Episod : TOK SE
Pagi ini jam lapan setengah pagi, aku
sudah duduk mengadap komputer ribaku. Pagi ini juga aku duduk mengajar seorang
muridku yang berpengkalan di TUDM , Subang. Sepatutnya , pembelajaran pagi ini
berlangsung selama dua jam tetapi dipendekkan masa satu jam sahaja. Pagi hujung
minggu segala kelelahan dilontar jauh-jauh tetapi pagi ini aku sudah
bersiap-sedia untuk mengumpul kelelahan baharu.
Usai sejam sesi pembelajaran , aku
membuka emel yang bertimbun dan satu persatu kubaca termasuk emel yang tidak
diketahui dan aku kategorikan sebagai sampah. Kemudian, aku menyemak jadual
kerjaku dan janji temu pada minggu depan. Hari Isnin aku akan ke Pejabat Tanah
Klang kemudian singgah di Sekolah Methodist Pelabuhan Klang atas urusan
penambahbaikan surau sekolah dengan Guru Besar.
Hari Selasa pagi menghadiri majlis
resepsi anak buah isteriku di Bukit Jelutong, Shah Alam. Pada tengah hari, sesi
pembelajaran kelas personal hingga lewat petang . Cuti umum bukan bererti cuti
kerja. Sebelah malamnya , sesi mengeteh dengan kawan-kawan di Kelana Jaya pula.
Hari Rabu majlis resepsi anak kawanku di
Alam Impian. Rancangan hari itu selepas resepsi hendak berjalan-jalan sambil
makan-makan tetapi belum ada destinasi. Kemungkinan juga bermandi-manda di
Sungai Bil , berdekatan Proton City ,Tanjung Malim. Di sana terdapat sebuah
banglo persendirian dan kawasan mandi-manda tertutup. Cuma , agak menyeramkan
kerana pernah sekali kelihatan seorang kanak-kanak perempuan bergaun putih
berenda memerhatikan kami bermaandi-manda. Waktu itu sudah hampir senja dan
kanak-kanak itu berdiri di atas sebuah jambatan titi lama yang sudah tidak
digunakan lagi serta rimbunan pokok buluh.
Aku menoleh jam di dinding, hampir
jam sepuluh pagi. Aku bersegera bersiap-siap untuk menghadiri kelas personal seorang
murid dari sekolah antarabangsa. Aku belum bersarapan lantas aku memandu
keretaki ke sebuah restoran mamak. Ramai pelanggan sedang duduk menikmati
sarapan bersama keluarga di pagi minggu. Semalam, Dato Patrick mengajakku
bersembang di restoran mamak tetapi kesibukan kerja terpaksalah aku menolak
ajakannya. Dato Patrick berpesan kepadaku untuk singgah di hotelnya mengambil
limau. Aku hanya mengambil sekotak sahaja memandangkan aku hanya bertiga di
rumah. Dato Patrick menyuruh aku mengambil beberapa kotak limau lagi di kaunter
hotel tetapi cukuplah sekotak.
Setelah mencari-cari tempat duduk ada
sebuah meja kosong di tengah-tengah restoran. Seorang pramusaji memegang sebuah
alat elektronik untuk mengambil pesanan.
"Aney, satu tose , satu teh
tarik," aku membuat pesanan. Aney menggeleng-geleng kepala tanda faham.
Budaya semula jadi Aney. Sekeping kad pesanan makanan diletakkan di atas meja.
Aku melihat sekeliling, ramai yang bermuka masam. Ada yang bersembang sesama
mereka dan ada yang hanya duduk melayan telefon bimbit.
Aku melihat jam tangan sudah 10 minit
makanan dan minuman belum sampai.
"Hai, lamanya kena tunggu,"
bisik hati kecilku. Pelanggan yang sampai lebih awal daripadaku juga belum
mendapat pesanan mereka.
"Patutlah muka masam. Aney
lambat buat kerja," desis hati kecilku.
Aku bingkas dari tempat duduk dan
meninggalkan restoran itu. Putus seleraku pagi ini.
"Tose tak sampai. Ambo pun tok
se make ," jentik hati kecilku. Aku terus memandu kereta ke rumah muridku.
Tengah hari ini, aku akan menghadiri majlis walimatulurus bekas anak muridku
Chef Iswati yang melangsungkan perkahwinan anaknya. Kemudian, aku akan ke UTeM
,Melaka untuk menjemput lelaki sulungku yang akan bercuti semester selama tiga
bulan. Dia perlu diambil pulang ke rumah kerana Jumaat depan dia perlu
menandatangani borang persetujuan penerimaan sebuah aset yang sudah aku rancang
dan disediakan oleh seorang agen yang mewakili aku.
Aku sudah menyediakan untuk setiap
seorang anakku dan isteriku bahagian masing-masing jika berlaku sesuatu
kepadaku kelak. Semoga mereka bijak memanfaatkan semua yang telah kusediakan
dan terpulang kepada mereka kerana sudah menjadi hak mereka selepas aku tiada
lagi.
Comments
Post a Comment