Episod :
KOMISEN
Dalam pasaran jualan langsung terdapat pelbagai produk
yang dipromosikan oleh para agen dan masing-masing berlumba-lumba untuk menarik
perhatian pelanggan dengan cara tersendiri lagi unik. Tujuan aku menulis kisah ini
bukan untuk menyokong mana-mana produk yang terbaik kerana lain orang lain
citarasanya tetapi berpada-padalah dalam mempromosikan kelebihan produk
masing-masing. Jangan sampai produk entah ke mana ‘sales’ entah ke mana.
Skil menjual produk perlu dikuasai terlebih dahulu
seperti mana yang pernah aku ceritakan dulu. Skil komunikasi, skil bahasa tubuh
dan paling mustahak skil pengetahuan kita tentang produk. Aku pernah mengajar
seorang murid dan mulanya aku tidak mengenali bapa kepada muridku ini. Setelah
beberapa lama mengajar, barulah kutahu bapa muridku ini seorang pemilik
perniagaan produk jualan langsung atau ‘direct selling’ yang terkemuka di
Malaysia.
Kisahnya, pada suatu malam, aku mengajar di rumah
muridku ini dan kemudian bapanya pulang ke rumah. Itulah pertama kali, aku menemui
bapanya yang bergelar Dato K . Usai sesi pembelajaran, kulihat Dato K sudah
bersila di atas lantai ruang tamu dengan sebuah kotak kayu. Di dalam kotak kayu
itu terdapat sebuah rak kasut. Malangnya, rak kasut itu perlu dipasang satu
demi satu mengikut arahan pada sehelai kertas. Malang kerana aku dan Dato K tidak
tahu cara memasangnya walaupun sudah sejam kami mencuba. Memang kami berdua
tiada bakat dalam skil memasang perabot.
Akhirnya, kerja itu terbengkali begitu sahaja. Kami
saling berpandangan.Kami sama-sama tersenyum dan ketawa. Dato K dan aku bersila
di atas lantai rumah banglonya sambil berbual-bual. Aku ingin bertanya sesuatu
kepada Dato K.
“Dato, bagus tak jadi agen jual produk Dato,” aku
bertanya secara santai. Dato K tidak menjawab terus. Dato K diam seketika.
“Macam saya cakap tadi ini bukan bidang kita,” jawab Dato
K dengan tanda tanya di benakku. Aku tidak mahu mengasak Dato K dengan soalan yang
bertubi-tubi tetapi aku memberinya ruang untuk menjelaskan kata-katanya itu.
“Saya ‘owner’ produk ini. Satu Malaysia sudah jual dan
agen sudah ada ribuan orang. Ada ‘leader’ dengan pangkat masing-masing tetapi
bukan senang untuk jual dan kontrol semua agen. Semua boleh buat kita sakit
kepala. Memang boleh untung kalau jadi tapi boleh rugi masa dan tenaga lagi
modal kalau produk tak boleh jual,” ujar Dato K panjang lebar.
“Jadi, kalau saya mahu jadi agen memang Dato tidak
sokong?,” kataku menduga jawapan Dato K.
“Tak payahlah jadi agen, Cikgu. Sampai satu masa,
sudah ada banyak produk baru dan persaingan. Masa itu, produk tidak boleh
bertahan lagi dan perlu cari idea baru,” sambung Dato K. Kata-kata dari mulut
Dato K membuatkan aku terfikir akan hakikat sebenar menjual produk jualan
langsung. Tidak aku nafikan ada beberapa orang yang telah berjaya menjual
produk jualan langsung yang pada mulanya berasaskan produk kesihatan tetapi
produk barangan elektrik turut dijual selepas beberapa tahun kemudian. Inilah
yang dimaksudkan Dato K, produk tidak akan bertahan lama dan idea baru akan
mengekalkan keberadaan syarikat di pasaran.
Pertemuan itu memberikan suatu makna kepadaku bahawa
lakukanlah sesuatu pekerjaan atau usaha mengikut kepakaran bidang yang kita
kuasai. Jangan mengikut orang lain semata-mata kerana hendak menjadi seperti
orang itu. Aku tidak memandang rendah akan kejayaan yang dicapai oleh
rakan-rakannku dalam bidang jualan langsung atau ‘direct selling’ yang masih relevan
sehingga hari ini. Namun, apa yang aku lihat mereka yang berjaya mempunyai
kelebihan tersendiri atau ‘aura’ yang tertentu. Inilah yang tidak dimiliki oleh
semua orang.
Aku pernah ke sebuah ‘showroom’ menjual kereta mewah
bersama-sama Mr.K yang hendak membeli sebuah kereta idamannya. Apabila kami
sampai di situ, kami menemui pengurus jualan syarikat itu. Tanpa berbual
panjang, pengurus itu mengeluarkan sehelai borang untuk diisi oleh Mr.K sebagai
pembeli.
“Saya tahu kamu sudah membuat keputusan untuk membeli
kereta ini kerana kamu sudah mampu memilikinya. Kalau hari ini kamu datang dan
tidak membeli esok kamu akan datang membelinya juga kerana ini kereta idaman
kamu. Mengapa mesti tunggu lagi? Kamu sudah membuat keputusan sebelum datang ke
sini,” kata pengurus itu dalam bahasa Inggeris ( aku terjemahkan ). Hari itu
juga Mr.K menandatangani borang pembelian kereta mewah itu di hadapanku.
