Episod : WIRA TAK DIDENDANG ( F TEAM )
Sesampai di rumah selepas solat subuh
di Masjid Al-Falah, Kampung Idaman Pelabuhan Klang, aku dan isteri bersiap-siap
untuk memulakan perjalanan ke Sungai Panjang, Sungai Besar. Hari ini aku ingin
bertemu dengan anggota-anggota pasukan elit , F Team. Rasa tidak sabar-sabar
untuk mendengar kisah perjuangan mereka semasa membanteras pengganas komunis
pada tahun 70-an dan 80-an sehinggalah Perjanjian Peletakan Senjata pada tahun
1989.
Cuaca cerah dan perjalanan dijangka
mengambil masa selama 2 jam. Kebetulan semalam , 31 Disember tarikh kelahiran
isteriku jadi perjalanan ke sana umpama ‘melancong’. Banyak perkara
dibincangkan antara kami bagi menghadapi kedatangan tahun baru, 2022. Hajat di
hati untuk singgah sarapan di warung tepi jalan akhirnya tidak kesampaian
kerana banyak kedai makan ditutup.
Aku menggunakan ‘waze’ untuk ke tempat
yang dituju D’ Bayu Impian Sungai Panjang, Sungai Besar. Namun , waze ‘meragam’
dan aku terlajak ke pekan Sungai Besar. Aku berhenti bertanya lokasi D’ Bayu
Impian Resort kepada seorang pelanggan stesen minyak BHP pekan Sungai Besar.
Aku diminta membuat ‘ U-Turn’ kira-kira 2km di hadapan menuju ke Sungai
Panjang. Aku meneruskan pemanduan dan sekali lagi ‘waze; meragam hilang di
paparan telefon bimbit. Aku berhenti di tepi jalan buat kali kedua untuk
bertanya , bak kata ‘malu bertanya sesat jalan’.
Selepas mendapat bantuan dua orang
pekerja binaan di tepi jalan , aku meneruskan perjalanan ke D’ Bayu
Impai Resort. Sawah padi terbentang luas dan cuaca sangat redup.
Puas mata memandang sawah yang menghijau. Aku berhenti di sebuah warung di tepi
jalan untuk sarapan. Jam di tangan menunjukkan 10.00 pagi. Sekali lagi aku
bertanya kepada pelanggan yang sedang duduk bersarapan di warung itu. Tuan
punya warung menghampiri meja aku dan beramah mesra dengan kami. Dia yang baru
pencen bekerja di Universiti Malaya membuka warung itu. Rumahnya terletak di
belakang warung di tengah-tengah sawah. Kami berbual-bual tentang kejadian
banjir di Lembah Klang.
Aku meneruskan perjalanan yang
ditujukkan iaitu lebih kurang 11km lagi di kawasan Parit 14. Sesampai di
lokasi, beberapa orang pekerja resort sedang menyapu daun-daun kering di dalam
kawasan resort. Aku bertanya kepada salah seorang pekerja sama ada di situ ada
perjumpaan pasukan F Team.
“Betul , Encik. Pasukan beruniform
menyewa di sini,” beritahu pekerja itu. Aku mempakir kereta di bawah pokok
kelapa sawit di tepi resort. Hati berdebar-debar kerana aku tidak pernah bersua
muka dengan anggota-anggota F Team. Hanya seorang dua yang aku berhubung
melalui Facebook , iaitu Tuan Zahriman (Atok) dan Tuan Khairi.
Tiga buah khemah didirikan di hadapan
deretan rumah inapdesa. Suasana sekitar menarik dan nyaman. Terdapat sebuah
kolam renang dan sebuah dewan. Aku terpandang Atok sedang duduk di tengah
khemah dengan isteri Atok , Uwan. Niat aku pada hari itu untuk membeli buku penulisan
Atok ‘ Rahsia Dalam Rahsia’ F Team. Beberapa orang anggota F Team sedang
bersembang sesame mereka di bawah khemah dan ada yang duduk berkelompok di sana
sini.
Aku berbual-bual dengan Atok dan Uwan
sambil itu aku mengambil kesempatan bergambar dengan Atok. Aku terpandang Tuan
Kamaruddin @ Kenny yang Atok menulis kisah Kenny di dalam Facebook Atok. Susuk
tubuh yang gempal dan putih serta berwajah iras Cina. Dalam pada aku
melihat-lihat itu, aku terpandang seseorang yang duduk tidak jauh dari aku.
