Episod : JURUJUAL
Sewaktu aku mula berjinak-jinak dalam perniagaan
peralatan pejabat sekitar tahun 1992, banyak pengalaman yang aku timba. Aku mula belajar
membuat ‘sales’ dengan Mr.K. Ke mana-mana sahaja Mr.K pergi menemui pelanggan
aku akan ikut sama dengan menaiki sebuah van Vanete. Kehebatan Mr.K menjual
mesin fotokopi seperti sekali petik terus jadi. Pengetahuan Mr.K dalam sesuatu
produk yang dijualnya amat mendalam sehingga setiap pertanyaan bakal pelanggan
akan dijawab dengan tepat dan jelas.
Itulah pelajaran pertama yang aku belajar dengan Mr.K,
iaitu memahami produk dan tabiat pelanggan. Aku perlu belajar tentang produk
terutamanya bahagian-bahagian mesin fotokopi. Pada masa itu, Mr.K akan
mendapatkan bekalan mesin fotokopi di sebuah pusat pembekal mesin fotokopi ‘recond’
di Kuala Lumpur. Aku tidak pernah dibawa oleh Mr.K ke pusat tersebut dan
setelah aku berkecimpung secara serius dalam perniagaan ini barulah aku sedar
itu adalah strategi dalam perniagaan.
Tidak semua ilmu dan ‘lubang’ akan diajarkan sebaliknya aku sendiri kena
menggali dan mencarinya.
Sebagai seorang ‘salesman’ aku dibekalkan oleh Mr.K
sebuah alat kelui berjenama MOTOROLA. Alat kelui itu berfungsi untuk
menyampaikan pesanan dan penerima pesanan akan segera menelefon nombor telefon
atau menjawab pesanan melalui telefon. Telefon bimbit pada ketika itu sangat
mahal harganya. Setiap kali aku melalui Jalan Meru Klang di situ terdapat sebuah
kedai menjual alat telekomunikasi dikenali sebagai KTS Telecomunication akan
kelihatan sibuk. Setiap telefon bimbit perlu didaftarkan seperti membuka akaun di
bank. Jenama MOTOROLA , NOKIA dan ALCATEL antara yang popular manakala harga
sebuah telefon bimbit sebesar batu – bata jenama MOTOROLA sudah ribuan ringgit.
Alat kelui kuselit di tali pinggang supaya tidak tercicir dan setiap bulan
syarikat akan menbayar bil perkhidmatan kepada syarikat pengendali alat kelui
tersebut.
Pagi itu dengan penuh yakin dan bergaya tersisip
sebuah alat kelui di pinggang aku memasuki sebuah kedai yang membuat perniagaan
percetakan di hadapan sebuah taman bunga yang berdekatan KFC Jalan Taiping.
Perniagaan itu dimiliki seorang usahawan Melayu. Orangnya masih muda sekitar
umur awal 40-an tetapi sentiasa kelihatan sibuk. Kadang-kadang , aku
terserempak dengannya di bank atau di warung bersarapan pagi. Selepas
memberikan salam kepada salah seorang pekerjanya aku dipelawa masuk berjumpa
dengan ‘boss’ di kedai itu.
“ Masuk ,” kedengaran suara dari dalam bilik selepas
aku mengetuk daun pintu. “Asalamualaikum ! ,” aku memberikan salam dan kami
berjabat tangan. Inilah kali pertama aku berjumpa bakal pelanggan tanpa
kehadiran Mr.K. Seram sejuk seluruh badanku. Kami berbual-bual mesra dan aku
menyatakan tujuan aku berjumpa dengannya. Sesekali telefon bimbit di atas
mejanya berbunyi dan selesai menjawab panggilan kami menyambung perbualan
semula.
Aku menerangkan beberapa model baharu mesin fotokopi ’recond’
melalui ‘fail holder’ yang kubawa ke hulu ke hilir sepanjang proses aku belajar
membuat ‘sales’. Dia membelek satu persatu helaian brosur yang memaparkan model-model mesin fotokopi.
Wajahnya tenang.
“Berapa harga sebuah ?,” dia melontarkan soalan yang
pertama.