“Terima kasih kerana membawa ‘boos’ kamu datang
berjumpa saya, “ kata pengurus itu kepadaku dan kami bersalam-salaman sebelum
beredar meninggalkan ‘showroom’ itu. Keesokan hari, aku dihubungi oleh seorang
kerani syarikat kereta itu dan meminta aku datang untuk mengambil ‘komisen’.
Apabila aku sampai, seorang kerani memberiku sampul surat dan di dalamnya
terdapat RM1000.00 sebagai komisen memperkenalkan Mr.K kepada pengurus syarikat
kereta itu.
Komisen terpijak itu menjadi semangat kepadaku dan
selepas itu aku mendapat dua kali komisen daripada syarikat kereta itu kerana
memperkenalkan dua orang rakanku yang hendak membeli kereta mewah. Aku hanya
menelefon pengurus syarikat kereta itu bahawa dua orang rakanku ingin
menemuinya untuk membeli kereta. Sebenarnya,
komisen itu ialah satu bahagian komisen pengurus itu. Strategi ‘marketing’
ini aku gunakan dengan memberikan diskaun satu bulan yuran tuisyen percuma
kepada pelajar dan ibu bapa yang memperkenalkan anak rakan mereka mendaftar
tuisyen denganku. Komisen itu aku berikan sebagai penghargaan kepada usaha
mereka tetapi aku menerima bayaran yuran pelajar baharu sepanjang tahun atau
beberapa tahun lagi.
“Kerja ini bukan bidang kita,” Dato K melontarkan
kata-kata itu kepadaku. Aku hanya mengangguk dan tersenyum.
Pada masa lain, aku pernah diajak oleh rakanku untuk
join menjual ‘sim card phone’ ,iaitu produk sebuah syarikat penerbangan.
Rakanku bersungguh-sungguh mengajak aku menyertainya menjual produknya namun
aku menolak dengan baik kerana aku sedar bahawa aku tiada masa untuk berjumpa
orang memandangkan aku sibuk dengan tuisyen. Demi menjaga hubungan
persahabatan, aku akur untuk berjumpa dengannya itupun pada jam 1.00 pagi.
Perbualan kami berlarutan hingga jam 3.00 pagi apabila
seorang lagi rakannya menyertai perjumpaan kami. Aku berasa tidak selesa dengan
kehadirannya kerana kata-katanya kurang enak didengar. Dia meremeh-remehkan
pekerjaanku sebagai seorang guru tuisyen kononnya lambat untuk menjadi
kaya-raya. Katanya, mereka mendapat komisen ribuan ringgit sambil ketawa
terbahak-bahak. Aku hanya menunjukkan reaksi tersenyum kerana mereka berdua
baru saja menyertai jualan langsung ‘sim card phone’ sejak dua bulan yang lalu.
Padaku mereka belum layak untuk bercakap tentang kejayaan kerana perjalanan masih jauh.
Kesudahannya aku tidak membeli produk yang dicanangkan
kepadaku kerana aku tidak berminat. Rakanku mengejar kekayaan segera sehingga
mengabaikan aspek kesihatan dan kerehatan. Aku mendapat berita bahawa rakanku
kini tidak sihat dan hanya bergantung kepada kerusi roda. Aku pergi melawatnya
dan dia sendiri menasihati aku agar banyak berehat serta jangan terlalu sibuk
bekerja. Dia tidak mahu aku menjadi sepertinya namun nasi sudah menjadi bubur.
Kini, dia bergantung kepada isterinya untuk meneruskan kehidupan yang sementara
ini.
Manakala, kawannya yang seorang lagi turut menerima
kesan yang menyedihkan. Perniagaannya yang sedia ada ditinggalkan demi mengejar
komisen malangnya lebih banyak produk baru yang bersaing dengan pelbagai
strategi ‘marketing’. Perniagaan berasaskan komisen lebih banyak bergantung
kepada ‘networking’ atau kerja berpasukan. Bukan semua orang memiliki pemikiran
sama dan penerimaan yang sama.
Hari ini demi komisen, mereka sanggup melakukan
perbuatan yang memalukan diri sendiri. Media sosial menjadi medan untuk mereka
berlumba-lumba menjual produk namun sikap berlebih-lebihan akan memakan diri
sendiri. Kekayaan bukan bukti kebahagiaan.
Nilai persahabatan perlu dijaga terutama kata-kata yang
dilontarkan kepada bakal pelanggan atau pengguna hendaklah lebih sopan atau
dalam erti kata lain tidak mengguris perasaan orang lain. Kini, seakan-akan
menjadi ‘trend’ dalam kalangan penjual produk yang sanggup menelanjangkan
maruah diri sendiri dan keluarga demi menarik perhatian masyarakat. Adakah
perbuatan itu akan dilihat sebagai suatu strategi perniagaan yang menonjolkan kelebihan
produk atau sekadar ingin menjadi popular dalam sekelip mata ?
Comments
Post a Comment