Seorang bekas anggota F Team yang berpakaian khas sempena reunion F Team hari
itu.
Aku bangun meninggalkan Atok dan
menghampiri lelaki yang aku kenali itu. Bukan setakat kenal tetapi sangat
kenal. Aku mencuit bahunya dan dia menoleh memandang aku tetapi memandangkan
aku memakai pelitup muka dia terpingga-pingga memandang aku. Aku membuka
pelitup muka dan terus berpelukan.
“ Eh, Mie , “ Hashim menyapa aku.
Lelaki yang kukenali itu ialah sahabatku sejak tahun 1986 . Isteri Hashim ialah
rakan sekelasku semasa di Tingkatan 6.
“ Tak sangka jumpa kau kat sini, “
kataku dan Hashim menarik aku jauh dari tempat mereka berkumpul tadi.
‘Maaf, Mie, “ kata Hashim.
“Aku sendiri tak tau kau anggota
polis,” kataku memulakan perbualan. Hashim tersenyum. Hashim yang dulu berambut
panjang dan berjanggut sebenarnya penyamar pasukan F Team. Setahu aku dia
berniaga buah-buahan dan menjual makanan ringan apabila setiap kali dia datang
ke rumah aku dengan isterinya membawa buah, sayur dan kerepek. Jadi, selama ini
Hashim ialah anggota F Team sejak tahun 1985.
‘Aku sudah diajar begini, Mie. Maaf,
Mie aku bukan tak nak bagi tau, “ kata Hashim berulang kali. Hashim bertubuh
tegap dan berkulit cerah seperti kecinaan hanya tersenyum. Aku duduk dengan dua
orang lagi anggota F Team, Tuan E’Isa Tan dan Tuan Ramli. Tuan E’isa Tan agak
berumur dalam lingkungan awal 70-an dan Tuan Rusli dalam usia 60-an tetapi
masih Nampak tegap dan sentiasa tersenyum walaupu wajahnya agak
garang tetapi sangat peramah orangnya. Mereka sama-sama dalam menjalankan
operasi. Hashim pula lebih kepada operasi dalam bandar.
Tuan Rusli bercerita pengalamannya
melawan pengganas komunis di hutan. Daripada penceritaan mereka aku sedar
mereka bukan sekadar bertugas di hutan tetapi juga di dalam bandar. Tuan Rusli
menceritakan dan Tuan Kalam (belum sampai di resort) bersama-sama membuat
latihan di bulatan Jalan Pahang berkali-kali . Latihan yang dikatakan Tuan
Rusli sebagai gila. Dalam kelajuan motosikal 80km/jam mereka terjun dari
motosikal untuk berlatih menembak. Sasaran dua orang pengganas komunis sudah
dikenal pasti hanya menunggu masa. Pada hari operasi, Tuan Rusli dan Tuan Kalam
yang duduk membonceng telah melompat menerkam penggnas komunis semasa kelajuan
motosikal 80 km/ jam. Dalam fikiran aku, ini memang kerja gila . Kami ketawa
berdekah-dekah sepanjang penceritaan itu walaupun kami pertama kali berkenalan
di situ. Tuan E’isa Tan lebih banyak tersenyum dan dia merupakan sifu @ Cikgu
kepada Tuan Rusli dan Hashim. Tuan E’isa Tan sentiasa tersenyum dan kurang
bercakap dan hanya mengangguk-angguk mendengar Tuan Rusli bercerita. Hashim
bercerita pengalamannya membanteras pengganas komunis yang berkeliaran di
kawasan Batu Caves. Aku membuat kesimpulan bahawa mereka ini ‘ sharpshooter’ F
Team atau penembak tepat dalam operasi.
Hashim tersenyum melihat aku mendengar
cerita Tuan Rusli. Hujan turun lebat dan aku melihat kelibat Tuan Khairi baru
sampai di bawah khemah. Aku meminta izin mereka untuk bertemu dengan Tuan
Khairi di bawah khemah utama. Pada awalnya Tuan Khairi tidak mengenali aku
tetapi apabila aku membuka pelitup muka bibirnya tersenyum. Kami saling
mengenali rapat di dalam Facebook dan ini merupakan pertemuan empat mata kali
yang pertama. Kami berbual-bual di sudut khemah dan kemudian aku memperkenalkan
diri kepada Tuan Kenny. Aku, Tuan Khairi dan Tuan Kenny bersembang di situ.
Kemudian , Tuan Rusli pun mengambil tempat sama .
