Episod : GAJI

Aku mula-mula merasa duit gaji ketika bekerja sambilan sebagai pemunggah kayu di dermaga Pelabuhan Utara. Kayu-kayu beluti sebesar betis dipikul ke dalam kontena di tengah-tengah panas terik. Ikut kata mandor gajiku sehari RM25.00 bermula 7.30 pagi hingga petang atau habis semua kayu masuk kontena. Kerja setengah mati. Panas. Dahaga. Letih. Semasa itu , aku sedang menunggu keputusan SPM 1984. Akhirnya, selesai juga kerja aku dengan seorang lagi pekerja yang sudah berumur.

 

Aku mengayuh basikal pulang ke rumah dari Pelabuhan Utara ke Flat LPK. Sampai rumah dah hampir Maghrib. Usai solat Maghrib terus lena selena-lenanya. Sedar-sedar dah pukul 3.00 pagi. Terus bangun solat Isyak. Keesokan hari, menunggu di muka pintu kerana kata mandor esok dia akan singgah rumah untuk memberi gaji kerja semalam. Dari jauh dah nampak kelibatnya, menunggang basikal ‘ slow’ saja kayuhannya.

 

Aku pun senyum melihat mandor datang membawa gaji.

“Maaf, deh. Semale tokey bui tok cukup.Limo belas ria je,” kata mandor dalam dailek Kelantan sambil menyeluk poket mengeluarkan gajiku RM15.00. Aku menyambut gaji pertamaku dan itulah kali pertama dan terakhir aku bekerja dengan mandor itu. Apa nak dikata, entah betul ke tidak tokey bagi tak cukup. Mandor pun menyambung kayuhan meninggalkan perkarangan rumah.

 

Semasa menunggu keputusan STPM, aku mengambil peluang mencari kerja di kilang-kilang yang banyak di Pelabuhan Klang tetapi satu pun tak dapat. Ada ketika sebelum sampai ke pagar kilang, pengawal keselamatan sudah membaling batu menghalau aku. Kadang-kadang sengaja dilepaskan anjing mengejar aku. Akhirnya, seorang jiran dan rakan bapaku yang menjalankan perniagaan ‘cleaning’ telah mengajak aku bekerja dengannya. Jadi, bermulalah pengalaman kedua aku bekerja sebagai ‘ cleaner’ ofis ibu pejabat Lembaga Pelabuhan Klang.

 

Setiap pagi, aku akan mengayuh basikal selepas solat Subuh ke HQ LPK  yang terletak agak jauh dari rumah tetapi jalan masih lengang pada waktu pagi. Aku mesti sampai di ofis sebelum kakitangan lain sampai. Selepas melaporkan diri di pagar masuk yang dikawal pegawai keselamatan LPK yang berpakaian serba hijau aku terus ke belakang bangunan ofis. Di situlah ‘ofis’ aku dengan tiga orang pekerja ‘cleaner’ yang sudah bekerja lebih awal daripada aku. Dua pekerja wanita dan seorang pekerja lelaki.

 

Tugas aku mencuci tandas lelaki di semua tingkat kalau tak silap 4 tingkat. Kemudian membersihkan meja kakitangan pejabat. Aku akan mengumpulkan sampah di dalam bakul sampah ke dalam beg plastik hitam dan membuang habuk puntung rokok. Sebelum Tuan Ketua Pengarah LPK (KP) masuk ke dalam ‘ofis’ aku akan membersihkan bilik KP seperti mengutip sampah di dalam bakul sampah dan mevakum karpet bilik KP dan bilik setiausaha KP.

 

Sejak hari pertama aku ditugaskan membersihkan bilik KP, setiausahanya kurang mesra dengan aku. Bercakap dengan suara yang tinggi. Malahan , suka merungut yang aku tidak tahu buah butir rungutannya. Semasa aku menjalankan kerja aku dia sudah membuka pintu KP dan seolah-olah menyuruh aku segera keluar, agaknya dia nak cakap ‘You get out from my office’. Aku jenis pendiam tidak banyak cakap hanya menurut kata-kata setiausaha. Kalau batang vakum terkena kaki meja atau kerusi pun sudah terdengar dengusannya.

Cukup  bulan aku menerima gaji tunai RM110.00 tanpa caruman EPF atau PERKESO. Aku dan rakan-rakan aku akan menunggu ‘boss’ sampai untuk membayar gaji. Rasa nak melompat kali pertama menerima gaji RM110.00 hasil titik peluhku bekerja dari pukul 6.30 pagi hingga 4.00 petang. Bukan satu ofis yang perlu aku bersihkan termasuk ofis balai bomba utara LPK yang terletak di seberang jalan.

Pengalaman sebagai ‘cleaner’ sangat mencabar emosi tetapi amat menginsafkan. Ketika sedang membersihkan tandas, kakitangan ofis masuk untuk melepaskan hajat dan aku akan menunggu di luar dengan sebuah baldi dan sebatang kayu mop di tepi pintu. Usai kakitangan itu keluar dari tandas, aku akan membersihkan mangkuk tandas yang digunakan tadi dan sinki di dalam tandas itu. Punyalah gigih aku bekerja tanpa mempedulikan rasa jijik tiada air mata yang mengalir tetapi aku bersyukur mempunyai pekerjaan. Aku diajar sebagai menjadi ‘manusia’. Tidak lama kemudian, aku menerima tawaran bekerja sebagai guru tuisyen di sekolah lama tempat aku mengambil STPM dulu pada bulan April 1987.

 

Aku dijanjikan gaji RM220.00 sebulan oleh majikan baharuku. Bermulalah fasa pekerjaan sebagai guru yang mengubah seluruh hidupku. Aku bertugas dari pagi jam 8.00 pagi tetapi aku akan sampai di perkarangan sekolah sekitar jam 7.30 pagi. Perhimpunan harian sekolah bermula jam 8.00 pagi dan murid-murid akan masuk ke kelas masing-masing selepas jam 8.30 pagi , iaitu selepas Puan Pengetua menyampaikan ucapan. Aku juga dilantik sebagai guru disiplin dan ketika itu usiaku baharu 21 tahun. Darah panas dan selalu muridku kena jerkah atas kesalahan disiplin yang dilakukan mereka. Kadang-kadang aku akan menggunting rambut murid lelaki atau menyesah murid dengan rotan di tanganku selain gunting senjata di poket seluarku.

Usai sesi pagi, aku akan berehat sejam dan menyambung kerja mengajar tuisyen dari pukul 2.00 petang hingga 7.00 malam. Aku akan berhenti rehat sejam sama ada pergi makan atau hanya duduk di bilik guru sementara menanti sesi kelas malam jam 8.00 hingga 10.00 malam. Selesai kelas malam, aku akan pulang ke rumah dengan menaiki bas Klang-Banting di perhentian bas Klang Utara di bawah Great Wall. Selama aku menjadi guru disiplin di sekolah itu belum pernah aku diugut atau diganggu. Paling tidak muridku akan menengking aku kerana menggunting rambut mereka.

Begitulah rutin kerjaku setiap hari Isnin hingga Sabtu setengah hari. Manakala, hari Ahad akau akan mengajar dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Cukup bulan aku akan menerima gaji tunai dalam sampul coklat sebanyak RM220.00. Kemudian , aku akan menurunkan tandatangan pada buku batik berukuran F4.

Tahun 1989, aku mendirikan rumah tangga. Gajiku masih RM220.00 ditambah gaji isteriku yang bekerja di sebuah pejabat menjual mesin jahit Singer di bangunan MARA Klang Utara. Dapatlah RM500.00 sebulan. Kami tidak mampu membeli motosikal jadi bas awam menjadi kenderaan rasmi setiap hari. Selepas sampai di perhentian bas Klang Utara, kami berpisah sementara. Aku ke sekolah manakala isteriku ke kedai Singer. Hanya pada sebelah petang, isteriku akan pulang dan kadang-kadang sempatlah aku menjemputnya dan menghantarnya ke stesen bas untuk pulang ke rumah di Kampung Meru, Klang. Aku hanya akan pulang selepas pukul 10.00 malam dan sampai di rumah mentua pada pukul 11.00 atau 11.30 malam bergantung kepada jadual perjalanan bas KSOC.

Isteriku berhenti bekerja di Klang tetapi bekerja di sebuah kilang elektronik Exxon di Meru. Dia akan pulang dengan menaiki bas bersama-sama kawan-kawannya dalam keadaan sarat berbadan dua. Kami hanya berjumpa apabila aku selesai mengejar kelas malam. Banyak keperluan untuk cahaya mata yang bakal dilahirkan. Kami membeli keperluan bayi di Great Wall atau Pasar Raya Ocean. Namun, barang-barang keperluan yang lebih murah di Emporium Makan, Klang.

Setelah lahir puteri sulung , alangkah bahagianya kini kami bertiga, bak lirik lagu SM Salim,” dulu seringgit makan seorang sekarang makan berdua kemudian bertiga “. Kami sangat berjimat cermat dan mula menyewa rumah papan dengan harga RM80.00 sebulan tidak termasuk bil air dan elektrik. Sebuah rumah dengan sebuah bilik, ruang tamu dan dapur. Kami membeli perabot rumah secara berhutang. Setiap bulan aku akan ke kedai perabot Seng Huat di Pekan Meru untuk membayar hutang ansuran almari, kerusi dan meja. Manakala, barang elektrik aku akan membelinya di kedai Panasonic Jalan Meru juga secara ansuran. Hanya televisyen dan sebuah radio Hi-Fi Panasonic.

Aku meminta isteriku berhenti kerja demi menjaga anak kami setelah anakku berusia setahun. Hanya aku mencari rezeki.  Aku membeli sebuah motosikal ‘second hand’ di sebuah kedai motosikal di hadapan panggung wayang Cathay Pelabuhan Klang melalui rekomen seorang kawan. Malangnya, hampir setiap hari motosikal itu rosak kerana aku telah ditipu terbeli motosikal potong. Setiap minggu aku pulang ke rumah ibu bapaku di flat LPK dengan menunggang motosikal. Beberapa kali motosikal aku rosak di tepi jalan dan terpaksa dituntun ke kedai berdekatan.

Apabila memiliki motosikal , aku sudah mula berjinak-jinak mengajar tuisyen di beberapa rumah murid di sekitar bandar Klang. Bayaran upah mengajar tuisyen hanya RM35.00 sebulan. Jadi, dapatlah aku mengumpul bayaran yuran sebanyak RM700.00 sebulan pada tahun 1992. Lahir puteri keduaku setelah dua tahun menanti cahaya mata baharu. Gajiku dinaikkan RM200.00 oleh majikanku.

Aku membeli motosikal baharu SUZUKI RC80 di sebuah kedai menjual motosikal di bandar Klang. Aku mula mengorak langkah lebih jauh sehingga ke Batang Berjuntai untuk mengajar tuisyen. Aku bekerja tujuh hari seminggu tanpa cuti. Hanya Hari Raya aku akan bercuti manakala cuti sekolah atau cuti umum adalah hari bekerja aku. Sementara itu, aku mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan menjual peralatan pejabat dan ‘printing’. Pendapatan aku bertambah dari semasa ke semasa dengan menjalankan tiga pekerjaan pada satu masa.

Pada tahun 1992, aku mengambil keputusan berhenti kerja sebagai guru. Aku sedar bahawa aku akan menjadi penganggur kerana perniagaan aku ketika itu bukanlah sangat menguntungkan. Sebaik sahaja, aku melangkah kaki meninggalkan sekolah lama setelah berkhidmat selama lima tahun, ketika melintas Jalan Pos Bharu di hadapan Great Wall Klang aku ditawarkan jawatan sebagai guru di sebuah sekolah swasta yang baharu ditubuhkan di bandar Klang. Aku hanya sempat menganggur selama lima minit.

Aku dibayar gaji sebanyak RM1200.00 sebulan. Yuran tuisyen RM700.00. Hasil menjual mesin fotostat sebulan RM700.00. Aktiviti tuisyen aku semakin ligat dan aku juga mengajar di serata bandar Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor dengan menunggang motosikal. Aku berasa bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dilimpahi rezeki yang mencukupi untuk kami berempat.

Setahun kemudian lahir seorang lagi puteri ketiga. Pendapatan aku mulai bertambah dan pada tahun 1994, aku membeli sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Sentosa ,Klang. Kemudian aku membeli sebuah kereta Kancil untuk kegunaan kami sekeluarga. Setahun kemudian, aku membeli sebuah Proton Iswara untuk kegunaan aku. Isteriku menguruskan anak-anak dan beberapa anak jiran yang diambil upah menjaga dari pagi hingga petang.

Langkah kakiku lebih panjang apabila aku mengajar di sebuah pusat tuisyen di bandar Klang pada tahun 2001. Aku mendapat bayaran sebanyak RM3,000.00 sebulan dan pada tahun itu juga aku membeli rumah yang kudiami sekarang. Ketika ini, pendapatan aku mencecah RM6000 hingga RM7000.00 sebulan. Aku tidak mahu membazirkan wang begitu sahaja, aku membeli beberapa aset hartanah untuk simpanan masa depan. Gajiku semakin bertambah dan kesyukuran aku ke hadrat Illahi tidak putus-putus.

Pada tahun 2005, aku berhenti kerja sekali lagi untuk memberikan tumpuan terhadap perniagaan tuisyen yang telah aku tubuhkan. Bilangan muridku bertambah secara mendadak dan ketika itulah aku berasa berada di puncak. Pendapatan aku mencecah RM22,000.00 sebulan. Aku membeli sebuah Toyota Unser dan sebuah Proton Wira. Aku juga telah membeli sebuah apartment. Pada tahun 2005 , lahir putera bongsu selepas putera pertama aku lahir pada tahun 1999.

Aku juga mendapat tawaran mengajar anak-anak beberapa orang kenamaan dan kerabat Sultan. Gajiku dibayar agak tinggi ketika itu dan aku sudah mempunyai gaji purata sebanyak RM800.00 sehari. Langit tidak selalu cerah apabila negara mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 2006 dan perniagaan aku terkesan teruk. Satu demi satu hartanah terpaksa dijual bagi mengurangkan komitmen.

Inilah dinamakan pusingan hidup kita umpama roda yang berputar. Gaji semakin berkurangan dan komitmen pula sangat tinggi. Namun, aku tidak tenggelam punca . Semua hutang kad kredit aku langsaikan segera dan aku bebas daripada hutang kad kredit. Kereta juga aku kurang kepada dua buah sahaja daripada empat buah. Aku tetap yakin bahawa kejayaan tidak datang bergolek. Aku berusaha seperti di awal 1990-an dengan menerima tawaran mengajar walaupun bayaran yang kurang daripada bayaran yang biasa kuterima.

Aku berjaya bangkit semula seperti di awal tahun 2000. Kali ini aku lebih berwaspada dan membuat perancangan rapi bagi menghadapi kemungkinan yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Gajiku hampir menyamai gajiku yang lalu. Aku belajar erti keperitan menghadapi kesukaran. Ujian Allah swt datang sekali lagi apabila aku ditimpa kemalangan jalan raya pada tahun 2017. Aku kehilangan punca pendapatan hampir setahun.

Aku tidak lagi gundah-gulana seperti semasa kemelesetan ekonomi. Aku sudah mempunyai kekuatan dalaman. Aku hadapi segala ‘ugutan’ pihak bank yang mahu menarik kemudahan pembiayaan aku. Tiada yang hadir membantu saat itu dan aku juga tidak suka mengungkit hal itu. Biarlah segalanya menjadi kenangan dan pengalaman yang berharga. Aku bangkit semula pada tahun 2018 apabila keadaan kakiku semakin pulih walaupun aku bergantung kepada dua tongkat ketiak untuk mengajar di sana sini.

Pada saat aku sedang bertungkus lumus membina kembali kejayaan lalu, muncul Covi-19 yang menyebabkan semua pusat tuisyenku sebanyak tiga buah ditutup sehingga hari ini. Aku pasrah dan mengambil sikap positif bahawa Allah Maha Kaya. Aku tidak putus-putus meminta kepada Allah agar aku diberikan kekuatan menghadapi cabaran ini. Alhamdulillah, aku telah mendapat peluang kali ketiga apabila tuisyen aku kembali menyengat walaupun secara dalam talian atau ONLINE. Aku menerima banyak tawaran mengajar tuisyen secara personal sama ada pelajar di dalam negara atau di luar negara. Aku tetap mengambil peluang tersebut selagi terdaya. Gaji orang muda sekarang akan bermula RM1500.00 kena pada gaya hidup sekarang yang serba mahal. Jika kalian tidak berhati-hati takut nanti tersungkur di tengah jalan.

Lupakan sementara hajat hati membeli kereta mewah , rumah besar . perabot ala-ala hotel. Semua itu akan datang kepada kalian jika kalian rajin berusaha dan paling penting laksanakan tanggungjawab kepada penciptamu dan ingatlah di dalam rezeki kita ada juga rezeki orang lain. Amin.

 

Comments

Popular posts from this blog