Episod : Pengembaraan
Hidup di dunia ini adalah pengembaraan yang singkat. Ujian silih berganti untuk menguji keimanan sang hamba. Sudah lebih setengah abad aku menjadi pengembara di dunia yang fana ini. Pada hari ini tahun 1967, aku dilahirkan untuk menunaikan suatu janjiku kepada-Nya yang mencipta aku. Janji yang sering dilupakan.
Menurut ibuku, aku dilahirkan pada hari Jumaat saat ribut petir dan hujan mengamuk di penjuru alam. Hari yang sama pada malamnya bunyi dentuman mercun yang memecahkan keheningan malam yang dingin. Orang-orang Tionghua merayakan 'Chap Go Meh' menghalau segala jembalang daripada mengganggu anak cucu mereka. Aku lahir di tengah-tengah keriuhan manusia dan alam.
Di sebuah penempatan yang serba daif dinamakan Kuarantin ,Pelabuhan Klang aku dibesarkan. Sebuah kolah besar menjadi tempat mandi yang dibatasi oleh dinding batu dicat warna kuning berlumut. Lantai batu kerikil juga tempat anak-anak bermain air kolah.
Kata ibuku, aku akan menunggu ayahku pulang bekerja sebagai seorang buruh di muka pintu. Apabila ayahku pulang, dia akan memeluk dan mencium aku lalu membawa aku menaiki sebuah basikal tua mengelilingi Kuarantin. Tidak lama kemudian, kami dan semua penduduk Kuarantin dipindahkan ke kuaters pekerja Lembaga Pelabuhan Klang dikenal sebagai Flat PK.
Rumah baharu di tingkat 3 blok F diduduki dengan rasa gembira dan selesa. Sedikit demi sedikit barang-barang perabot dan peti televisyen berpintu mengisi ruang tamu. Sampai umur 7 tahun, suatu pagi ayahku menghantar aku ke sebuah sekolah rendah aliran Inggeris , Sekolah Methodist Boys School (MBS). Ayahku memimpin aku ke muka pintu bilik darjah sambil tersenyum lebar dan bangga. Ayahku berasa seronok melihat aku duduk di bangku sekolah kerana dia tidak pernah merasai alam persekolahan.
Setiap hari ayahku menghantar dan mengambilku di sekolah dan pada waktu rehat ayahku sudah menunggu di kantin sambil membawa makanan yang dimasak ibuku. Pesan ibu ayah kepadaku agar belajar rajin-rajin. "Kita orang susah," kata ibuku sewaktu mengikat tali kasutku di muka pintu. Tahun demi tahun , usiaku meningkat remaja.
Aku tidak lagi dihantar oleh ayahku ke sekolah apabila aku memasuki alam sekolah menengah. Ayahku membeli sebuah basikal lama daripada kawannya untuk kegunaan aku ke sekolah. Ayahku seorang pendiam tetapi penyayang terhadap anak-anak. Ayahku banyak pengalaman ketika Perang Dunia Kedua, ayahku bercerita dia bekerja sebagai pemandu lokomotif. Ketika tentera Jepun menjajah ayahku akan membawa mayat-mayat tentera menaiki lokomotif.
Kehidupan pada zaman awal remaja sangat manis. Suatu pagi, ibuku membasuh pakaian di bilik air dan aku terdengar esakan tangisnya.
"Mok tua sudah tak ada," kata ibuku memberitahu nenekku di Palekbang, Tumpat telah meninggal dunia. Kami tidak pulang ke kampung kerana kesempitan wang. Ibuku amat sedih kerana tidak dapat menziarahi jenazah ibunya. Peristiwa sedih itu masih kuingat hingga hari ini betapa kesempitan hidup menjadikan jiwa seseorang sangat kental.
Akulah harapan keluarga kerana kakakku hanya mampu menolong ibuku membuat kerja-kerja rumah memandangkan keadaan fizikalnya yang tidak sempurna seperti orang lain. Sewaktu mengambil keputusan SPM tahun 1984, perasaanku terlalu sedih lantaran keputusan yang diharapkan sangat tidak memuaskan. Aku sendiri tidak percaya dengan apa yang sedang aku hadapi pada ketika itu. Aku merayu kepada ibu bapaku agar diberikan peluang untuk menyambung pelajaranku ke Tingkatan 6 di sebuah sekolah swasta di Institut Hafiz,Klang.
