EPISOD : SEBALDI AIR SEKUNTUM SENYUMAN
Kisah ini berlaku pada tahun 1986 dan ketika itu aku
bersekolah di Tingkatan Enam dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi
Pelajaran Malaysia (STPM). Selama aku tinggal di flat masalah yang paling
menyusahkan ialah masalah bekalan air terputus. Setiap kali timbul masalah air,
kami yang tinggal di tingkat atas terpaksa turun naik mengambil air di rumah
jiran di tingkat bawah. Tekanan air yang rendah menyebabkan tangki air di
tingkat atas kering kontang. Jadi, hendak tak hendak terpaksalah berkongsi air
dengan jiran yang baik hati.
Aku mengeluh panjang kerana terpaksa mengangkut air
seperti jiran-jiran lain. Ketika itu golongan tua tidak perlu mengangkat air
kerana golongan muda akan membantu sebaldi dua mengangkut air ke rumah mereka.
Sikap kasih sayang antara golongan muda dan golongan tua sentiasa dipelihara.
Tiada upah hanya ucapan ‘terima kasih’ sudah membuatkan hati berasa gembira.
Ada yang membawa pakaian untuk dicuci dan ada yang sukarela
memegang paip getah mengisi air ke dalam baldi yang bersusun-susun termasuklah
aku. Penat setelah pulang dari sekolah belum habis sudah kena angkut air ke
tingkat 3. Bukan sekali tetapi berulang kali. Kami beratur menunggu giliran
untuk menadah air ke dalam baldi masing-masing .
Sesetengah penduduk pula akan membuka pili bomba yang
terdapat di sekitar flat dan bermandi-manda
di situ. Kanak-kanaklah paling gembira kerana air pili bomba mempunyai tekanan
yang kuat. Kaum ibu juga melayan anak-anak mereka mandi-manda ‘air terjun’ pili
bomba sambil membasuh pakaian .
Dalam pada itu, aku terpandang seorang gadis yang sedang
menunggu giliran menadah air. Inilah kali pertama aku melihatnya. Rambutnya
panjang hingga paras pinggang. Tubuhnya kecil molek dan senyuman sentiasa
menguntum di bibirnya. Apabila aku memandangnya, dia akan melemparkan senyuman
lalu mengalih pandangannya ke arah lain.
Selama beberapa hari itu, aku dapat melihatnya semasa
menadah air. Kadang-kadang aku menolongnya memenuhkan baldi yang dibawanya.
Hanya ucapan ‘ terima kasih’ dan sekuntum senyuman. Rupa-rupanya, dia sedang menziarahi kakaknya yang tinggal di
situ. Dia gadis yang berasal dari kampung dan datang ke bandar. ‘ S’ namanya.
Bunyi namanya seperti penyanyi ‘Sade’ yang popular sekitar tahun 80-an dan
90-an tetapi kulitnya cerah dan mulus.
Sejak ‘perkenalan’ itu, aku selalu memandangnya
apabila dia berada di beranda rumah kakaknya. Setiap pagi sekitar jam 7.00, apabila
aku berjalan kaki ke sekolah ‘S’ sudah berdiri di beranda sambil melihat aku
dan melemparkan senyuman. Kami hanya berbalas senyuman tetapi kami tidak pernah
berbual-bual. Kakak ‘S’ agak jengkel melihat aku apabila aku memandang adiknya.
Wajah kakaknya masam mencuka dan aku tidak begitu suka memandang kakaknya. Barang
kali kakak ‘S’ tidak suka kepadaku
tetapi itu hanyalah anggapanku sahaja. Rasa rendah diri sepanjang zaman
remajaku kerana kehidupan keluargaku yang susah dan tidak berharta menjadikan
aku manusia yang bersemangat untuk mengubah persepsi orang lain terutama
jiran-jiran kami.
Seminggu kemudian, ‘S’ tidak lagi kelihatan di rumah
kakaknya. Kemungkinan ‘S’ sudah kembali ke kampungnya di negeri Hang Tuah.
Tinggallah kenangan itu tanpa noktah. Namun, aku telah mendapat alamat rumahnya
di kampung melalui temanku. Mulalah, aku mengutus warkah kepadanya untuk bertanya
khabar dan kuselitkan puisi-puisi yang indah. ‘S’ telah membalas warkahku
dengan kata-kata mesra. Kami berutus warkah beberapa ketika sehinggalah aku tidak
lagi menerima balasan warkah daripada ‘S’ .
Aku dibertahu oleh temanku bahawa ‘S’ sudah bertunang
dengan seorang pemuda di kampungnya. Aku hanya tersenyum mendengar khabar yang
disampaikan oleh temanku itu. Ketika itu, aku sudah mula berjinak-jinak menulis
puisi dan cerpen dan sering tersiar di dalam akhbar utama dan majalah popular.
Tiba-tiba, pada suatu hari aku menerima sepucuk warkah bersetem negeri
kelahiran ‘S’. Bibirku menguntum senyuman tatkala posmen yang berbasikal warna
merah menyerahkan warkah itu ke tanganku.
‘…Mi,
‘S’ ada terbaca puisi Mi di dalam surat khabar tempoh
hari. Puisi Mi sangat menarik dan ‘S’ berasa puisi itu luahan hati Mi. Maafkan,’S’.
Warkah ini adalah yang terakhir daripada ‘S’ kerana ‘S’ sudah menjadi milik
orang. Semoga Mi menjadi seorang penulis yang berjaya. Wasalam”
Itulah warkah terakhir yang kuterima daripada ‘S’.
Jadi, benarlah kata-kata temanku bahawa ‘S’ sudah berpunya walaupun ‘S’ tidak
menjelaskan hal itu kepadaku. Sejak aku menerima warkah itu, aku tidak lagi
menemui ‘S’ walaupun kadang-kadang aku mencuri-curi pandang ke rumah kakak ‘S’
kalau-kalau ‘S’ datang ke rumah kakaknya. Tidak lama kemudian, selepas warkah terakhir
daripada ‘S’, keluarga kakaknya telah berpindah ke kampung asal mereka. Aku
ingin sangat menemui ‘S’ kerana sudah 36 tahun memori itu berlalu tanpa berita
tetapi tetap kukenang sehingga kini.
Comments
Post a Comment