Episod : DULU-DULU

 

Dulu sekitar pertengahan tahun 1970-an hingga 1980-an, aku masih kanak-kanak dan membesar di sebuah pekan kecil , Pelabuhan Klang. Semasa zaman kanak-kanak, aku tinggal di rumah kuaters pekerja Lembaga Pelabuhan Klang (LPK ) , iaitu Flat LPK, Jalan Kem. Zaman kanak-kanak paling menyeronokkan kerana pelbagai permainan alternatif seperti galah panjang, konda- kondi, gambar, guli, gasing dan paling popular permainan padang.

 

Di belakang Flat LPK, terdapat sebuah padang yang sangat luas. Setiap petang bermacam-macam aktiviti seperti perlawanan bola sepak, bola jaring dan bermain basikal. Kaum bapa lebih gemar duduk di longkang besar tepi padang sambil menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan dalam kalangan pemuda yang tinggal di flat atau mereka yang datang dari luar Flat seperti Flat Bomba, Flat Polis, Flat Kastam atau Kampung Sungai Aur. Ada sesekali perlawanan bola sepak antara pasukan pilihan pemuda flat dengan pasukan bola sepak sekolah menengah.

 

Bagi pemudi pula, mereka lebih gemar bermain bola jaring sesama mereka sambil memakai vest oren dan biru. Tiang gol bola jaring akan disimpan di dalam longkang besar selepas bermain. Di hujung padang ada dua buah gelung kongkrit yang dijadikan tempat bermain tetapi ada yang menyalahgunakan tempat itu sebagai tandas membuang air besar dan air kecil. Apabila selonggok hasil perut dibuang di situ tiada sesiapa yang masuk bermain di dalam gelung itu sehingga longgokan itu kering sendiri. Pada waktu malam, kadang-kadang ternampak juga pasangan lelaki perempuan ‘merende’ di situ dan kebetulan belakang rumahku di tingkat 3 mengadap padang permainan.

 

Kalau hari raya lebih meriah suasana di flat kerana masing-masing membuat persiapan untuk menyambut hari raya. Pekerja kedai perabot paling sibuk keluar masuk flat menghantar kerusi kusyen rotan dan meja makan baharu. Malahan, televisyen juga diganti dengan yang baharu. Masing-masing berlumba-lumba menukar segala perabot rumah yang sudah seperti suatu kemestian apabila menjelang hari raya.

 

Tidak kurang juga langsir akan ditukar dengan yang baru. Great Wall di tengah-tengah pekan Pelabuhan Klang menjadi tumpuan penduduk flat untuk membeli barang-barang keperluan menyambut hari raya. Baju dan seluar longgok bagi golongan berpendapatan rendah seperti keluarga aku sudah cukup bergaya apabila dipakai pada hari raya. Bagi golongan pegawai LPK pula mereka akan menempah pakaian di kedai-kedai jahit di sepanjang deretan bangunan Great Wall. Biasanya, ayahku akan singgah membawa kami membeli mi goreng di Restoran Abdullah yang berhadapan stesen bas. Ayahku akan membungkus dua atau tiga bungkus mi goreng untuk dibawa pulang dan kongsi makan tujuh orang. Pada hari rayalah, ibuku akan mengeluar pinggan mangkuk DUMEX yang didapati secara percuma dengan membeli susu keluaran syarikat itu.

 

Apabila menjelang remaja dan naik sekolah menengah , aku sudah pandai keluar sendiri dengan kawan-kawan flat ke pekan untuk bersiar-siar hingga sampai ke jeti. Kami akan menunggang basikal atau berjalan kaki tiga empat orang dengan Mat Kucing , Man Gagak, dan Man Jepun, kawan-kawan rapatku dan mereka memanggil aku Jemi. Pada hari Jumaat, kami akan beramai-ramai berbasikal ke Masjid Samadiah untuk menunaikan solat Jumaat. tetapi paling meriah di pekan Pelabuhan Klang sebelah malam ada pasar malam dari simpang pasar hingga ke bangunan Standard Charted lalu melimpah di hadapan bangunan UMBC. Di seberang jalan juga ada penjual yang berniaga barang-barang lelong. Ayahku tidak pernah membeli barang-barang lelong tetapi ayahku akan membawa pulang kertas putih yang digunakan untuk membalut barang-barang di dermaga lalu dijadikan pembalut buku teks sekolah atau buku latihan.

