Episod : GANU KITE

Kehidupan kita suatu perjalanan yang singkat. Seawal jam 7.00 pagi, aku sudah bergerak meninggalkan kota yang tidak pernah tidur menuju ke Kuala Terengganu. Pemanduan berhati-hati diutamakan walaupun tidak banyak kenderaan di sepanjang lebuh raya. Sebelum melalui Karak , aku menyerahkan tugas memegang stereng kepada puteri keduaku.
Sekejap laju sekejap perlahan apabila mengekori lori mendaki Genting Sempah. Selepas dua jam perjalanan kami tiba di R&R Temerloh untuk bersarapan pagi. Menu pagi ini agak keterlaluan kerana semangkuk sup bakso, mi goreng dan sebiji pau kaya kujamah dengan teh o panas. Usai menjamu selera, kami meneruskan perjalanan dan cuaca sangat cerah.
Aku memandu keretaku di jalan yang lurus melalui Lebuh raya Pantai Timur (LPT). Sekali lagi, kami singgah di R&R Paka untuk ke tandas dan berehat sambil minum. Jam di tangan menunjukkan pukul 11.00 pagi. Perjalanan diteruskan dan memasuki simpang kiri keluar dari LPT ke Kuala Dungun. Banyak gerai menjual jagung dan air nira di kiri kanan jalan.
"Air nira ni air tuakkan?," tanyaku kerana tidak pernah merasainya.
"Rasanya masam manis,ayah," jawab puteriku.
"Kita singgah makan 'lunch," kataku.
"Kita terus ke Kuala Ibai kerana Ma dah masak," jawab puteriku merujuk 'Ma' ibu mentuanya.
Aku singgah di tepi jalan membeli buah naga, mangga dan tembikai sebagai buah tangan .
Kami tiba di rumah besanku di Kuala Ibai.
Kutemui 'Aboh' besanku yang sedang terlantar di atas katil khas yang diwakafkan penderma. Keadaan 'Aboh' sangat uzur akibat ketumbuhan di buah pinggang dan paru-paru berair di samping sakit jantung. 'Aboh' yang dulu gagah dan tegas kerana dia bekas Sarjan Mejar di IPK Kuala Terengganu kelihatan sangat lemah.
"Azmi sampai bila," suara 'Aboh' sangat perlahan sambil menahan kesakitan . Aku senyum ceria melihat 'Aboh' menyambutku.
"Abe banyak bersabar semua ini ujian untuk kita," kataku tersenyum. 'Aboh' cuba tersenyum tetapi tidak terdaya. Aku mengusap perlahan-lahan bahunya. Kurasakan 'Aboh' sangat menderita dan tiada lagi terasa otot-otot pejal. Dulu, 'Aboh' bersuara garang dan suka berkongsi cerita denganku ketika membanteras jenayah sewaktu muda.
'Ma' besanku isteri 'Aboh' mempelawa kami menikmati makan tengah hari . 'Ma' bercuti sebagai Ketua Panitia Bahasa Inggeris di salah sebuah sekolah di Kuala Ibai untuk menguruskan 'Aboh'. 'Aboh' kepada 'Ma' juga seorang bekas OCPD di sebuah daerah di Terengganu dulu dan sudah lama meninggal dunia. Kini, tinggal Wan seorang di Dungun dan sentiasa bergilir-gilir di rumah anak-anak Wan dan kadang-kadang ke Gombak ke rumah anak lelakinya yang juga seorang DJ terkenal di Radio KLFM.
'Ma' memasak gulai ayam stail Terengganu , ikan masin , ulam petai, jantung pisang dan timun, sambal belacan. Memang berselera betul sambil ditemani adik 'Ma' , Pokngoh yang datang dari Dungun.
"Tambah nasi lagi," pinta isteriku dan aku tercengang melihat isteriku makan bertambah. Tidak pernah aku melihat isteriku makan nasi bertambah selalunya dia akan memberiku segenggam nasi dari pinggannya ke dalam pingganku. Aku rasa itu petua pengikat kasih sayang antara suami isteri. Aku rasalah.
Usai makan dengan pencuci mulut buah mangga, aku masuk ke bilik melihat 'Aboh' . 'Aboh' cuba duduk tapi aku menyuruhnya berbaring sahaja.
"Dah makan dah?," tanya 'Aboh' .
"Saya dah tak lalu makan. Satu dua suap saja," kata 'Aboh' lagi.
'"Tak pe Abe. Makan sikit jangan tak makan," kataku. 'Aboh' tersengih melihatku. Aku berasa gembira melihat 'Aboh' bersemangat bersembang denganku. Menurut menantuku, sudah dua kali 'Aboh' diserang 'heart attact' dalam masa seminggu.
Selepas dua jam di rumah besanku, kami bergerak ke Homestay Seri Ibai. Itupun 'last minute' menantu dapat mencari tempat penginapan kerana semua tempat penginapan di Kuala Terengganu 'full house' . Selepas 'check in' , aku mengambil kesempatan mandi untuk menyegarkan badan lalu tidur bagi merehatkan badan yang letih. Usai solat jamak aku dan isteri ke Pantai Batu Buruk yang tidak jauh dari tempat penginapanku. Kereta sangat banyak tetapi aku bernasib baik mendapat tempat parkir berhadapan sebuah pentas.
Di situ sedang berlangsung Pertandingan Seni Silat Negeri Terengganu dan ramai pendekar sedang menunjukkan persembahan masing-masing. Selepas itu, aku dan isteri duduk di tunggul kayu di tepi Pantai Batu Buruk. Suasana yang sama setiap kali berkunjung ke Kuala Terengganu kami akan bersiar-siar di Pantai Batu Buruk. Layang-layang terbang tinggi di tiup angin kencang. Ombak mengejar gigi pantai.
Kemudian, menantu dan puteriku dengan dua orang cucuku menyertai kami berjalan-jalan di tepi pantai. Hampir Maghrib, aku pulang ke tempat penginapan kerana selepas itu anakku akan membawa kami berjalan-jalan di Pulau Warisan. Di situ terdapat deretan gerai sejauh hampir 700 meter yang menjual pelbagai makanan dan minuman. Usai menjamu 'Char Kuew Tiau', kami menuju ke Jambatan Angkat Terengganu. Banyak kereta dan terdapat acara pelancongan sedang berlangsung di kawasan itu. Malangnya semua lampu jalan dan jambatan terpadam kerana 'black out' . Kami terus pulang ke tempat penginapan dihantar oleh menantuku.
Rancangan esok hendak jalan-jalan cari sarapan kemudian ke Pasar Payang untuk membeli buah tangan. Ibu mentuaku di Klang sudah memesan membeli keropok ikan parang kegemarannya. Pada sebelah petang hendak ke Kampung Losong pula. Badan masih berasa letih tetapi mata susah hendak lelap.

Comments

Popular posts from this blog