Episod : TERTUKAR JODOH

 

Entahlah, hendak dikatakan kebetulan atau tak sengaja kedua-duanya berlaku dalam hidupku. Kisah ini berlaku sekitar tahun 1989 dan ketika itu aku di tangga alam remaja. Ketika itu ada satu ruangan berkenalan bersama Juwie, wartawan hiburan popular ketika itu dan aku telah menghantar ‘ resume’ aku dengan harapan Juwie akan memilihnya.

Selepas tersiar di dalam ruangan Juwei, aku menerima berpuluh-puluh pucuk surat daripada jejaka-jejaka yang ingin berkenalan denganku. Aku pun rajin jugalah membalas surat-surat ‘peminat’ aku itu. Dalam berpuluh-puluh kenalan itu ada seorang jejaka kunamakan ‘Mamat’ yang sangat rajin berutus surat denganku. Diam tak diam , perasaan ingin mengenali mulai berputik di dalam hatiku tetapi aku tidak pernah bertentang mata dengan ‘Mamat’.

‘Mamat’ berasal dari daerah Temiang , Seremban. Punyalah hendak sangat berjumpa, kami telah berjanji untuk membuat satu pertemuan empat mata. Hatiku berdebar-debar menantikan tarikh yang dijanjikan. Tempat pertemuan di Terminal Bas Seremban.

“Eh, apasal pulak akak tengok kau ni macam kucing nak beranak?,” tegur kakakku apabila melihat aku mundar-mandir di ruang tamu.

“Macam nilah, kak. Orang ada berkenalan dengan seorang ‘Mamat’ ini. Kami kenal pun melalui ruangan Juwei dalam surat khabar tu,” jawabku dengan suara resah.

“Habis tu, apa masalahnya?,” tanya kakakku lagi.

“Ala, kak. Orang dah janji nak berjumpa dengan ‘Mamat’.”

“Hishh, kau ni dik. Buat sesuatu tak fikir panjang,” gerutu kakakku. Masing-masing terdiam seperti memikirkan jalan penyelesaian.

“Adik nak buat apa sekarang?,” tanya kakakku.

“Kakak ni asyik tanya-tanya. Bagilah idea macamana orang nak selesaikan masalah ini ,” kataku dengan suara merungut. Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal.

“Macam nilah , kak. Kakak ganti orang jumpa ‘Mamat’,” kataku memberi cadangan kepada kakakku. Terbeliak biji mata kakakku. Aku tersenyum melihat gelagat spontan kakakku.

‘Kau dah gila, dik. Kakak pun tak kenal ‘Mamat’, “ ujar kakakku seperti menolak cadangan aku.

Tolonglah orang, kak,” aku terus-menerus memaksa kakakku menerima cadanganku itu.

“Baiklah. Tapi, kali ini sahaja,” kata kakakku.

“Orang janji sekali ini saja ,” kataku sambil memeluk bahu kakakku.

‘Kakak baiklah,” pujiku spontan. Kakakku tersenyum meleret.

“Puji ada makna tu,” balas kakakku dan kami ketawa terkekeh-kekeh.

 

Hari yang dijanjikan akhirnya tiba. Aku menyuruh kakakku memakai baju berwarna biru kerana aku sudah memberitahu ‘Mamat’ aku akan memakai baju biru. Ini bagi memudahkan ‘Mamat’ mengecam aku apabila aku sudah tiba di terminal bas nanti. Kakakku menyuruh aku memakai baju hitam berbunga-bunganya. Memandang tubuh kami hampir sama saiz tidak menjadi masalah untuk kami bertukar-tukar baju.

 

Kami menaiki bas menuju ke Terminal Bas Seremban. Sesampai di terminal bas , aku dan kakakku menuruni anak tangga bas dengan perasaan berdebar-debar. Perasaan kakakku lebih berdebar-debar kerana dia tidak mengenali ‘Mamat’ langsung. Tambahan pula, kakakku menyamar menjadi aku. Aku hampir hendak ketawa melihat wajah kakakku yang pucat macam mayat. Sesekali kakak menjeling  aku seperti berasa menyesal menerima cadangan gila aku.

Dari kejauhan kulihat seorang lelaki bermisai nipis sedang berdiri di tepi tembok terminal.

“Betullah agaknya budak ini ‘Mamat’, “ detik hati kecilku. Aku mencuit pinggang kakakku.

“Itulah ‘Mamat’,” bisikku sambil memunjungkan bibirku ke arah ‘Mamat’ yang tersenyum-senyum malu.

“ Hensem pulak ‘Mamat’ ni macam Razis Ismail,” getus hatiku.

‘Mamat’ berjalan mendekati kami.

 

“Asalamualaikum,” sapa ‘Mamat’ sambil tersenyum-senyum.

“Walaikumsalam,” jawab kakakku sopan.

“Ala, kakak ni mengada-ngada pulak. Orang suruh menyamar je,” bisik hati kecilku apabila melihat kemesraan kakakku berlebih-lebih..

“Awak, Eda kan?,” tanya ‘Mamat’ memberanikan diri.

“Hmm, ye. Saya Eda,” jawab kakakku tergagap-gagap.

“Selamat berkenalan,” ujar ‘Mamat’ sambil melihat aku di belakang kakakku sepintas lalu.

 

Sejak pertemuan kali pertama itu, ‘Mamat’ sering berjumpa dengan kakakku. Manakala, aku pula menjadi peneman setia kakak. Hari demi hari, hubungan kakakku dengan ‘Mamat’ semakin mesra dan seterusnya masing-masing seia sekata hendak mengikat tali pertunangan. Hal yang sebenar telah diceritakan oleh kakakku kepada ‘Mamat’dan ‘Mamat’ tidak berkecil hati.

“Kakak awak lagi cantik,” kata ‘Mamat’ di depanku bagaikan halilintar memanah tepat ke dadaku.

“Cis,” bisik hatiku mendengar puji-pujian ‘Mamat’ . Kakakku hanya tersenyum simpul. Akhirnya, kakakku mendirikan rumah tangga dengan ‘Mamat’.  ‘Mamat’ telah menjadi abang iparku dan tertukarlah jodohku dengan kakakku. Aku hanya mendapat  ‘Razis Ismail’ di dalam mimpiku.  

(Cerita ini adalah kisah benar daripada Eda Suria Lokman yang meminjamkan ceritanya kepadaku )

 

Comments

Popular posts from this blog