Episod : Orang Ketiga
Ramlan (bukan nama sebenar) seorang lelaki yang amat penyayang. Apa jua kehendak isterinya Ramlan akan cuba memenuhinya walaupun dia sedar kadang-kadang kemampuannya sangat terhad. Tambahan pula, komitmennya keliling pinggang.
Hamidah(bukan nama sebenar) isteri Ramlan sejak 20 tahun yang lalu sangat dicintai oleh Ramlan. Hamidah sedar dan amat sedar bahawa Ramlan sangat menyayanginya lebih dari segala-galanya. Kehidupan mereka sangat bahagia dengan 3 orang anak yang sudah berkeluarga. Banyak masa Ramlan dan Hamidah berdua-duaan bertemu kawan dan menikmati makanan kegemaran mereka.
Namun, ada ketikanya Hamidah suka membuat sesuatu perkara mengikut kemahuannya. Ramlan amat menyedari sikap Hamidah itu. Kebiasaannya Ramlan akan bertanya sepintas lalu apabila melihat Hamidah membeli sesuatu seperti kata orang hendak 'reward' diri sendiri. Ramlan bukan tidak mampu membelikan apa-apa saja barang yang diingini Hamidah tetapi barang kali Hamidah ingin membeli dengan duitnya sendiri.
Ramlan mempunyai sikap egonya sendiri. Dia tidak mahu Hamidah membeli sesuatu barang yang dia sendiri mampu membelinya jika Hamidah memberitahunya. Hamidah tidak menyedari sikap Ramlan itu. Hamidah tidak memahami bahawa Ramlan tidak mahu Hamidah menggunakan wangnya sendiri kerana Ramlan mempunyai pendirian bahawa semua itu adalah tanggungjawab nya sebagai sang suami.
Ramlan hanya memendam perasaan dan berpura-pura bahagia namun jauh di sudut hatinya perasaan itu umpama kanser yang menunggu masa untuk membunuhnya. Hamidah tidak menyedari hakikat itu kerana Ramlan tidak menunjukkan sikap marah atau membenci Hamidah..
Hari-hari dilalui dengan seperti hari-hari semalam. Penuh kebahagiaan dan keceriaan. Ramlan tidak pernah menunjukkan sikap tidak suka kepada Hamidah. Seolah-olah, Ramlan mempunyai dua sikap berbeza , hitam putih. Tatkala, sikap hitamnya semakin menekan dia akan melarikan diri dari keadaan yang menyesakkan perasaannya dengan melakukan perkara yang diminatinya. Apabila sikap putihnya terserlah tiada sesiapa yang dapat meneka diri sebenar Ramlan.Ramlan dilihat seorang lelaki paling bahagia di dunia ini.
Lama-kelamaan, Ramlan berasa bosan dan tertekan kerana berasa Hamidah menekannya jauh ke tepi. Seolah-olah, Ramlan tidak penting baginya dan tidak dipedulikan oleh Hamidah pada masa-masa tertentu. Cinta Ramlan terhadap Hamidah tiada sesiapa pun mampu mempertikaikannya umpama merpati dua sejoli Romeo dan Juliet Shah Jehan dengan Mumtaz. Bagi Ramlan semua itu sebenarnya adalah bayang-bayang dirinya sendiri. Bayang-bayang yang akan mengekorinya ke mana-mana sahaja. Sayangnya, Hamidah tidak menyedarinya.
Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Tanpa disengajakan Ramlan diperkenalkan dengan seseorang oleh rakannya yang sering menjadi pendengar luahan rasanya. Kawannya itu sedar bahawa Ramlan memerlukan seorang yang bernama 'teman' . Mula-mulanya, Ramlan hanyalah berkawan biasa. Daripada berhubung dengan whatsapp hinggalah bertukar-tukar meninggalkan pesanan suara. Ramlan tahu dia bukan mudah terpesona dengan kata-kata manis dan mesra. Ramlan tahu dia mempunyai tanggungjawab terhadap isteri yang dicintainya seluruh jiwa.
