Episod : PERANG MULUT

 

Tiada sesiapapun yang suka perang mulut kerana kesannya amat buruk bukan setakat sakit hati tetapi silap hari bulan sakit jantung. Pengalaman perang mulut aku yang tidak akan aku lupakan adalah dengan ‘bossku’ sendiri. Peristiwa ini berlaku pada tahun 2005. Aku yang bekerja di sekolah swasta sejak 1987 hinggalah aku ‘pencen’ makan gaji berbagai-bagai cabaran yang dihadapi sama ada karenah dengan murid-murid mahupun pihak pentadbiran.

 

Memang aku jenis kaki ‘melawan’ tidak kira kau ‘boss’ atau ‘director’. Sebulan sebelum perang mulut tercetus, pihak pentadbir sudah memaklumkan kepada semua staf tentang arahan ‘Big Boss’ supaya mencari jalan untuk  meningkatkan keuntungan syarikat. Kalau di sekolah kerajaan , tiada istilah ‘marketing’ kerana murid-murid sudah tersedia ada. Sebaliknya, di sekolah swasta para guru bertanggungjawab membuat promosi bagi menarik lebih ramai lepasan SPM.

 

Sekolah tempat aku mengajar di bandar Klang ini adalah ‘subsidiary’ kepada sebuah kolej yang beribu pejabat di Submit , Subang Jaya. Beberapa kali juga aku diarahkan ke sana untuk menjalani kursus ‘marketing’ dan ‘public speaking’. Rata-rata kakitangan guru di sekolah ini mampu berkomunikasi dengan baik sebagai ‘promoter’ kerana kami sudah dilatih begitu. Aku tidak menghadapi masalah kerana semasa menuntut di UPM , satu daripada modul yang diajar ialah ‘Pengucapan Awam’.

 

Aku diberikan satu projek oleh pihak pentadbir untuk menganjurkan satu ‘briefing’ kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM agar mereka mengambil kursus di kolej selepas tamat SPM nanti. Kami akan mendapat saguhati daripada projek berkenaan. Memandangkan aku mempunyai ‘networking’ dengan sekolah-sekolah jadi aku telah menggunakannya untuk membawa hampir 200 orang pelajar SPM bagi ke sebuah hotel.

 

Aku difahamkan bahawa pelajar-pelajar itu akan dihidangkan makan dan minum di hotel secara ‘buffet’ oleh salah seorang ‘HOD’ (Head Of Department). Sebelum bersara aku juga telah dilantik sebagai ‘HOD’ selama beberapa bulan sehinggalah pihak majikan aku membubarkan semua sekolah swasta dan kolej di bawah naungannya pada tahun 2005. Selepas menetapkan hari dan masa yang sesuai manakala dewan di hotel dan kafeteria juga sudah ditempah untuk menyambut kedatangan 200 orang pelajar. Aku sudah menemui Pengetua sekolah-sekolah untuk mempromosikan projek berkenaan.

 

Berbondong-bondong pelajar datang ke hotel untuk mendengar ‘briefing’ tentang kursus-kursus yang kami tawarkan selepas mereka menduduki SPM, Aku salah seorang ‘speaker’ pada hari itu bersama-sama beberapa orang dari ibu pejabat. Aku tidak menganggap diriku sebagai ‘master mind’ projek kerana kami di sektor swasta bekerja sebagai satu kumpulan. Sebarang kesilapan semua kena ‘bantai’ secara berjemaah. Usai, sesi ‘briefing’ , aku menjemput semua pelajar yang hadir untuk menjamu selera di kafeteria hotel.

 

Malangnya, apa yang dijanjikan kepada aku tidak seperti mana yang diucapkan di mulut. Pelajar-pelajar tadi sudah datang ke hotel sekitar jam 1.00 petang dan mereka mengikuti sesi ‘briefing’ hampir dua jam. Perut sudah berkeroncong dan muka masing-masing berubah apabila mereka dihidangkan secawan kopi dan sekeping kuih. Pada jangkaan aku dan pelajar-pelajar, makanan dan minuman dihidangkan secara ‘buffet’ . Muka masing-masing kelat kerana menahan perut yang pedih kerana lapar dan janji tidak ditepati. Aku hanya berlagak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku demi menjaga imej majikan.

 

Selesai makan minum , aku terus pulang ke rumah. Keesokan hari, telefon bimbitku tidak berhenti bordering . Panggilan daripada Pengetua sekolah-sekolah yang memarahi aku kerana menipu pelajar-pelajar mereka kononnya mereka akan disediakan makan minum. Apa yang boleh aku jawab hanyalah minta maaf sedangkan aku sendiri terkena dengan ‘permainan’ rakan sekerja aku. Tanpa rasa bersalah HOD selamba dan tidak pun meminta maaf. Aku yang kena hambur oleh Pengetua tetapi dia hanya tersenyum kambing. Hal itu tidak selesai di situ memandangkan tiada pelajar yang mengambil kursus yang ditawarkan oleh pihak kolej .

 

Selepas seminggu, aku mendapat notis daripada pentadbir tentang mesyuarat akan diadakan dengan ‘director’ kolej dan beberapa wakil daripada ibu pejabat di Summit. Aku sudah bersedia untuk menjawab semua pertanyaan pada mesyuarat itu nanti. Mereka datang selepas pukul 2.00 petang dan kami bermesyuarat di dalam bilik khas untuk tujuan mesyuarat kiranya bilik perang. Seorang demi seorang bersuara dan ‘director; juga bersuara dengan nada keras. Akhirnya, tiba giliran aku bercakap. Seorang demi seorang aku’tibai’ dan mereka pun tahu aku memang kaki ‘melawan’ . “Director’ hanya diam dan tidak mencelah kerana mereka sedar hal yang berlaku salah aku. Mereka mengucapkan terima kasih selepas mereka aku ‘tibai’. Masing-masing memandang HOD yang terdiam seribu bahasa.

 

Perang mulut itu berakhir selepas dua jam dan masing-masing keluar dari bilik perang bagai cicak makan kapur, Aku berasa sangat puas kerana dapat meluahkan rasa tidak puashatiku malah menjejaskan reputasiku di mata Pengetua sekolah-sekolah.. Mereka berasa aku sudah banyak menolong mereka dengan membawa 200 orang pelajar dan HOD telah membuat onar denganku.Pada akhir tahun 2005, pihak majikan mengumumkan semua sekolah dan kolej di bawah naungan mereka termasuk di Kuching, Pulau Pinang, Johor Bharu dan beberapa kolej lain akan ditutup kerana sebuah Universiti Kolej akan dibuka di Damansara. Aku membuat keputusan berhenti kerja untuk memberikan tumpuan kepada pusat tuisyen yang aku tubuhkan setahun kemudian 2006. Sehinggalah hari ini, aku masih menjalankan tuisyen secara online dan personal tuisyen kepada murid-muridku di dalam dan di luar negara !

Comments

Popular posts from this blog