 

“Satu longgok 20.00 ringgit.  Ada 20 ringgit ? 15 ringgit ada? Mahal sangat. Kita kasi turun 10 ringgit . Ada ? ,” jerit peniaga yang mencampurkan pelbagai barang dalam satu longgok. “Bam !”.  Meja ditepuk kuat apabila pembeli mengangkat tangan tangan tanda barang sudah dilelong. Ada alat mainan kereta kontrol, pistol plastic, anak patung , minyak wangi, dan bedak . Kawasan itu menjadi tumpuan pengunjung pasar malam.

 

“ Baunya ghau-ghau ,” kedengaran suara Shamshul Ghau-ghau di seberang jalan  menjual bedak dan sesekali dia menyanyi lagu Hindustan. Kelasi-kelasi kapal yang berlabuh di dermaga Pelabuhan Selatan juga turut berkeliaran di pasar malam untuk membeli buah tangan. Lampu-lampu mentol neon berkelipan dengan bunyi muzik dari  pembesar suara membingitkan telinga.

 

Kebiasaannya, kami yang bujang trang tang-tang ini akan terserempak dengan kumpulan anak dara yang datang dari flat atau Port Garden. Ada juga dari kawasan tempat tinggal lain sekitar Pelabuhan Klang. Tiada adegan kejar-mengejar cuma tatkala berselisih mata saling berpandangan dan senyuman terukir di bibir.

 

“Entah apa-apa tah..,” kata salah seorang anak dara dalam kumpulan dua tiga orang sambil ketawa terkekek-kekek. Kami ikut ketawa kerana antara kami ada yang bergaya dengan sapu tangan diikat di leher dan sikat tersembul dari poket belakang seluar. Gaya Yenki. Zaman itu masing-masing tidak berani secara terbuka keluar jalan bersama-sama kerana takut diejek  oleh kawan-kawan lain. Berita keluar ‘dating’ sangat pantas dalam kalangan remaja hingga kadang-kadang ibu bapa bertanya tentang kebenaran berita yang didengar mereka. Sampai begitu sekali ketatnya kawalan pergaulan sesama remaja .

 

Apabila cuti sekolah, saudara-mara dari kampung akan datang mengunjungi sanak saudara mereka di flat. Ada anak dara dan anak bujang akan tinggal selama beberapa ketika bersama-sama sanak saudara mereka di flat. Muncul adegan ‘mengurat‘ sesama remaja flat. Masing-masing hendak menonjolkan diri dengan berbagai-bagai cara. Ada seorang makwe wajahnya mirip Junainah M Amin seorang penyanyi Singapura yang terkenal. Stail rambut pun sama.

 

Ada seorang kawanku menunjukkan kekuatannya memukul budak India yang tinggal di flat itu. Memang teruk dibuli , diterajang dan ditumbuk tanpa sebab semata-mata hendak menunjukkan kehandalan kepada ‘Junainah M Amin’ . Barang kali dengan cara itu akan menarik perhatian ‘Junainah M Amin’  yang datang bercuti dari kampung itu. Sepanjang cuti sekolah, suasana flat meriah dengan kanak-kanak bermain bola sepak di atas jalan raya di antara dua blok bangunan. Walaupun berkaki ayam , mereka tetap lasak bermain di atas aspal yang keras , tajam dan panas pada sebelah tengah hari.

 

Aku dan kawan-kawanku yang lain lebih gemar memilih bermain bola di tepi padang belakang flat. Kami akan meletakkan selipar sebagai tiang gol dan salah seorang akan dipilih menjadi penjaga gol. Penjaga gol akan silih berganti apabila gawang gol dibolosi atau lebih tepat ‘penjaga gol tak boleh diharap’. Sebiji bola getah hijau yang sudah botak kepunyaan aku menjadi rebutan setiap kaki yang menendang. Kadang-kadang berlaku bahu-membahu dan tolak-menolak serta kejar-mengejar apabila kaki ditendang pemain lawan. Adegan kejar-mengejar akan disambut dengan sorakan mereka yang bermain di padang. Tidak lama kemudian, permainan diteruskan dan kawan yang dikejar akan perlahan-lahan ikut bermain semula. Pasukan bolaku terdiri daripada pelbagai kaum, Viji, Mohan, Martana dan Ah Tuang; Kaki Martana paling keras macam batu kalau tersepak atau disepak sama sakitnya bukan kepalang. Jika terkena kepada aku sendiri, aku akan mengejarnya untuk membalas dendam dan kejar-mengejar berlarutan dari tepi padang hingga hujung padang sambil disorak kawan-kawan lain.