"Mu belajar betul-betul. Duit aku boleh cari," kata ayahku sambil menghembus asap rokok daunnya. Sejak aku bersekolah Tingkatan 6, ayahku tidak lagi membeli rokok kegemarannya 'Gold Leaf' tetapi dia menghisap rokok daun dan kerap bekerja lebih masa atau menggantikan kawan-kawannya.
Usai persekolahan Tingkatan 6, aku ingin menolong keluargaku bagi meringankan beban ayahku mencari rezeki. Semakin kerap aku mendengar ayahku terbatuk-batuk selepas pulang dari kerja. Ibuku gemar membaca sama ada surat khabar mahupun majalah. Kata ibuku, "Datukmu tak bagi mok jadi cikgu. Mok kahwin dengan ayahmu," kedengaran kata-kata ibuku seperti memendam perasaannya kepadaku.
Sementara menunggu keputusan STPM 1986, aku mencari pekerjaan di merata-rata tempat. Di pejabat atau kilang tiada satu pun kerja kosong. Akhirnya, seorang jiranku yang menjalankan perniagaan 'cleaning service' ' menawarkan pekerjaan kepadaku sebagai 'cleaner' dengan gaji RM120 sebulan. Kawan-kawanku juga sudah bekerja tetapi kami jarang-jarang berjumpa. Masing-masing sudah sibuk dengan urusan masing-masing.
Pada masa yang sama, aku mengutus warkah kepada seorang 'kawan' untuk bertanya khabar. Seorang 'kawan' yang kukenali ketika zaman persekolahan. Namun , warkah demi warkah tidak pernah berbalas hinggalah aku diberitahu seorang rakanku bahawa 'kawan'ku itu sudah berpunya. Berkecailah hasrat hati ketika itu dan aku mula berjinak-jinak menulis puisi. Dari puisi ke cerpen dan karya-karyaku mula menghiasi dada-dada akhbar dan majalah. Malahan , aku mendapat bayaran daripada karya-karya yang telah tersiar.
Setelah hampir empat bulan , keputusan STPM diumumkan. Aku bersyukur kerana mendapat keputusan yang baik ,4 Prinsipal tetapi subjek ekonomi aku gagal. Aku mula memohon untuk memasuki universiti dengan keputusanku itu. Universiti Sains Malaysia menolak permohonanku dengan alasan keputusan peperiksaan SPM aku tidak memuaskan dan kata Ketua Pendaftar yang aku temui di USM, " Lebih baik kamu ambil SPM semula ." Aku tidak meneruskan rayuan dan terus melupakan hasrat untuk memasuki USM.
Aku mendapat tawaran. ITM, Shah Alam dalam kursus MASCOMM. Surat panggilan temuduga telah pun diterima dan aku sudah membuat persiapan untuk ke ITM. Sahabat karibku menawarkan diri untuk menghantarku ke ITM dengan menaiki motosikalnya. Hari yang dinanti pun tiba tetapi sahabatku tidak muncul-muncul. Aku sudah berputus asa tetapi sahabatku mendesak aku menghadiri temuduga itu walaupun masa telah terlewat sejam. Betullah sangkaan aku akhirnya aku menerima surat daripada ITM bahawa 'Anda telah gagal'. Kali kedua harapanku berkecai di tengah jalan.
Setahun selepas keputusan STPM , aku menerima panggilan telefon daripada sekolah tempat aku belajar Tingkatan 6 dulu. Pihak pentadbiran sekolah menawarkan aku jawatan sebagai guru. Tanpa berfikir panjang aku menerima tawaran itu dan mula bekerja sebagai guru dengan gaji RM220 sebulan. Dari pagi hingga malam termasuk hari Sabtu jadual kerjaku sudah diberikan oleh pentadbir sekolah. Aku juga dilantik sebagai guru disiplin memandangkan pengalaman aku sebagai Ketua Pengawas semasa di Tingkatan 6.
Tanpa disengajakan aku terserempak dengan rakan sekelasku semasa Tingkatan 6 yang mengulang peperiksaan STPM sesi kelas malam turut belajar di sekolah yang sama. Kadang-kadang kami berjalan sama ke stesen bas Klang di bawah Great Wall selepas selesai kelas malam. Selepas dua tahun berkawan akhirnya kami mengambil keputusan untuk berkahwin pada tahun 1989 ketika usiaku 22 tahun. Walaupun ibuku meminta aku menunggu setahun dua lagi tetapi kehendak hati kuturutkan jua.
