagi golongan pekerja tabung utama mereka ialah caruman di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Bermula sejak hari pertama bekerja pegawai kewangan sudah membuat kiraan peratus caruman tetap di dalam tabung KWSP yang wajib dibayar oleh majikan pada setiap bulan selagi pekerja berkenaan masih bekerja di situ. Inilah satu-satunya kaedah caruman yang paling efektif dan selamat. Di peringkat awal aku bekerja selama lima tahun, wang caruman KWSP yang ditolak daripada gaji bulananku tidak disimpan oleh majikan aku. Percuma saja aku bekerja selama lima tahun tanpa caruman KWSP walaupun setiap bulan gajiku dipotong. Kejam dan zalim.

Wang caruman KWSP itulah yang menjadi tabung persaraan kelak. Kini, pencarum sudah dibenarkan mengeluarkan wang mereka sendiri untuk menyara kehidupan harian yang semakin menekan. Banyak pencarum yang tersenyum lebar kerana akhirnya mereka boleh mengeluarkan wang caruman daripada ‘poket’ mereka sendiri. Sebenarnya, kaedah ini tidak begitu membantu pencarum kerana mereka terlupa bahawa wang yang ‘ditarik’ daripada caruman bulanan mereka akan berkurangan apatah lagi bagi golongan yang berpendapatan rendah sudah tentu tidak banyak caruman yang terkumpul. Aku hanya tersenyum sumbing apabila seorang kawanku bersorak gembira apabila diumumkan wang caruman KWSP boleh dikeluarkan sebanyak RM10 ribu secara ‘ONE-OFF’ tetapi mereka lupa bahawa wang tersebut adalah kepunyaan  mereka bukanlah  bantuan seperti sangkaan mereka.   

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog