Cerita Sebuah Pekan Kecil  

( Pelabuhan Klang )


 1970-an 


Sebuah pekan kecil

dari kuarantin ke Flat LPK Jalan Kem

Melayu Cina India Punjabi bersatu hati

anak-anak tidak berkasut berbaju lusuh

bermain , bergaduh dan bermain

bunyi serombong kapal berselang seli di dermaga Pelabuhan Selatan

buruh-buruh kasar bermandikan keringat 

di bawah terik matahari yang membakar 

demi mengejar suatu impian hidup bahagia 

perut-perut di rumah mula berdondang sayang

menanti kepulangan sang ayah membawa sebungkus nasi

dikongsi berlima dan

sang ayah menyedut sebatang Gold Left

dengan kepuasan tersendiri.

esok , hari pertama aku ke sekolah MBS.

"Belajar pandai-pandai , " kata ayah bersungguh-sungguh

kerana ayah tidak pernah kenal buku dan pensel..


1980-an


Sebuah pekan kecil 

menjadi saksi  seorang aku bercita-cita ke universiti

ayah tidak lagi menunggu di sekolah 

tetapi menanti suatu keputusan.

1984 , sehelai kertas terbaring lesu di atas  meja 

aku kehilangan kata-kata   

ayah tidak marah , katanya  , " cuba lagi "

ingin merasai keperitannya dan membanting tulang

memunggah kayu dengan janji upah dua puluh lima ringgit

keesokan hari upah tak sampai janji hanyalah kenangan

pabila langit merah beransur gelap 

kelasi-kelasi kapal meliar mencari sang kupu-kupu

lampu-lampu neon hijau merah kuning 

sebuah rumah joget di belakang Standard Carted 

meriah hingga dinihari dan ghairah hilai tawa

air kencing iblis ditogok semahu-mahunya

lendir merata - rata bau hanyir hapak masam di Jalan Samy

sang kupu-kupu terlena di dalam pelukan sang kelasi.


1990-an


Sebuah pekan kecil

telah berdiri bangunan UMNO dengan gah

kini terbiar menjadi sarang mat gian dan gelandangan

kebisingan menjadi halwa telinga setiap detik 

bunyi kenderaan yang bingit menambah kekalutan

Sang teruna dan sang dara sudah pandai menulis surat cinta

Pasar malam Jumaat menjadi titik pertemuan mesra

"Bocor-bocor tampal mana bocor tampal "

Sang teruna membelek kaset Jamal Abdillah

Sang dara malu-malu mengintai teruna tersenyum suka

Setiap pagi aku mengayuh basikal 'racing'

mencuci jamban dan mangkuk kencing sebagai rutin 

Ibu Pejabat LPK dan Bomba Pelabuhan Utara

bau hancing umpama wangian HUGO 

kembali kubaca naskhah "Hadiah Sastera 1971-73"

menelaah dengan tekun " Meditasi " 

dan "Tiada Lagi Gema Seruling".

akhirnya sehelai kertas kugenggam menjadi bukti 

bahawa jalan berliku akan lurus di hujungnya.


Tahun 2000-an


Sebuah pekan kecil

sudah lama kutinggalkan

mat bangla mat Indon mat Nepal

bersidai di kaki lima merimaskan

tiada lagi bunyi camar di jeti 

tiada lagi riuh - rendah si penjual ubat

tiada lagi gelak tawa sang dara 

tiada lagi perempuan joget

tiada lagi UMBC

tiada lagi panggung Cathay dan Rex

tiada lagi pasar malam Jumaat

tiada lagi 

segala-galanya 

tiada lagi.


Karya

Che Azmi Che Wil

Bukit Tinggi Klang

26 Ogos 2021.

Comments

Popular posts from this blog