 

Musim cuti sekolah juga selalu diadakan majlis berkhatan beramai-ramai anjuran ibu pejabat LPK. Beberapa buah khemah akan dipasang dan Tuan Pengarah LPK ketika itu Tuan Harun yang akan merasmikan majlis dan kemudian selepas Tuan Harun . Ketua Pengarah LPK diganti oleh Tuan Hashir. Mereka yang menyertai majlis bersunat beramai-ramai akan diarak di flat dengan paluan kompang dan dipakai pakaian umpama pengantin. Siap bunga manggar. Dua tiga puluh orang kanak-kanak yang hendak disunatkan termasuk kanak-kanak dari flat yang berdekatan seperti Flat Bomba dan Flat Kastam. Juga turut mengambil bahagian.

 

Salah seorang rakanku yang menyertai acara berkhatan terpaksa pulang awal kerana ‘anunya’ hilang semasa hendak disunatkan mungkin kerana saiz badannya yang gempal dan comel lagi belum sampai masa untuk disunatkan ‘anunya’.. Aku dibawa pulang oleh ibu bapaku ke Palekbang, Tumpat untuk disunatkan oleh mudim kampung dengan cara kampung , didudukkan di atas batang pisang. Sebelum itu, aku dimandikan di tepi telaga di belakang rumah Che’ . Airnya sejuk hingga menusuk tulang hitam. Tok Mudim akan sampai seawall pukul 8.00 pagi dengan berbasikal. Projek bersunat selesai sejam kemudian dan pulut kuning dihidangkan untuk Tok Mudim dan mereka yang hadir pada hari itu. Selepas tengah hari itu juga aku sudah mula bermain bola di atas beranda kayu rumah Che’ dengan sepupu-sepupuku dari Rantau Panjang, Pasir Pekan dan Pasir Tumbuh dan Kota Bharu. Kami hanya berjumpa setahun dua kali iaitu semasa cuti sekolah. Sepanjang usia kanak-kanak dan remaja aku tidak pernah pulang ke kampung untuk berhari raya memandangkan kos untuk pulang ke kampung dengan kereta api mel dari stesen Kuala Lumpur sangat mahal. Hanya sekali aku pulang ke kampung di Kelantan pada 3 tahun yang lepas semasa Hari Raya Haji. Itulah pengalaman pertama aku berhari raya di kampung !.

 

Musim cuti sekolah selalunya pada pertengahan tahun atau akhir tahun akan berlangsung majlis perkahwinan di flat. Kemeriahan suasana majlis perkahwinan dirasai di seluruh blok flat seperti sebuah pesta. Di situlah kanak-kanak akan datang bermain di hadapan blok rumah pengantin. Tuan rumah akan memasang khemah berbatang kayu dengan kanvas hijau seperti tentera yang berat oleh beberapa pekerja India dan Melayu sambil diawasi oleh tokeh Cina atau India. Biasanya tiga atau empat buah khemah siap dengan meja makan adab-adab. dan meja kayu serta kerusi kayu yang boleh dilipat. Rumah pengantin sibuk dengan jiran-jiran lelaki dan perempuan yang datang menolong secara bergotong-royong. Jiran-jiran memotong sayur-mayur, menyiang ayam dan daging kemudian memasak nasi serta lauk-pauk. Seorang tukang masak arwah Pakcik Hamzah juga penduduk flat akan mengetuai gotong-royong itu. Semua ahli keluarga jiran-jiran juga akan berkampung di rumah pengantin dan makan minum selama dua atau tiga hari di situ..Manakala, arwah Che Li dan Makcik Amy akan membantu sebagai ‘wedding planner’ dan menyambut tetamu yang hadir.

 

Bagi kaum perempuan yang mengikuti kelas kraf tangan anjuran KEMAS  Taman Kem akan menunjukkan skil mereka menghias tuala dijadikan imej haiwan seperti burung atau itik dan buah-buahan serta sirih junjung. Telur-telur yang sudah siap direbus akan dibungkus di dalam kotak kecil , atau sarung yang dijahit dengan benang dan paling mudah telur dibungkus di dalam kertas tisu berwarna merah jambu kemudian dipintal menjadi pemegang. Ada juga telur dibungkus di dalam sehelai sapu tangan kecil yang bercorak bunga-bungaan sebagai buah tangan daripada keluarga pengantin. Telur-telur yang tidak menjadi atau pecah akan diberikan kepada kanak-kanak yang bermain di bawah khemah atau di tepi dapur . Itu juga ialah strategi untuk menghalau kanak-kanak itu bermain jauh dari ‘zon perang’ di bawah khemah dapur. Selepas habis telur dimakan, kanak-kanak itu akan datang semula bermain di situ dan meminta makan minum yang dilayan oleh ibu bapa mereka sendiri.

