Episod : P Kalimuthu

 

Pada tahun 1993, negara digemparkan dengan kemunculan sosok tubuh seorang penjenayah yang dikategorikan sebagai seorang ‘Trigger-Happy’. Penjenayah yang dimaksudkan ialah P Kalimuthu aka Bentong Kali. Ketika itu Dato ( Tan Sri ) Zaman Khan selaku orang nombor satu Cawangan Khas PDRM, Bukit Aman telah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menangani kes P Kalimuthu dan operasi berkenaan dinamakan ‘Ops Buncit’.

 

Wajah P Kalimuthu telah disiarkan di semua dada akhbar utama dan bantuan orang ramai diperlukan untuk mengesan penjenayah tegar ini. Dia juga dikatakan seorang penjenayah kejam kerana akan menembak sesiapa sahaja tanpa alasan yang munasabah dengan sekali petik dan melekatlah gelaran ‘Trigger-Happy‘.Berita tentang pembunuhan demi pembunuhan yang dipercayai dilakukan oleh P Kalimuthu tersiar di dalam surat khabar semua bahasa di negara ini.

 

Aku yang kaki surat khabar akan mengikuti berita tentang P Kalimuthu melalui surat khabar berbahasa Melayu manakala gambar-gambar kejadian pembunuhan mangsa P Kalimuthu banyak disiarkan di dalam akhbar berbahasa Cina. Kegemparan ini dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia pada tahun tersebut. Aku yang masih mengajar di sebuah sekolah swasta di bandar Klang selalunya akan pulang lewat malam selepas selesai kelas tuisyen Tingkatan 6 juga berasa takut kalau terserempak dengan P Kalimuthu.

 

Di dalam kelas tuisyen aku, kebanyakan murid ialah murid dewasa. Bermakna murid-muridku terdiri daripada kakitangan kerajaan, swasta dan anggota beruniform seperti polis dan bomba. Umur murid-muridku ada yang lebih tua atau muda daripada umurku semasa itu 26 tahun. Jadi, pengalaman mengajar murid-murid dewasa ini memang amat mencabar kerana mereka sudah bekerja dalam bidang pekerjaan masing-masing. Sikap mereka juga berbagai-bagai terhadap aku yang dikira masih muda. Ada yang menghormatiku sebagai guru dan ada juga yang bersikap sombong. Ada yang bermanis muka dengan aku dan ada yang bermasam muka. Sebenarnya, aku menerima amanah mengajar kelas tuisyen malam itu daripada Pengetua dengan rasa berat hati kerana aku berasa diriku belum cukup ‘matang’ pada pandangan mata murid-muridku ketika itu.

 

Tidak dinafikan di dalam kelas aku itu ada beberapa orang anggota CID polis yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka mengambil peperiksaan itu untuk tujuan kenaikan pangkat. Namun, kesukaran yang aku hadapi apabila menyemak karangan yang dituilis oleh mereka ialah gaya bahasa dan ayat mereka sama seperti ‘report’ polis. Kaku dan tidak mesra pembaca. Walau bagaimanapun, mereka sangat gigih belajar pada masa-masa tertentu tetapi kerap tidak hadir kerana terlibat dalam operasi pencegahan jenayah. Mereka datang ke dalam kelas dengan membawa sebuah buku tulis nipis dan sebatang pen sahaja. Mereka dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Klang dan seingat aku seramai 4 orang kesemuanya. Hanya seorang yang lepas dalam peperiksaan STPM dan kemudian naik pangkat menjadi Inspektor dalam Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU).  

 

Cabaran mengajar anggota-anggota CID ini menarik minat aku kerana ada masa tertentu kami bersembang di café di belakang bangunan sekolah semasa waktu rehat. Banyak cerita menarik daripada mereka kerana aku pernah mencuba memohon jawatan Inspektor tetapi gagal. Ada masa-masa tertentu mereka akan duduk di tepi tingkap dan menjenguk-jenguk ke luar tangka semasa aku sedang mengajar di hadapan kelas. Aku biarkan sahaja kelakuan mereka itu kerana aku beranggapan mereka sedang menjalankan tugas pengintipan. Aku juga dimaklumkan ada kegiatan mengedar dadah dalam kalangan murid dan guru baharu dan barulah aku tersedar salah seorang guru kelas malam yang selalu kelihatan ‘lalok’ dan bercakap ‘ merepek’ di dalam bilik guru. Guru itu tidak lagi pernah aku temui selepas tahun tersebut.

 

Pernah sekali semasa aku sedang duduk minum dengan gang CID ini di sebuah restoran, salah seorang daripada mereka memanggil seorang lelaki warga Indonesia. Dia mengeluarkan sekeping gambar dari poket bajunya dan menunjukkan gambar penjenayah yang dicari itu kepada lelaki (Wak) Indonesia.

“Nanti saya cari di kawasan saya,” kata Wak.

“Wak cari sampai dapat. Orang ini sudah tikam orang mati,” kata CID itu.

Wak tiu berlalu pergi. Tidak sampai lima minit pertemuan itu. Pantas dan

bersahaja.

‘Informer tu, Cikgu,” beritahu muridku itu.Seronok juga kerana berasa diriku ini

seperti penyiasat dalam filem Magnum PI yang dilakonkan oleh aktor Tom

Select.

 

Sejak tersiarnya wajah P Kalimuthu itu, aku mula terperasan seorang muridku yang saling tak tumpah wajahnya seperti P Kalimuthu. Muridku ini seorang yang pendiam dan tinggal di Klang. Badannya gempal dan rendah serta bermisai tebal. Kulitnya agak cerah. Sebelum ini muridku ini sudah pun belajar di dalam kelas aku tetapi aku tidak terlalu fokus kepadanya sehinggalah wajah P Kalimuthu ditunjukkan kepada orang ramai.

 

Muridku ini berpakaian kemas setiap kali menghadiri kelas tuisyen dengan mengenakan baju kemeja dan berseluar ‘jeans slack’. Susah untuk melihatnya senyum walaupun kadang-kadang aku membuat jenaka spontan. Aku ingin sangat bertanya kepadanya kalau-kalau dia ada kena mengena dengan P Kalimuthu tetapi lidahku kelu. Wajahnya serius sepanjang masa.

 

Aku merisik hal muridku ini dengan seorang rakan guruku yang mengajar di kelas yang sama . Tidak salah sangkaanku. Muridku ini ialah abang kepada P Kalimuthu !. Dan yang lebih teruja, muridku ini ialah seorang anggota CID di balai polis Kapar, Klang. Selepas berita tentang P Kalimuthu semakin meluas muridku ini tidak lagi hadir ke kelasku. Aku sempat berkenal-kenalan dengannya sebelum itu dan sebenarnya dia sangat peramah tetapi kurang bercakap. Aku tidak hendak bertanya tentang adiknya Bentong Kali untuk menjaga sensitivitinya tetapi dia tahu yang aku tahu tentang hal Bentong Kali dan hubungannya dengan Bentong Kali. Tidak lama kemudian, aku mendapat tahu muridku ini sudah berhenti bekerja sebagai anggota polis selepas Bentong Kali tewas di tangan pasukan khas Zaman Khan. Dia telah membuka sebuah restoran di Kapar, Klang bagi menyara keluarga dan pernah sekali aku mengunjungi restorannya dan seperti biasa aku dapat minum ‘free’. Tiada lagi Bentong Kali kedua selepas terbunuhnya P Kalimuthu aka Bentong Kali.

 

Comments

Popular posts from this blog