EPISOD :
LAWAN SPIDER
Satu
daripada jenis permainan budak-budak tahun 80-an dan 90-an ialah lawan spider.
Oleh sebab spider tidak dijual di kedai , kami terpaksa mencari spider sendiri.
Kawasan
yang dikenal pasti menjadi tempat tinggal spider ialah rumpun pokok pandan.
Ketika itu, kebanyakan orang menanam pokok pandan di belakang rumah atau di
dalam pasu. Daun pandan mempunyai pelbagai kegunaan sama ada dimasukkan di dalam
masakan atau minuman, bahan pewarna kuih, diricih halus untuk dibuat bunga
rampai atau bahan perubatan tradisional.
Kami
akan terhendap-hendap di belakang rumah jiran di tingkat bawah untuk mencari
spider. Daun pandan yang melekat adalah tanda rumah spider ditambah ada kekabu
halus. Daun pandan perlu diselak dengan berhati-hati kerana spider akan lari
dengan pantas apabila rumahnya dicerobohi.
Bagi
yang tidak sabar dan yakin ada spider di celah daun pandan akan mencabut daun
pandan dan dibawa lari ke tempat lapang atau diletakkan di atas simen. Spider
mempunyai penyepit macam ketam tetapi disebabkan saiznya yang sangat kecil
tidak membahayakan diri. Kemudian, spider yang dapat ditangkap akan dimasukkan
di dalam sebuah bekas kebiasaannya kotak mancis.
Mereka
yang mempunyai spider biasanya di dalam kocek seluar ada sebuah kotak mancis.
Di mana-mana dan bila-bila masa pertarungan antara spider akan diadakan dan
ramai-ramai akan bersorak riuh-rendah. Tiada pertaruhan wang atau hadiah hanya
sekadar suka-suka dan kepuasan diri mengisi masa lapang.
Spider
yang mempunyai pinggang ramping dikatakan spider jantan dan yang mempunyai
bentuk badan yang besar di bahagian bawah dikatakan jenis betina. Aku sendiri
pun tak pasti yang mana jantan dan betina. Teori ini adalah ciptaan sesama
kami.
Musim
lawan spider, akan kedengaran suara-suara kaum emak yang marah-marah kerana daun
pokok pandan mereka habis dikerjakan. Bagi budak-budak amatur, mereka akan
menyepahkan daun pandan yang dipatahkan tetapi bagi yang sudah pro daun-daun
pandan disorokkan di dalam rumpun pokok pandan atau dibuang di tempat lain bagi
menghilangkan bukti.
Di
belakang rumah aku juga ada serumpun pokok pandan tetapi aku mengawasinya setiap
masa agar tidak menjadi sasaran kawan-kawanku yang mencari spider. Sebenarnya,
aku sudah mempunyai pot sendiri untuk mendapatkan bekalan spider. Kuat atau
lemah spider bergantung kepada nasib masing-masing. Ada yang meludah spider
mereka kononnya untuk menambahkan kekuatan spider. Biasanya, selepas beberapa
hari spider akan mati di dalam kotak mancis.
Apabila
spider telah mati akan dicari ganti spider yang baru. Bukan sahaja di kawasan tempat
tinggal kami sahaja pokok pandan menjadi mangsa malah di luar kawasan tempat
tinggal kami juga menjadi sasaran mencari spider. Sesekali bertembung dengan
kumpulan lain dari Flat Polis, Flat Kastam atau gang Kampung Sungai Aur yang
juga mencari spider. Siapa sampai dulu kawasan itu mereka punya. Sikap beralah
sangat dipuji kerana masing-masing tidak mahu bergaduh kerana spider. Kami dari
Flat LPK biasanya menacri spider sampai ke Jalan Sungai Keladi.
Kotak
mancis gambar Superman terbang atau Cili Merah Besar memang laku pada zaman
itu. Kalau terjumpa kotak mancis di tepi jalan seperti terjumpa emas dan akan
dikutip untuk dijadikan rumah spider. Tidak pernah aku melihat kotak plastik yang
dijadikan rumah spider kerana masing-masing tidak mempunyai wang untuk membeli
kotak plastik. Duit saku pergi sekolah pun kadang-kadang sepuluh sen
kadang-kadang dua puluh sen dan kadang-kadang satu sen pun tak ada tetapi kami ‘happy’
. Ada kawan-kawan yang akan mengajak berkongsi makanan dan air paip di tepi longkang
kantin yang memang ‘sedap’ dan rasanya pun lain daripada air paip di rumah.
Bukan kadang-kadang tetapi selalunya kami akan beratur menunggu giliran untuk
minum air paip di tepi longkang kantin sekolah MBS dan tak ada pula yang sakit
perut atau keracunan makanan waktu itu.
Di
dalam kotak mancis akan diletakkan secebis daun pandan kononnya sebagai makanan
spider. Sebenarnya , spider mencari serangga kecil sebagai makanan. Riwayat
hidup sang spider tidak diajarkan oleh guru sains di sekolah. Spider silih
berganti bergantung kepada tempoh riwayat hidupnya. Spider akan dipertemukan
dengan spider lain dalam pertarungan yang disaksikan kawan-kawan. Tuan punya
spider sampai terbaring atas lantai untuk memberikan sokongan padu kepada
spidernya. Sorak-sorai suara riuh rendah semasa perlawanan spider. Spider akan
mengepak dengan sepitnya terbuka luas dan bergomol beberapa kali sehingga salah
satunya lari atau mati disepit spider yang menang. Bagi yang sedar akan
kekuatan spider masing-masing tidak akan mengeluarkan kotak mancis di dalam
kocek seluar sebaliknya perasaan bangga diri sendiri kerana mempunyai spider
tetapi diajak bertarung takut spider mati.
Bagi
yang kecewa spidernya kalah akan ‘menghadiahkannya’ kepada budak-budak lain
biasanya budak-budak kecil yang tidak tahu mencari spider. Punyalah seronok
dapat spider ‘free’ berlari ke sana sini membawa kotak mancis dan dikejar
kawan-kawan sebaya yang hendak melihat spider ‘free’ yang kalah dalam
pertarungan. Cerita spider ini hanya akan reda apabila muncul permainan baharu seperti
senapang kayu dengan peluru buah ceri !
Comments
Post a Comment