 

Ada sesetengah tuan rumah turut menyewa band muzik untuk membuat persembahan sebagai hiburan kepada tetamu yang datang meraikan pasangan pengantin sambil menikmati makanan yang dihidangkan di dalam dulang oleh penanggah. Biasanya sebuah meja empat atau lima orang dan makanan dihidangkan selepas cukup kuota itu. Ada band dari LPK diketuai abang Azhar (anggota Santan Berlada) dan ada juga band-band lain. Kadang-kadang Fauziah Latif atau Gee yang tinggal di kuaters kastam di sebelah luar pagar flat LPK akan menyumbang suara menyanyi di majlis rumah pengantin jika band Pakcik Latip ayahnya dijemput membuat persembahan. Kalau tiada persembahan Gee akan datang ke flat berjumpa dengan kawan-kawannya. Biasanya lagu-lagu Melayu yang popular dan lagu-lagu Inggeris dinyanyikan oleh penyanyi jemputan atau ahli muzik band itu sendiri. Lagu Sharifah Aini, Sudirman, Sanisah Huri dan Pop Yeh Yeh menjadi pilihan termasuk lagu-lagu Melayu asli nyanyian Kamariah Noor atau Orkid Abdullah.

 

Pada sebelah petang, tiada aktiviti di bawah khemah hanya anggota band bersiap-siap untuk persembahan malam itu. Acara memotong kek dan bergambar di pelamin berlangsung . Selepas Isyak, anggota band akan menyambung persembahan dan lagu popular Inggeris oleh Santana “Black Magic Woman’ biasanya menjadi pilihan untuk persembahan pada sebelah malam. Anak-anak muda lelaki dan perempuan akan menari beramai-ramai di bawah khemah di atas jalan tar. Debu-debu akan berterbangan meruap di bawah khemah dan hanya beberapa lampu kalimantang sahaja dinyalakan umpama suasana sebuah kelab malam. Kebetulan ketika itu sedang hangat filem ‘Grees’ lakonan John Travolta dan Olivia Newton John. Gaya pakaian dan stail mereka akan ditiru oleh pemuda dan pemudi yang datang dari segenap ceruk kawasan berhampiran flat kami. Baju kemeja kotak-kotak dan seluar jeans.

 

Masuk pusingan kedua sekitar jam 10.00 malam, pakcik dan makcik pula turut mengambil bahagian berjoget lambak. Penanggah pada siang hari juga tidak mahu ketinggalan. Barulah aku tahu makcik-makcik yang dilihat lemah lembut akan lebih aktif semasa berjoget lambak. Mungkin pada usia muda mereka dulu tahun 60-an, banyak filem dan drama Melayu berlatarkan suasana joget lambak macam ‘Pak Maun’ lakonan Mahmud June. Begitu riuh rendah suasana malam dengan joget lambak dan ada juga sesekali hampir berlaku pergaduhan apabila kumpulan pemuda dari luar flat datang sama berjoget lambak. Sebenarnya, pemudi di flat yang membawa pakwe mereka dan kumpulan mereka meniyebabkan timbul perasaan kurang senang, cemburu dan tercabar oleh pemuda-pemuda flat. Namun, tolak-menolak tidak menyebabkan aksi tumbuk-menumbuk kerana beberapa anggota polis berpakaian preman akan turut berada di tempat itu untuk menjaga ketenteraman awam.

