Episod : Orang Tamak Akan Rugi           

 

Seawal tahun 2007, aku ditawarkan mengajar tuisyen di sebuah pusat tuisyen di Klang. Tidak pernah pusat tuisyen menawarkan 'job' kepada guru tuisyen terutama guru yang sudah 'mantap' di pasaran ketika itu. Aku sudah mempunyai rangkaian atau 'networking' sendiri dengan jumlah pelajar hampir 400 orang. Pendapatan bulanan mengajar tuisyen ketika itu 'sedap' ditambah gaji pekerjaan sepenuh masa dan bisnes sendiri.

 

Sebenarnya aku tidak mengenali pengusaha pusat tuisyen itu kerana aku hanya dihubungi melalui panggilan telefon yang meminta aku datang ke pusat tuisyennya untuk berbincang. Pada hari yang dijanjikan aku sampai di pejabat urusan pusat tuisyen berkenaan. Pengusahanya merupakan pasangan suami isteri dan isterinya pula bekas guru Sains di sebuah sekolah kerajaan di Klang.

Aku difahamkan bahawa guru Bahasa Melayu yang mengajar di pusat itu sudah 'lari' bersama-sama pelajarnya hampir 200 orang.

"Wow, ramainya. Kurang-kurang RM10 ribu kutipan yuran bulanan ," detik hati kecilku. Aku tidak berminat ingin bertanya sebab-musabab guru berkenaan berhenti. Aku cuma diberitahu mereka bahawa guru berkenaan berhenti atas rasa tidak puashati isu pembahagian keuntungan yuran.

 

Pada masa itu, guru-guru yang sudah 'mantap' tidak dibayar mengikut jumlah jam mengajar tetapi peratus keuntungan dibahagi mengikut persetujuan bersama. Belum sempat aku bertanya mereka sudah memberitahuku bahawa mereka menawarkan pembahagian keuntungan 80% -20%. Aku mendapat 80% dan mereka menerima 20%. Tawaran yang sangat tinggi kerana kebiasaannya 60%-40%. Tidak mengapalah kalau mereka sudah menetapkan begitu. Aku menerima tawaran itu dengan senang hati dan aku meminta kutipan yuran pelajar akan aku kendalikan sendiri bukan pusat tuisyen itu. Akhirnya, mereka pun bersetuju dengan syaratku.. Tiada surat hitam putih yang ditandatangani atas persetujuan bersama tetapi hanya atas dasar kepercayaan masing-masing.

Hari pertama aku memulakan tuisyen hanya tinggal 27 orang murid dengan yuran bulanan seorang RM50.00. Bermakna aku hanya mendapat sekitar RM800.00 sebulan. Patutlah mereka berani menawarkan aku 80% hasil kutipan yuran kerana pelajar di dalam kelas hanya 27 orang itupun dibahagi kepada beberapa kumpulan mengikut tingkatan masing-masing. Aku hadir tiga kali seminggu di pusat tuisyen itu dan rasanya aku rugi masa kerana aku boleh mendapat yuran yang sama RM800.00 sebulan dengan mengajar seorang pelajar kelas tuisyen secara personal, iaitu seminggu sekali !.

 

Oleh sebab aku sudah menerima tawaran tersebut dan tidak mahu menimbulkan kesulitan kepada orang lain aku meneruskan tugas aku di pusat tuisyen itu. Pada masa yang sama, aku tetap mengajar juga pelajar-pelajar aku di luar sana sama ada secara kumpulan atau personal. Hari demi hari berlalu dan bilangan pelajarku meningkat sedikit demi sedikit. Tahun pertama aku di situ sudah ada 117 orang dan tahun kedua 250 orang pelajar. Perjanjian 80%-20% tetap tidak berubah. Pendapatan bulanan aku sudah mencecah RM10,000.00 sebulan di pusat tuisyen itu.

 

Namun begitu, masuk tahun ketiga aku sudah mula mendengar cakap-cakap belakang daripada pelajar-pelajarku. Kononnya, aku menganggu pelajar-pelajar perempuan di dalam kelas, aku selalu ponteng tuisyen , aku tidak mengajar dengan betul dan bermacam-macam tuduhan lain. Aku mempunyai sekumpulan pelajar Melayu yang sangat rapat denganku dan salah seorang daripadanya anak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Akhirnya , hasil risikan aku barulah kutahu berita-berita palsu itu keluar daripada mulut pengusaha pusat tuisyen itu sendiri. Mereka tidak berpuashati dengan pembahagian 20% yang dipersetujui bersama-sama pada dua tahun lepas.