Aku meminta Tuan Kenny menceritakan
sendiri pengalamannya sebagai anggota F Team. Rupa-rupanya, Tuan Kenny ialah
Ketua Operasi F Team jadi dialah ‘master mind’ operasi F Team. Orangnya gempal
dan berwajah kecinaan serta sentiasa tersenyum. Masih segar semua peristiwa
yang dialaminya sepanjang operasi F Team. Tuan Kenny memanggil aku ‘Cikgu’ dan
bercerita pengalamannya mengalahkan Chong Chor ketua pengganas PKM. Cerita dari
mulut Tuan Kenny sama seperti mana cerita Atok di dalam buku yang ditulisnya.
Sesekali Tuan Rusli menokok tambah cerita Tuan Kenny. Mereka ini semua sudah
dilatih sebagai ‘ sharpshooter’. Menurut Tuan Kenny mereka banyak gunakan psikologi
terhadap pengganas komunis sambil telunjuknya menunjuk ke arah dua orang lelaki
berbangsa Cina yang diduduk di bawah pondok.
“Mereka dulu penggnas komunis tetapi
saya tangkap dan dalam masa tiga hari mereka sudah berubah 360 darjah. Mereka
membantu kami melawan kawan-kawan mereka sendiri, “ cerita Tuan Kenny.
“Bukan 3 hari Tuan, 10 minit saja
mereka sudah ubah fikiran dan tolong kita jejak kawan-kawan dia,” sampuk Tuan
Rusli. Kami ketawa bersama-sama.
“Apa perasaan tuan menembak pengganas
komunis?,” tanyaku kepada Tuan Kenny. Dia diam seketika dan bercerita tentang
pengalamannya menumpaskan pengganas komunis yang hendak meletupkan Genting
Highland. Kemudian, sebuah kereta memasuki perkarangan resort dan berhenti di
tepi khemah. Seorang lelaki yang berbadan gempal dan juga berwajah kecinaan
berkulit cerah berjalan perlahan menuruni kereta ke tempat kami duduk
berbual-bual.
“ Ini Tuan Kalam,” kata Tuan Kenny.
Kami bersalam-salaman. Tuan Kalam baru menjalani rawatan dialysis. Kakinya juga
menggunakan alat sokongan kerana kata Tuan Kalam kakinya tidak kuat untuk
berdiri. Di pinggang Tuan Kalam tergantung sebilah pisau benet Komando. Dalam
fikiran aku, benet ini sudah tentu sudah ‘ minum darah’ pengganas komunis.
Walaupun Tuan Kalam kelihatan uzur tetapi dia sangat bersemangat bercerita
tentang pengalamannya.
“Cikgu tau tak logo F Team?,” tanya
Tuan Kalam kepadaku tiba-tiba.
“Logo Harimau Bintang ,” jawabku dengan
yakin. Tuan Kalam tersenyum memandang aku.
“Hanya Yang Berani dan Gila “, “
katanya sambil disambut ketawa.
“Mana tak gila , motor dia bawa 80km/
jam saya terjun tembak komunis. Kan kerja gila ,” sekali lagi kami ketawa.
“Dia bawa saya bonceng belakang. Masa
traning di bulatan Jalan Pahang dua tiga kali berguling atas jalan , Gila.”
Pecah sekali lagi kami ketawa.
“Rusli bawa saya kat belakang,” kata
Tuan Kalam sambil menunjukkan kepada Tuan Rusli dan Tuan Rusli tersenyum
tersipu-sipu.
“ Saya masa operasi ( maaf saya tak
dapat tulis di sini operasi berkenaan kerana sangat sensitif) , nak pergi menembak
ni . Saya solat isthiharah. Dia pun Islam. Apa aku macam nak ambil nyawa orang
. Aku ni nak bunuh dia, “ kata Tuan Kenny tertunduk seperti sesuatu
mengganggunya.
“ Kami masuk dari belakang, semua
senjata di belakang. Semua mati, “ tambah Tuan Kalam menghabiskan
cerita Tuan Kenny yang tergantung sekejap.
“Ada perasaan takut, Tuan,” tanyaku
kepada Tuan Kalam. Tuan Kalam diam seketika.
“Dia ada pistol saja. Kami serbu terus
tembak,” kata Tuan Kalam.
“Tak ada takut. Kami buat kerja,” kata Tuan Kenny.
Tuan Rusli dan Tuan Kalam mengangguk-angguk. Mata mereka agak redup apabila
bercerita tentang ‘ambil nyawa’. Aku juga terkesan sangat dengan cerita mereka.
