Episod : Timbang Air
Perjalanan hari ini untuk menghantar puteraku
Ammar Mukriz ke UTeM bagi meneruskan pengajiannya di sini. Tidak banyak
kenderaan sepanjang perjalanan ke Melaka namun hujan sepanjang jalan. Kereta
dipandu puteraku dengan berhati-hati kerana jalan licin.
Kami singgah makan tengah hari di kedai Mai Salai
selepas tol Pedas Linggi membelok ke kanan sebelum Grobok Salai. Usai makan ,
kami meneruskan perjalanan ke Melaka dan puteriku sekeluarga menyertai kami
sama. Hujan lebat menyambut kedatangan kami dan kami terus ke Klebang
memandangkan hujan kami memilih untuk singgah makan-makan di kawasan situ.
Kami berbincang di meja bulat dan membuat
keputusan untuk 'stay back' satu malam. Selepas membuat booking sebuah unit
kondo di 'The Wave', kami bergerak ke sana. Ruang parkir penuh dan masalah
utama talian internet sangat lemah. Selesai 'check ini' kami perlu melakukan
scan MySejahtera. Seorang anggota sekuriti meminta kami menunjukkan sijil
pengesahan vaksin masing-masing. Berlaku sedikit kelewatan kerana 'ketegasan'
sekuriti yang hanya membenarkan lima orang sahaja di dalam lif untuk ke tingkat
13. Jadi, puteraku yang seorang lagi tidak dibenarkan naik sama walaupun dia
seorang sahaja.
Kami akur dengan arahan sekuriti bertugas. Di meja
sekuriti berlaku 'kesesakan' akibat peraturan yang ditetapkan. Semasa di dalam
lif kami tidak dapat naik ke tingkat atas kerana pintu lif tidak boleh ditutup.
Anggota sekuriti 'menyusun' kedudukan kami berlima di dalam ruang lif.
"Encik berdiri di sini. Encik berdiri ke
belakang," arah sekuriti. Pintu lif masih tidak boleh dititup.
"Encik ke depan sedikit. Puan ke belakang.
Encik berdiri tengah-tengah," arah sekuriti lagi. Pintu lif tidak boleh
ditutup .
"Ok. .Encik berdiri tengah-tengah. Encik
berdiri tepi betul-betul tepi," sekali lagi sekuriti memberikan arahan
kepada kami.
"Encik hendak guna timbang air ke? ,"
tanya menantuku berseloroh. Sekuriti diam tidak berkata apa-apa seolah-olah
sudah tiada idea lagi. Walaupun ada enam lif tetapi hanya sebuah lif dibenarkan
guna dengan 5 orang di dalam sebuah lif. Sepatutnya kami enam orang boleh masuk
satu lif kerana tinggal 'serumah' namun tidak dibenarkan . Sekuriti benar-benar
mengikut buku peraturan yang ditetapkan . Akhirnya, pintu lif tertutup dan kami
ketawa di dalam lif kerana 'arahan' yang diberikan sekuriti tadi. Malam ini
kami akan ke 'uptown' membeli baju seluar memandangkan kami tidak merancang
untuk bermalam di Melaka.
Comments
Post a Comment