Setelah setahun berkahwin , tiba-tiba 'kawan' aku muncul semula dan melawati kami. Setelah lama menghilangkan diri tanpa khabar berita. Aku membiarkan isteriku melayaninya sementara aku menyiapkan kerja-kerja sekolahku. Kata isteriku '' kawan'ku itu akan berkahwin tidak lama lagi.
Kami menjalani kehidupan berumahtangga pada usia yang muda. Pada pandangan orang sekeliling ada yang beranggapan kami masih terlalu muda. Aku tidak kisah dengan anggapan seumpama itu. Setahun kemudian ,kami menimang cahaya mata pertama dan menyewa sebuah rumah dengan bayaran RM80 sebulan. Gajiku sebagai guru dinaikkan kepada RM500 sebulan.
Isteriku menjadi suri rumahtangga sepenuh masa selepas melahirkan puteri sulung kami. Aku berulang alik ke sekolah dengan menaiki bas kerana gaji sebanyak itu aku tidak mampu membeli sebuah motosikal. Aku membuat keputusan untuk mengajar tuisyen di sekitar bandar Klang demi menambahkan pendapatan bulanan. Aku terpaksa meminjam wang ibuku untuk membeli sebuah motosikal terpakai. Malangnya , aku telah ditipu kawan yang kononnya motosikal itu masih baik tetapi motosikal itu pernah mengalami kemalangan teruk dan terputus dua. Hampir setiap hari motosikal itu rosak di tepi jalan. Duit pun banyak habis untuk membaikinya.
Selepas dua tahun kemudian , kami mendapat cahaya mata kedua dan ketiga pada tahun berikutnya. Semuanya anak perempuan.Aku bekerja 'part time' menjual mesin fotokopi sambil mengajar tuisyen dan bekerja tetap di sekolah. Aku berjaya membeli sebuah motosikal baharu SUZUKI RC80. Langkah semakin jauh dan aku mengajar tuisyen hingga Kuala Selangor dari Klang. Akhirnya, selepas 5 tahun bertugas di sekolah itu dengan beberapa isu dalaman aku bertukar sekolah ke Institut Makmur dengan tawaran gaji sebanyak RM1200 sebulan.
Setelah hampir 6 tahun menyewa rumah, pada tahun 1994 aku telah membeli sebuah rumah teres kos sederhana dan sebuah kereta kancil. Sebelum itu , kami berlima menaiki motosikal ke mana-mana.Kami juga dikurniakan seorang anak lelaki pertama. Alangkah gembiranya hatiku kerana akhirnya mendapat anak lelaki setelah mencuba beberapa petua. Isteriku mengambil upah menjaga anak-anak jiran termasuk anak-anakku seramai 11 orang kesemuanya.
Enam tahun kemudian, aku membeli sebuah rumah yang lebih selesa yang kami diami sekarang ini. Kami juga dikurniakan anak lelaki kedua. Cukuplah lima orang cahaya mata. Cita-cita yang tidak kesampaian muncul pada tahun 2004 apabila permohonanku untuk memasuki UPM telah diterima. Jadilah aku mahasiswa pengajian jarak jauh pada usia semakin meningkat. Pada tahun 2005 aku telah berhenti kerja makan gaji dan menjalankan perniagaan sendiri.
Cabaran demi cabaran kuterima dan kulalui dengan tabah. Kesibukan bekerja menyebabkan tugas menjaga anak-anak diambil alih oleh isteriku sepenuhnya. Pada tahun 2008, aku bergraduet di UPM dengan segulung ijazah. Hanya ibuku yang masih ada untuk meraikan sama kejayaanku tetapi ayahku sudah tiada sebelum kakiku melangkah ke menara gading. Perniagaan ada masa turun dan ada masa naik. Pada tahun 2017, aku ditimpa kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawaku. Sepanjang tempoh rawatan selama setahun setengah aku tidak bekerja dan tiada pendapatan hampir lapan bulan. Semuanya aku gagahi dengan rasa syukur.
Kini sudah 55 tahun usiaku bermakna umurku semakin pendek. Masa hujung minggu dihabiskan dengan melayani cucu-cucuku seramai enam orang yang pulang ke rumahku. Berulang alik ke masjid dan mengikuti pengajian pada masa-masa yang dizinkan-Nya. Pengembaraan semakin hampir ke penghujungnya.





Comments
Post a Comment