 

Masuk tahun ketiga, aku sudah mengumpul seramai 350 orang pelajar dan dianggap pecah rekod kerana hampir seluruh pelajar di dalam bangunan pusat tuisyen itu ialah pelajar-pelajarku. Tiba-tiba, muncul seorang guru baharu yang digaji untuk mengajar subjek Bahasa Melayu dan upahnya mengikut jumlah hari kedatangan. Guru berkenaan ialah guru dari sebuah sekolah kerajaan. Semua pelajar baharu didaftarkan kepada guru berkenaan jadi pelajar-pelajar baharu tidak lagi memasuki kelas aku.

 

Aku cepat sedar akan permainan mereka berdua itu dan aku biarkan sahaja kerana aku sudah berniat akan berhenti mengajar di situ pada hujung tahun itu setelah tiga tahun berlalu. Aku tidak akan berhenti separuh jalan kerana pelajar-pelajar aku akan menduduki peperiksaan akhir tahun dan peperiksaan PMR serta SPM pada bulan Oktober dan November. Aku tetap membayar 20% bahagian mereka setiap bulan tanpa culas dan mengikut perkiraan aku selama tiga tahun itu aku telah membayar sewa bangunan serta bil elektrik. Bukankah itu sudah cukup menguntungkan tetapi mereka tamak . Mereka hendakkan 60% daripada kutipan yuran bulanan. Nasib baiklah di peringkat awal kami sudah bersetuju semua yuran tuisyen aku mengutipnya sendiri dan mereka akan menerima 20% bahagian mereka kalau tidak 'sangkutlah' dan masalah besar.

 

Masa pun tiba untuk aku angkat kaki dari situ walaupun ketika aku memperoleh pendapatan RM14,000.00 sebulan. Sekurang-kurangnya , pendapatan aku mengajar di situ aku gunakan untuk membeli sebuah rumah. Jadi, tidaklah aku menyesali apa-apa dan hari terakhir aku di situ aku mengucapkan terima kasih kepada mereka walaupun sikap mereka sangat hambar terhadapku. Barulah kutahu sebab sebenar mengapa guru sebelum aku berhenti tiba-tiba.

 

Aku meneruskan fokus mengajar pelajar-pelajarku sendiri dan masa yang terluang setelah aku berhenti mengajar di pusat tuisyen itu diisi oleh pelajar-pelajar baharu. Rezeki memihak kepada aku kerana aku mendapat tawaran baharu untuk mengajar anak exco kerajaan negeri dan beberapa orang anak orang kenamaan lain.

Aku terus-menerus berusaha memantapkan kedudukan aku sebagai antara guru tuisyen terbaik di Klang dan Lembah Klang .Perkhidmatan aku sebagai guru tuisyen tidak pernah berhenti sehingga hari ini tetapi aku sudah mula mengurangkan pergerakan aku hanya sekitar Klang dan Shah Alam. Kalau dulu hingga Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Petaling Jaya dan Rawang tempat aku mengajar dan bayaran RM300.00 sejam khidmatku ketika itu sangat berbaloi sesuai dengan pengalaman aku mengajar tuisyen lebih 30 tahun. Alhamdulillah, pelajar-pelajarku tiada yang gagal subjek Bahasa Melayu malahan beberapa orang bekas pelajarku Cina, India dan Melayu kini menjadi guru Bahasa Melayu di sekolah-sekolah kerajaan dan kolej. Aku dijadikan rujukan jika mereka berhadapan sesuatu kemusykilan semasa mengajar Bahasa Melayu.

 

Kini, usiaku sudah memasuki lima siri dan kudratku tidak setangkas semasa usia 20-an dan 30-an . Sekarang aku sudah mula memilih kelas tuisyen dan banyak masa hendak aku luangkan bersama-sama isteri dan anak-anak serta cucu-cucuku seramai enam orang. Pergorbanan isterikulah yang paling besar dan tidak dapat kubalas kerana dia membesarkan anak-anak tanpa aku di sisinya, bak kata bijak pandai 'berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian'. Alhamdulillah, aku masih memegang 'takhta best of the best' tutor Bahasa Melayu.

 

Comments

Popular posts from this blog