Kehadiran 'teman' barunya itu membuatkan Ramlan berasa sedikit lega. Tekanan perasaan terhadap sikap Hamidah berkurangan apabila berbicara dengan 'temannya' . Hari demi hari berlalu tanpa syak wasangka Hamidah. Sebenarnya, bagi Ramlan dia bukanlah berniat curang terhadap Hamidah terapi sekadar 'teman' yang sudi mendengar. Kata orang , "jangan luahkan isi hatimu kepada seseorang lain kerana kesannya sangat dahsyat" . Ramlan selalu berpegang kepada kata-kata itu.
Hubungan Ramlan dan Hamidah seperti kebiasaannya. Bagi Ramlan, Hamidah isterinya yang paling baik. Ramlan sanggup mengorbankan perasaannya sendiri demi seorang wanita bernama Hamidah yang telah dimiliki hatinya. Namun, Ramlan tidak dapat menipu hatinya bahawa dia sebenarnya 'kesunyian' dalam erti kata yang sebenarnya. Meskipun, Ramlan mempunyai ramai kawan tetapi realitinya Ramlan keseorangan. Ada masanya Hamidah mudah diajak bersiar-siar dan ada masanya Hamidah lebih suka berkurung di dalam rumah.
Pada saat-saat begitu, Ramlan akan membawa diri memandu ke sana ke sini tanpa arah tuju. Dunia ini dirasakan amat sunyi. Hatinya mahu bebas. Perasaan yang mencengkam dirinya mahu dilepaskan. Kadang kala, Ramlan akan menemui 'temannya' itu hanya sekadar untuk menjadi 'teman' berbicara. Mungkin sudah 20 tahun usia perkahwinan, Hamidah sudah tidak betah untuk berbual-bual tetapi lebih suka melayan diri sendiri. Ramlan menjadi termenung memikirkan hal Hamidah. Kehangatan cinta Ramlan sama seperti 20 tahun yang lalu. Ramlan suka mengenang saat-saat manisnya dengan Hamidah sebaliknya Hamidah tidak pula begitu. Perbezaan itulah yang membezakan Ramlan dan Hamidah.
'Teman' Ramlan bukanlah seorang pendesak kerana 'temannya' itu bahawa Ramlan bukan lelaki bujang dan lebih tepat bukan lelaki hidung belang. 'Temannya' membuat telahan bahawa Ramlan seorang yang prihatin dan setia dalam perhubungan. 'Temannya' berasa sesiapa yang memiliki Ramlan sangat bertuah tetapi apabila mendengar luahan isi hati Ramlan , 'temannya' berasakan Hamidah tidak sedar bahawa dia sedang merobohkan sebuah tugu cinta yang dibina Ramlan.
Acap kali juga, Ramlan pasrah dengan situasi yang dihadapinya. Ada waktunya Ramlan sudah bersedia kehilangan Hamidah. Ramlan membuat andaian bahawa Hamidah perlu merasai 'kesakitan' yang ditanggungnya selama ini. Bagi Ramlan takdir akan menentukannya. Sesekali, Ramlan berasa dia ingin pergi jauh sejauh-jauhnya mengikut langkahan kakinya. Jauh untuk melemparkan perasaan sedih , kesal , sayang , benci dan marah yang dipendamnya.
Ramlan tidak mahu Hamidah menyesali kesilapannya suatu hari nanti kerana kehilangan itu amat menyakitkan. Bagi Ramlan biarlah 'temannya' tetap seorang 'teman' dan tidak mungkin menjadi orang ketiga dalam hidupnya kerana setianya tidak sekelumit pun berbelah bahagi melainkan Hamidah berasakan cinta dan kasih sayang Ramlan sekadar puing-puing yang berterbangan. "Saat itu pasti datang suatu hari nanti", bisik hati kecil Ramlan.
Comments
Post a Comment