EPISOD : KFC
Restoran
makanan segera dulu seperti KFC dan A&W pada tahun 80-an dikira sebagai
makanan mewah . Walaupun harga sepinggan ‘Snack Plate ‘ atau ‘Dinner Plate ‘
tidak lebih RM10.00 tetapi kemampuan untuk menikmatinya amat terbatas. Di
Pelabuhan Klang , Restoran KFC terletak di sebelah panggung wayang REX.
Sehingga kini, restoran tersebut masih wujud. Aku pernah sekali ke restoran ini
itupun aku dibelanja oleh dua orang ‘kakak angkat’ yang bekerja sebagai guru tadika
KEMAS.
“Jom,
Mi. Pergi KFC,” ajak Kak Nor yang gemar berjubah hitam dan bercelak. Aku hanya
tersenyum mendengar pelawaan itu. Ketika itu, aku di Tingkatan 5. Bujang trang
tang tang. Aku yang masih belajar manalah ada duit nak belanja orang makan KFC.
Kami berjalan kaki dari Jalan Kem menuju ke Restoran KFC , Pelabuhan Klang.
“Eh,
kenapa pintu ni tak boleh buka?,” detik hati kecilku. Dua orang ‘ kakak angkat’ku
terkekeh-kekeh ketawa kerana pintu yang cuba aku buka itu ialah pintu stor.
Tahan malu sajalah tapi aku ‘maintain’ macho. Kami memesan ‘snack plate’ dan ‘dinner
plate’. Pada masa itu, hidangan KFC masih menggunakan pinggan kaca , sudu dan
garfu besi serta gelas minuman sebagai hidangan. Makanan dipesan dihantar oleh
pekerja KFC ke meja pelanggan.
Kali
kedua aku makan KFC semasa di Tingkatan 6 pada tahun 1986 . Ketika itu aku bersekolah
di Klang. Kami pergi bersama-sama kawan sekolah. Restoran KFC Klang terletak di
Jalan Taiping dan masih berdiri gagah di tempat yang sama. Masing-masing sudah
mempunyai wang saku dan aku menggunakan wang sagu hati yang dibayar oleh
Mingguan Malaysia atau Berita Minggu apabila karya cerpen aku tersiar di dada
akhbar. Aku juga pernah menerima bayaran apabila karyaku disiarkan oleh URTV
dan VARIA POP. Wang itu aku gunakan untuk membeli atau makan KFC. Bukan semua
wang sagu hati aku gunakan untuk kegunaan aku kerana aku akan menyerahkan kesmua
wang yang aku terima kepada ibuku. Wang saguhati dibayar menggunakan cek dan
aku akan menukarkan tunai di sebuah kedai tukaran wang di bawah bangunan UMBC
Pelabuhan Klang. Peniaga wang akan mengenakan dalal atau potongan daripada
jumlah keseluruhan bayaran yang aku terima.
Ayam
KFC dulu lebih ‘original’ tetapi sekarang sudah ada bermacam-macam citarasa
seperti ‘Spicy’ dan ada nasi lemak KFC pula. Dulu, sepinggan KFC dihidangkan
bersama-sama seketul roti, coleslaw dan whip potato. Sos pula di dalam botol
tetapi sekarang disediakan bekas sos. Kami makan sambil berbual-bual dan
bergelak ketawa. Makan sepuas-puas hati kerana peluang hendak makan KFC bukan
selalu sebaliknya bergantung kepada fulus. Kawan-kawan akan membayar harga
makanan masing-masing dan kalau yang ada ‘makwe’ tentulah dapat makan ‘free’.
Sementara
itu, di kedai runcit ada dijual tepung KFC. Bukan tepung asli hanyalah tiruan. Itulah
bahan yang digunakan oleh ibuku untuk menggoreng KFC di rumah. Adik-beradik aku
paling gembira jika ayah kami membawa pulang daging ayam dan sekotak tepung
KFC. Perut tiba-tiba berasa lapar apabila melihat ibuku menggaul tepung KFC
dengan ayam . Masing-masing akan mendapat seketul sahaja kerana harga ayam
ketika itu agak mahal untuk sebuah keluarga yang sederhana.
Kadang-kadang
Ah Seng tukang baiki televisyen yang datang ke rumahku akan membawa sekotak
tepung KFC yang dipesan oleh ayahku. Aku sendiri tidak pasti sama ada Ah Seng
membeli untuk kami atau ayahku membayarnya kemudian. Kerangupan ayam KFC buatan
sendiri lebih kurang sama dan rasanya juga hampir sama ayam KFC sebenar. Ketika
itu, peluang makan ayam hanya datang dua kali setahun semasa Hari Raya
Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Ah
Seng juga rakan sekerja ayahku di Pelabuhan Utara tetapi Ah Seng bekerja
sebagai buruh biasa manakala ayahku seorang pemandu folklif yang mengangkut barang-barang
digudang ke atas lori. Ah Seng pandai mencari duit poket dengan membaiki
barang-barang elektrik seperti radio dan televisyen. Ah Seng berbadan kurus
sehingga kelihatan rangka dan suka tersengih-sengih apabila bercakap. Rambutnya
dipotong seperti pelakon ‘The Three Stooges’ yang menjadi ketua kumpulan dan suka
membuli rakan-rakannya yang lain.
Kenangan
makan ayam KFC buatan sendiri tidak pernah luput daripada ingatanku. Masih
terasa kelazatannya hingga menjilat jari. Sekarang sudah banyak perubahan dalam
penyediaan hidangan di Restoran KFC. Tiada lagi pinggan kaca, sudu garfu besi
dan gelas minuman. Kini, semuanya menggunakan kotak dan sudu garfu plastik jenis
pakai buang.
Kadang-kadang
teringat hendak makan KFC aku akan ke Restoran KFC di Jalan Taiping , Klang
atau Pelabuhan Klang dan mengenang memori lama. Teringat kembali kepada
kedua-dua ‘kakak angkat’ku yang tidak pernah aku jumpa sehingga kini.
Comments
Post a Comment