  

Pada hujung tahun juga, ibu pejabat LPK akan mengadakan rombongan k penduduk flat ke Pelabuhan Barat dengan menaiki bas khas LPK. Kaum ibu dan anak-anak pekerja LPK akan dibawa melawat Pelabuhan Barat dengan menaiki sebuah bas LPK. Kami akan menaiki bot dan berhimpit-himpit malah kami diberikan makanan seperti karipap dan pisang serta air kotak. Seorang kakitangan pejabat LPK akan menyampaikan penerangan tentang Pelabuhan Klang dan operasi di situ. Bot kami akan berselisih dengan kapal-kapal besar yang berlabuh di tepi dermaga. Badan kapal yang sangat besar menimbulkan perasaan debar ditambah pula lambungan ombak. Selesai ‘pelayaran’ itu , kami dibawa ke ibu pejabat LPK untuk menonton tayangan dokumentari sebelum dihantar pulang ke flat. Program sehari itu akan berakhir tengah hari dan masing-masing berasa teruja dapat memasuki kawasan dermaga yang menjadi kawasan larangan kepada mereka yang tidak berkenaan serta dapat meilhat sendiri tempat kerja suami masing-masing. Aku juga berpeluang melihat ayahku bekerja di dermaga Pelabuhan Barat.

 

Pertengakaran kadang-kadang berlaku sesama jiran dan perang mulut antara penghuni dua buah blok atau sama blok. Kalau perang mulut antara blok lebih ‘happening’ kerana seorang di blok sini dan seorang di blok sana. Pertengakaran mereka berlaku selama beberapa ketika dan tidak diketahui puncanya. Mungkin juga perbalahan bermula daripada suami mereka yang bekerja di jabatan yang sama kemudian disambung oleh isteri masing-masing. Ada juga yang terlentang di tengah jalan kerana mabuk apabila gaji dikeluarkan. Adegan pukul-memukul pun tercetus dalam kalangan ahli keluarga dan berita itu cepat merebak. Lebih ramai yang akan berkumpul untuk menyaksikan peristiwa kekecohan itu. Penyudahnya, pintu rumah ditutup dengan keras oleh tuan rumah. Semua penonton akan masuk ke rumah semula atau balik ke rumah masing-masing di blok lain sama seperti adengan filem P. Ramlee.

“ Pasal taik pun mau gaduh ka,” ujar Ramlee.

 

Pengalaman semasa kanak-kanak yang menarik ialah kami beramai-ramai menunggang basikal sambil membonceng basikal kawan-kawan ke Padang Sultan Sulaiman ( Stadium Sultan Sulaiman,Klang) sebelah Istana Besar Klang untuk menyaksikan pertunjukan bunga api sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor (Almarhum). Berdentum-dentam bunga api di ruang udara dan disambut dengan sorakan penonton yang bersesak-sesak di jalan raya. Bunga api ditembak dari tengah-tengah Padang Sultan Sulaiman dan beberapa buah jentera bomba bersiap-sedia di tepi padang jika berlaku kecemasan. Usai menyaksikan pertunjukan bunga api sekitar 12.00 tengah malam , kami akan mengayuh basikal pulang ke rumah sejauh hampir 45 minit. Pertunjukan bunga api hanya diadakan setahun sekali  di Bandar Klang Bandar Diraja.

 

Sambutan sempena Maulud Nabi di Padang Sultan Sulaiman juga turut membawa kanak-kanak sebaya aku darjah 5 dan 6 dengan menaiki sebuah bas untuk berarak sambil membawa sepanduk. Aku hanya melihat kawan-kawanku memakai baju melayu lengkap bersamping ( sebenarnya baju raya ) ke sana kerana aku tidak turut serta ke sana. Wajah kawan-kawanku berseri-seri dan gembira kerana dapat menaiki bas dan diberikan makanan serta minuman di dalam bas. Aku hanya menunggu kawan-kawanku pulang semula ke flat pada sebelah tengah hari dan mendengar cerita mereka yang menyeronokkan semasa berarak di sana. Pada sebelah petang, kami akan bermain bola sepak di padang seperti hari-hari biasa.

 

Kini, semua nostalgia itu hanyalah tinggal ingatan yang masih segar. Flat LPK sudah dirobohkan sepenuhnya. Tiada lagi jeritan kanak-kanak flat bermain-main di padang flat. Tiada lagi riuh-rendah suasana pasar malam di hadapan pasar dan UMBC. Tiada lagi kedengaran bingit muzik band rumah orang kahwin dan joget lambak. Tiada lagi John Travolta. Tiada lagi perang mulut di tengah-tengah antara blok. Tiada lagi kenyit-mengenyit mata dan perlawanan bola sepak yang kadang-kadang disulami adegan bersilat apabila tercetus pergaduhan. Kawan-kawanku juga sudah berhijrah dan berkeluarga . Apa khabar ‘ Junainah M Amin’? Pekan kecil Pelabuhan Klang menjadi kota hinggap warga asing yang berkeliaran di sana sini !

Comments

Popular posts from this blog