Episod : RELA
TANPA PAKSA
Kisah ini berlaku sekitar tahun 80-an dulu sewaktu itu
Emporium Makan Klang sangat popular sebagai tempat persinggahan mereka yang
hendak ‘melepak’ atau tempat ‘berdating’. Ada seorang kenalan perempuan yang
ingin sangat berjumpa denganku.
“ Awak ada masa tak esok ?,” tanya ‘L’ semasa
menelefon aku di rumah.
“Di mana ?,” tanyaku ringkas.
“Emporium Makan ,” jawab ‘L’ dengan nada suara gembira
kerana aku menunjukkan minat untuk
berjumpa dengannya.
“Ok, esok tengah hari kita jumpa,” kata ‘L’ menamatkan
perbualan.
Aku sudah bersiap-siap memakai pakaian yang paling
baik yang aku ada kerana aku bukanlah remaja berduit seperti rakan-rakanku yang
lain. Baju dan seluar aku beli di Great Wall yang dilonggok di dalam sebuah bakul
di tepi tangga tingkat 2. Harga lebih murah daripada pakaian yang bergantung
dan berjenama seperti ‘Crocodile’, ‘John Master’ dan ‘ Durban’.
Sesampai di stesen bas bandar Klang yang terletak di
bawah Great Wall, aku melihat sekeliling ramai orang ke hulu ke hilir dengan
hal masing-masing. Deretan penjual air balang dan buah potong di tepi stesen
bas dan di bawah tangga Great Wall juga ada peniaga menjual nasi campur. Di
seberang jalan, kelihatan Bank Bumiputera dan di belakang bank itu ada penjual
nasi ayam yang dikatakan paling sedap. Aku pernah singgah di kedai nasi ayam
itu dengan kawan aku . Kami meratah kaki dan leher ayam goreng yang rangup.
Aku terus melangkah ke Emporium Makan. Kedai Kasut
Karim di seberang jalan sunyi tiada pengunjung. Beberapa buah basikal di parkir
di bawah jambatan Klang bersebelahan kedai Pasar Jawa. Aku melihat jam tangan
hadiah ayahku semasa aku mendapat keputusan 15A dalam peperiksaan SRP Tingkatan
3. Betapa gembira dan bangganya ayahku, aku dibawa membonceng basikal tua
ayahku ke kedai menjual jam di pekan kecil Pelabuhan Klang bersebelahan panggung
wayang REX. Memori itu masih segar di dalam ingatanku dan ayahku akan bercerita
kepada kawan-kawan yang ditemuinya di pekan itu tentang kejayaan aku dalam
peperiksaan SRP.
Aku sudah sampai di Emporium Makan. Kedai air batu
campur dan bubur chacha Ah Seng di bawah Emporium Makan penuh dengan pelanggan.
Cuaca panas terik. Matahari tepat di atas kepala dan aku masih menunggu ‘L’
yang belum muncul-muncul lagi. Peluh memercik di dahi dan membasahi baju kemeja
belang putih pink yang aku pakai.
“Mana pulak si ‘L’ ni?,” rungutku di dalam hati. Orang
ramai lalu lalang di kawasan itu. Ada juga yang berkunjung ke Emporium Makan
untuk membeli-buah tangan sebelum pulang ke Kuala Selangor atau Kuala Lumpur.
Dari jauh, lebih kurang 200 meter, aku terpandang seseorang yang sedang berjalan
menuju ke arahku. Mulutku terlopong melihat ‘L’ sedang berjalan
lenggang-lenggok dengan kasut tumit tinggi. ‘L’ memakai baju seperti jubah
berwarna merah menyala di bawah pancaran terik matahari.
Hampir semua yang ada di situ memandang ‘L’ dan ‘L’
seakan-akan tidak mempedulikan mata-mata yang memandangnya. Aku segera menyorok
di balik tiang di tempat aku berdiri. Hasratku untuk berjumpa dengan ‘L’ terus terpadam.
‘L’ tertinjau-tinjau mencari aku di situ tetapi ‘L’ tidak melihat aku yang
sedang bersembunyi. Akhirnya, ‘L’ berlalu pergi menuju ke stesen bas Klang dan
aku terus menunggu di situ sehingga ‘L’ hilang dari pandanganku. Pertemuan kali
pertama itu rela tanpa paksa akhirnya tidak kesampaian. Kasihan ‘L’ kerana
hajatnya untuk berdating denganku putus di tengah jalan.
Comments
Post a Comment