“Dalam hutan mereka pasang unggun api
untuk keringkan baju mereka kasut but mereka, “ kata Tuan Kalam.
“Askar ada di sana tapi askar tidak
bergerak waktu malam. Apabila askar masuk mereka ikut dari belakang sebab tu
tak jumpa,” kata Tuan Kenny ditambah Tuan Kalam.
“Mereka sembunyi dalam lubang-lubang
gua, Chong Chor ada dengan lima belas pengawal dia tapi askar tak jumpa. Askar
duduk depan pintu gua tapi tak masuk dalam gua. Saya tahu Chong Chor ada dalam
tu. Bila askar keluar mereka lari ikut belakang,” kata Tuan Kenny dan Tuan
Kalam ketawa saja.
Kemudian , datang Sathia anggota F Team
berbangsa India membawa satu jag air kopi panas. Tuan Admin SMSMD pun datang ke
tempat kami dah bersalaman-salaman dengan kami. Seorang anggota F Team
berbangsa Sikh datang bersalam-salam dengan kami. Kemudian , muncul seorang
lelaki yang memakai kemeja F Team dan tanda nama ‘STONE’ merupakan anggota F
Team juga. Mereka tidak duduk sama bersama-sama kami hanya bersalam-salaman
dengan kami.
Perbualan kami berkisar tentang
pengalaman anggota-anggota F Team bertempur dengan pengganas komunis.
“Isteri kami juga tidak tahu tugas kami,”
kata Hashim.
“Sekarang baru mereka tahu. Kami diajar
merahsiakan identity kami,” sambung Hashim lagi. Semua mendengar kata-kata
Hashim tetapi tiada ulasan daripada mereka yang duduk bersama-sama kami.
“ Yusof Haslam ada juga niat nak buat
filem tentang F Team. Tapi modal terlalu besar dan jalan cerita kurang tepat,”
kata Tuan Kenny.
“Filem memerlukan cerita ada nilai
komersial,” aku mencelah.
“Mana ada cinta-cinta,” kata Tuan Kenny
dan disambut ketawa.
“Itulah filem komersial, Tuan,” kataku
mencuit lengan Tuan Kenny.
“Saya juga boleh menulis skrip filem
sikit-sikit,” jelas Tuan Kenny.
“Tak banyak penerbit filem sanggup
buat. Astro Awani pun hanya buat dua siri. Kalau ada ‘funder’ yang berani buat
filem baru jadi,” ulas Tuan Kenny.
“Founder dan minat,” jawabku dan Tuan
Kenny mengiyakan kata-kataku.
“Betul, funder dan minat.”
Kami bergambar sebelum aku
bergerak pulang ke Klang.
“Insyallah saya akan usahakan untuk
mengenegahkan pengalaman F Team di sekolah-sekolah nanti supaya generasi muda
ada semangat patriotik kepada negara,” kataku kepada Tuan Kalam yang juga
setiausaha jawatankuasa penganjur.
“Nanti bagi surat permohonan rasmi
melalui PdF pun boleh. Saya akan minta anggota yang berdekatan untuk mengisi
slot,” kata Tuan Kalam yang kelihatan sedikit keletihan. Tuan Kalam mengubah
tempat duduk sambil dibantu oleh Sathia. Hashim telah kembali ke biliknya dan
aku serta isteri sudah hendak pulang. Anak Tuan Kalam membawa berkotak-kotak
makanan Marry Brown untuk menjamu semua yang ada di resort itu.
Kami berpisah sementara dan berjanji
akan berkumpul lagi pada masa akan datang. Beberapa perbincangan tentang hasrat
anggota F Team untuk menghasilkan filem dengan pegawai-pegawai kanan polis ada
juga dibincangkan. Namun, ada sedikit terkilan kerana perjuangan
anggota-anggota F Team dipandang sepi bak kata ‘wira-wira yang tak didendang’.
Dalam perjalanan pulang , hujan turun
sangat lebat dan semasa di resort juga hujan telah turun lebat. Aku masih
terngiang-ngiang kata-kata semangat Tuan Kenny, Tuan Kalam dan Tuan Rusli.
Perasaanku berasa sebak kerana pengorbanan wira-wira F Team seperti tidak
bernilai apa-apa. Semoga perjuangan mereka mendapat perhatian dan pembelaan
sewajarnya daripada pemerintah.
Comments
Post a Comment