“Aku memberitahu harga setiap model yang ditunjukkan
di dalam brosur itu. Dia tersenyum kembali.
“Berapa kelajuan mesin ini ?,” tanyanya lagi. Aku
terdiam. Mr.K tidak pula memberitahu aku kelajuan setiap mesin itu. Setahu aku,
semua maklumat tentang ciri-ciri mesin fotokopi itu sudah ada di dalam brosur
itu. Aku tidak menjawab pertanyaan itu. Rasa perutku memulas dan rasa hendak
terkencing secara tiba-tiba. Dia hanya tersenyum melihat wajah aku pucat. Di
dalam fikiranku dia sengaja mahu menguji aku.
“Berapa berat kertas untuk mesin fotokopi ini?,”
tanyanya lagi. Sekali lagi aku terdiam kerana aku tiada maklumat tentang
itu. Dia menutup fail itu lalu berdiri.
Aku turun bangun berdiri.
“Beginilah dik, awak balik dan belajar lagi kemudian
datang jumpa saya semula,” katanya dan memanggil aku adik. Aku pulang ke pejabat dengan perasaan sebal
dan sedih . Mr.K bertanya tentang pertemuan aku dengan bakal pelanggan tadi.
Aku memberitahu semua soalan yang ditanya yang aku dapat menjawab dan tidak
dapat menjawab tadi. Mr.K hanya tergelak melihat aku terpinga-pinga. Mr.K
menerangkan semua info di dalam brosur itu satu –persatu.
“Lain kali baca sebelum jumpa ‘customer’ ,” kata Mr.K
mengajar aku cara membuat ‘sales’. Aku mula membaca semua info di dalam setiap
model mesin fotokopi itu dan melihat sendiri ‘part by part’ setiap mesin
fotokopi yang hendak aku jual. Setelah berpuas hati, aku menunggang motosikal
sambil memeluk sebuah beg seperti dibawa
oleh doktor ke hospital. Sesampai di kedai itu, aku dipelawa olehnya masuk ke dalam
bilik.
“Macamana soalan saya hari itu ?,” tanyanya sebaik
sahaja kami berjabat tangan. Aku menerangkan satu persatu soalan-soalan yang
tertangguh jawapannya tempoh hari. Ada beberapa soalan baru yang ditanya untuk
menguji aku tentang produk , iaitu barang-barang ‘spare part’ dan waranti.
Akhirnya, dia bersetuju untuk membeli dua buah mesin fotokopi yang berharga
hampir RM5000.00. Aku hampir melompat kegembiraan.
Sepanjang perjalanan pulang ke pejabat , wajahku
tersenyum lebar. Mr.K yang melihat aku di muka pintu pejabat sudah tersenyum.
“How your sales today, Azmi ? ,” tanya Mr.K kepadaku sebelum sempat aku membuka mulut
untuk menyampaikan berita gembira itu. Itulah ‘sales’ yang pertama bagiku setelah
hampir tiga bulan aku mengekori Mr.K. Aku berasa sangat puas dan Mr.K terus
mengkredit RM600.00 di dalam gaji bulanan aku pada bulan itu sebagai komisen.
Sejak hari itu, aku bertambah yakin untuk menjual
lebih banyak mesin dan kadang-kadang dalam sebulan aku menjual lebih enam unit
mesin fotokopi. Aku sentiasa teringat akan kata-kata ‘ kalau malu bertanya
sesat jalan’. Selepas tiga tahun melalui proses bekerja sambil belajar yang kuanggap sebagai ilmu perniagaan yang
sangat berguna, akhirnya aku membuka sebuah syarikat sendiri dinamakan EDARAN
OFFICE EQUIPMENT (E.O.E.) . Semua mesin
fotokopi yang dibeli pelanggan akan dibekalkan oleh syarikat Mr.K melalui
syarikat aku. termasuk khidmat servis oleh pekerja-pekerja teknikal Mr.K.
Sehingga kini , aku tidak tahu syarikat yang membekalkan mesin fotokopi kepada
syarikat Mr.K dan aku tidak mempunyai keinginan untuk bertanya tentang hal itu
demi memelihar sebuah persahabatan dan profesionalisme dalam perniagaan.
Comments
Post a Comment